Permainan video untuk skizofrenia

Soalan ulasan

Adakah permainan video rawatan yang berkesan (secara sendirian atau sebagai tambahan) untuk meningkatkan kesejahteraan dan fungsi orang dengan skizofrenia atau gangguan skizoafektif?

Latar belakang

Skizofrenia adalah penyakit mental teruk yang menimpa orang di seluruh dunia. Orang dengan skizofrenia sering mempunyai pandangan yang menyimpang dari realiti - merasakan perkara yang tidak ada (halusinasi) dan mempercayai perkara yang tidak benar (delusi). Orang dengan skizofrenia mungkin berjuang untuk memotivasi diri mereka, mengalami kegelisahan dan kemurungan, dan menghadapi gejala kognitif, sering berjuang untuk tetap fokus pada aktiviti sehari-hari dan menjadi keliru. Halusinasi dan delusi biasanya dirawat dengan ubat antipsikotik, sedangkan gejala lain sukar untuk diatasi dengan ubat sahaja.

Terapi psikologi kadang-kadang digunakan bersama ubat untuk membantu beberapa gejala skizofrenia, namun terapi ini boleh menjadi kompleks dan mahal. Permainan video agak murah, dan, bagi banyak orang, rawatan yang menarik. Mereka dikatakan dapat membantu meningkatkan gangguan kognitif seperti kurang fokus atau ingatan yang lemah yang sering dialami oleh orang dengan skizofrenia. Sekiranya berkesan, permainan video dapat memberikan rawatan tambahan yang sederhana dan secara relatifnya murah untuk penghidap skizofrenia.

Carian

Pengulas mencari kajian rawak terkawal (sejenis kajian dengan para peserta diagihkan ke salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan menggunakan kaedah rawak) yang melibatkan orang dengan skizofrenia yang menerima sama ada intervensi permainan video atau jenis rawatan lain seperti terapi bercakap (kognitif) atau plasebo (rawatan sulih). Pengulas melakukan carian pada bulan Mac 2017, Ogos 2018, dan Ogos 2019.

Keputusan

Tujuh kajian memenuhi kriteria kemasukan dan memberikan data yang boleh digunakan. Intervensi permainan video dikategorikan ke dalam aktiviti yang melibatkan pergerakan badan ('exergames') dan yang tidak ('non-exergames'). Kajian non-exergame membandingkan intervensi permainan video dengan bentuk terapi "latihan-otak" yang dikenali sebagai pemulihan kognitif. Satu kajian membandingkan exergame dengan perawatan standard, dan satu lagi membandingkan non-exergames dengan exergames. Semua intervensi dalam kajian yang dimasukkan diberikan sebagai tambahan kepada perawatan standard.

Bukti yang ada sekarang menunjukkan bahawa non-exergame mungkin tidak begitu bermanfaat untuk fungsi kognitif seperti pemulihan kognitif, tetapi tidak ada perbezaan lain yang jelas antara non-exergames dan pemulihan kognitif untuk meningkatkan fungsi pada orang dengan skizofrenia. Permainan video yang lebih berorientasikan latihan mungkin mempunyai kelebihan berbanding dengan penjagaan standard untuk meningkatkan kecergasan fizikal. Pengulas tidak dapat membuat kesimpulan yang tegas mengenai kesan permainan video sehingga bukti berkualiti tinggi tersedia.

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.: 

Diterjemahkan oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information