Apakah kaedah terbaik untuk meletakkan ubat terus ke dalam mata untuk melebarkan pupil semasa pembedahan katarak?

Mesej utama
Kami tidak menemui bukti berkualiti yang mencukupi mengenai cara terbaik untuk menyampaikan ubat terus ke mata semasa pembedahan katarak. Kami menemui hanya satu kajian yang telah mendaftarkan jumlah orang yang mencukupi untuk memberikan hasil yang boleh dipercayai.

Kajian lebih besar yang dirancang dengan baik adalah diperlukan untuk memberikan anggaran yang lebih baik mengenai faedah dan potensi bahaya dari pelbagai cara penyampaian ubat-ubatan ini.

Apakah itu katarak?
Katarak bermula apabila tompok-tompok keruh terbentuk pada lensa mata. Apabila tompok-tompok keruh itu menjadi semakin besar dari masa ke semasa, penglihatan menjadi berkabut dan kabur. Katarak yang tidak dirawat akan menyebabkan buta.

Pembedahan katarak
Pembedahan adalah satu-satunya cara untuk meningkatkan penglihatan seseorang jika mereka mempunyai katarak. Potongan kecil dibuat di mata, dan lensa lama, dan keruh dikeluarkan dan lensa plastik diletakkan di tempatnya.

Sebelum dan semasa pembedahan, doktor menggunakan ubat-ubatan untuk melebarkan pupil mata, iaitu bahagian gelap di tengah mata yang membolehkan cahaya masuk. Untuk pembedahan, pupil harus selebar mungkin untuk membantu doktor melihat dan bekerja di dalam mata; pupil yang luas juga mengurangkan kemungkinan masalah semasa pembedahan.

Mengapakah kami melakukan Ulasan Cochrane ini
Ubat yang digunakan untuk melebarkan pupil boleh:

· dititiskan ke permukaan mata, seperti titisan mata;

· disuntik ke dalam mata; atau

· dilepaskan dari alat kecil (depot) yang diletakkan pada permukaan mata di bawah kelopak mata bawah.

Kami ingin tahu:

· cara penyampaian ubat-ubatan yang paling berkesan untuk melebarkan pupil semasa pembedahan katarak;

· cara yang paling efektif dari segi kos (memberi faedah, seperti menjimatkan masa pembedahan atau kos, yang mungkin melebihi kos tambahan yang berkaitan dengan penggunaannya); dan

· mengenai kesan yang tidak diingini yang mungkin disebabkan oleh kaedah penyampaian.

Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang menguji pelbagai cara penyampaian ubat ke mata pada orang yang menjalani pembedahan katarak.

Tarikh carian: Kami menyertakan bukti yang telah diterbitkan sehingga 22 Januari 2021.

Apa yang kami temui
Kami menemui 14 kajian pada 1652 orang (berumur 57 hingga 78 tahun) yang menjalani pembedahan katarak pada 1670 mata. Kajian-kajian dijalankan di hospital di Eropah, China, India, dan Malaysia. Satu kajian melaporkan bahawa ia telah ditaja oleh sebuah syarikat yang membuat salah satu alat depot yang digunakan dalam kajian ini.

Kajian-kajian membandingkan titisan mata dengan suntikan (7 kajian) atau alat depot (6 kajian); satu kajian membandingkan ketiga-tiga cara penyampaian. Malangnya, terdapat terlalu banyak perbezaan antara reka bentuk kajian dan hasil yang dilaporkan untuk membolehkan kami membuat anggaran keseluruhan tentang seberapa baik setiap kaedah berfungsi.

Apakah hasil utama ulasan ini?
Hasil dari 14 kajian yang membandingkan titisan mata terhadap suntikan atau alat depot tidak menunjukkan perbezaan yang cukup jelas antara kaedah yang berbeza. Tidak semua kajian melaporkan hasil penemuan yang kami minati.

Kami tidak tahu sama ada satu kaedah berfungsi lebih baik daripada kaedah yang lain untuk:

· melebarkan pupil (diukur semasa pembedahan, dan pada awal dan akhir pembedahan);

· mengurangkan tempoh masa pembedahan berlangsung; atau

· mengurangkan tempoh masa untuk menggantikan lensa semasa pembedahan.

Tidak semua kajian melaporkan kesan yang tidak diingini. Satu kajian menunjukkan bahawa ketidakselesaan mata mungkin lebih ketara dengan titisan mata berbanding dengan suntikan, ketika diukur pada satu minggu (555 orang) dan satu bulan (543 orang) selepas pembedahan. Satu lagi kajian melaporkan masalah dengan iris (cakera berwarna yang mengelilingi pupil) pada 11 orang yang diberikan suntikan, dibandingkan dengan tiada dalam kumpulan yang diberikan alat depot, walaupun keyakinan kami terhadap hasil ini adalah terhad.

Tiada kajian yang melaporkan keberkesanan dari segi kos bagi mana-mana kaedah penyampaian.

Keyakinan kami terhadap keputusan kami
Keyakinan kami adalah terhad kerana hasil daripada kajian-kajian adalah sangat berbeza, dan kajian-kajian ini hanya melibatkan sedikit peserta. Beberapa kajian tidak melaporkan dengan jelas bagaimana kajian dijalankan, atau sekiranya peserta yang mengambil bahagian mengetahui siapa yang telah menerima kaedah penyampaian yang mana, yang mungkin mempengaruhi hasil kajian. Penyelidikan yang lebih lanjut mungkin mengubah keputusan kami.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save