Perbandingan antara pembrolizumab dan kimoterapi untuk merawat kanser urothelial tahap tinggi apabila karsinoma berulang / berlanjutan setelah mengikuti kemoterapi berasaskan platinum.

Soalan semakan

Bagaimanakah prestasi pembrolizumab (ubat terkini yang bekerja melalui sistem imun badan) jika dibandingkan dengan kimoterapi untuk pesakit kanser lapisan dalaman sistem urinari (dipanggil kanser urothelial) yang berulang atau lebih teruk selepas rawatan?

Latar belakang

Ubat-ubatan yang menyasarkan sistem imun badan telah lama digunakan untuk rawatan kanser urothelial. . Apabila kanser itu telah merebak ke organ lain di luar saluran kencing, pesakit selalunya dirawat dengan kimoterapi menggunakan ubat yang dipanggil cisplatin atau carboplatin (kimoterapi mengandungi platinum). Walau bagaimanapun, kanser tersebut lazimnya berulang atau menjadi lebih teruk walaupun selepas rawatan. Ulasan ini mengambil kira bukti untuk pembrolizumab, ahli kelas baru ubat-ubatan yang bekerja melalui sistem imun, dan membandingkannya dengan kimoterapi.

Ciri-ciri kajian

Kami hanya mengambil kira ujian rawak terkawal dalam ulasan Cochrane Rapid ini, kerana ia menawarkan keputusan yang paling boleh dipercayai. Ulasan ini adalah terkini sehingga 20 Jun 2018.

Keputusan-keputusan utama

Kami menjumpai hanya satu kajian rawak untuk soalan ini. Peserta-peserta yang termasuk dalam kajian ini menghidapi kanser metastatik (kanser yang telah merebak ke bahagian badan yang lain) atau kanser jenis lanjutan yang tidak boleh dikeluarkan oleh pembedahan, yang berulang atau yang lebih teruk dengan kimoterapi lain.

Kami mendapati pembrolizumab mungkin meningkatkan sedikit jangka hayat keseluruhan (bukti dengan kepastian sederhana). Ia boleh meningkatkan sedikit kualiti hidup (bukti dengan kepastian rendah).

Pembrolizumab mungkin ada sedikit atau tiada langsung kesan ke atas masa untuk kanser menjadi lebih teruk atau lebih progresif (bukti dengan kepastian rendah). Ia mungkin meningkatkan tindak balas rawatan yang boleh dilihat dalam imbasan sinar-X seperti tomografi komputer (bukti dengan kepastian sederhana).

Pembrolizumab mungkin ada sedikit atau tiada langsung kesan atas kematian yang berpunca dari rawatan itu sendiri (bukti dengan kepastian rendah), tetapi boleh mengurangkan pesakit yang menghentikan rawatan kerana kesan sampingan yang tidak diingini (bukti dengan kepastian rendah). Ia juga boleh menyebabkan kesan sampingan yang kurang serius.

Kesimpulan ini berdasarkan kajian tunggal yang dibayar oleh syarikat yang membuat pembrolizumab.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah antara sederhana kepada sangat rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Fazarina Mohammed (Pusat Perubatan UKM). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi (fazarina.m@gmail.com)

Tools
Information