Linezolid untuk rawatan orang yang mengalami tuberkulosis rintang-ubat

Apakah tuberkulosis rintang-ubat dan bagaimanakah linezolid bertindak?

Tuberkulosis adalah disebabkan oleh jangkitan kuman bakteria Mycobacterium tuberculosis. Apabila terdapat simptom-simptom dan gejala penyakit, keadaan ini dipanggil tuberkulosis aktif. Dianggarkan satu pertiga populasi dunia dijangkiti tuberkulosis aktif, dan hampir 1.4 juta orang mati akibat daripada tuberkulosis aktif pada 2015.

Bakteria yang menyebabkan tuberkulosis boleh menjadi rintang terhadap ubat-ubatan yang selalu digunakan untuk rawatan tuberkulosis, juga dipanggil sebagai antibiotik kelas pertama. Peningkatan masalah ini menyebabkan rawatan menjadi semakin sukar kerana ubat rawatan tuberkulosis kelas kedua kurang berkesan terhadap bakteria dan lebih berkemungkinan menyebabkan kesan bahaya. Rawatan standard terhadap tuberkulosis rintang-ubat memerlukan pesakit mengambil banyak jenis antibiotik bagi tempoh hampir dua tahun. Linezolid adalah sejenis ubat kelas kedua, di mana kajian-kajian makmal telah mendapati ia bagus untuk membunuh bakteria yang menyebabkan tuberkulosis, tetapi boleh dan sering menyebabkan kesan sampingan yang serius.

Soalan ulasan

Garispanduan antarabangsa terkini bercadang untuk memasukkan linezolid dalam rawatan pesakit dengan tuberkulosis rintang-pelbagai ubat, tetapi terdapat kebimbangan samada terdapat bukti yang bagus untuk memberitahu kita bagaimana keberkesanan tindakannya, apakah dos yang terbaik dan adakah ia selamat untuk mereka yang mengambilnya.

Ciri-ciri Kajian

Kami mencari bukti sehingga 13 Julai 2018. Kami menganalisa data dari 2 kajian, satu daripadanya melibatkan 65 orang dengan tuberkulosis rintang-ubat dirawakkan untuk menerima kombinasi ubat samada dengan atau tanpa linezolid, dan kajian yang kedua melibatkan 39 peserta menerima linezolid sebagai sebahagian daripada rawatan mereka dari permulaan atau ditambah selepas dua bulan. Kami juga memasukkan 14 kajian, melibatkan 1678 orang, di mana sesetengah peserta menerima linezolid tetapi sesetengahnya tidak, tetapi ianya tidak ditentukan secara rawak.

Apakah keputusan utama ulasan?

Satu kajian menunjukkan kebarangkalian yang lebih tinggi untuk pulih dan risiko kegagalan rawatan yang lebih rendah di dalam peserta yang menerima linezolid berbanding yang tidak. Kajian kedua menunjukkan bahawa peserta yang menerima linezolid serta-merta mempunyai kebarangkalian lebih tinggi bagi tuberkulosis hilang dari sputum mereka 4 bulan setelah memulakan kajian berbanding mereka yang menambah linezolid selepas dua bulan rawatan.

Apabila mereka mengkaji keselamatan, kajian pertama mendapati risiko lebih tinggi untuk mengalami kiraan sel darah merah yang rendah, loya dan muntah, dan kerosakan saraf dalam penerima linezolid. Dari 11 kajian tidak rawak yang melaporkan hal ini, 22.6% dari mereka perlu berhenti linezolid disebabkan oleh kesan sampingan, walaupun perbandingan lanjut tentang kesan bahaya tidak dapat dilakukan kerana laporan tidak lengkap dalam kajian tidak rawak ini.

Keseluruhannya, walaupun terdapat beberapa bukti tentang kebaikannya, kami mempunyai kepastian yang sangat rendah terhadap ketepatannya. Lebih banyak kajian berkualiti tinggi diperlukan sebelum kami benar-benar pasti tentang keberkesanan dan keselamatan linezolid untuk tuberkulosis rintang-ubat.

Sehingga bila ulasan ini dikemaskini?

Ulasan ini adalah terkini sehingga 13 Julai 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Intan Juliana Abd Hamid (Institut Perubatan & Pergigian Termaju, USM). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi intanj@usm.my.

Tools
Information