Adakah intervensi psikososial membantu ibu bapa mengurangkan kekerapan minuman keras dengan banyak atau menggunakan dadah?

Matlamat ulasan

Intervensi psikososial adalah intervensi bercakap atau praktikal, atau kedua-duanya, yang disampaikan kepada individu atau kumpulan. Intervensi-intervensi yang dikaji dalam ulasan ini bertujuan membantu ibu bapa mengubah penggunaan minuman keras atau dadah dan menangani sebarang masalah penjagaan anak-anak mereka. Kami ingin tahu jika intervensi-intervensi tersebut dapat membantu ibu bapa mengurangkan penggunaan alkohol dan dadah dan jika ini juga mungkin bermanfaat untuk anak-anak mereka.

Latar belakang

Penggunaan alkohol atau dadah yang banyak, atau kedua-duanya, oleh ibu atau bapa boleh memudaratkan orang yang mengguna bahan-bahan ini, pasangan mereka, dan anak-anak yang tinggal dengan mereka. Anak-anak yang mana satu atau kedua-dua ibu bapa adalah peminum tegar atau menggunakan dadah lebih cenderung tercedera, mengalami masalah kesihatan fizikal dan mental, dan mereka sendiri akan menggunakan alkohol dan dadah. Akibatnya, meminum alkohol dan penggunaan dadah haram oleh ibu atau bapa sering dianggap sebagai masalah perlindungan anak.

Tarikh carian

Bukti dalam ulasan ini adalah terkini hingga Julai 2020.

Keputusan utama

Kami menyertakan 22 kajian dalam ulasan ini dengan sejumlah 2274 peserta dewasa yang banyak minum atau menggunakan dadah. Beberapa jenis intervensi psikososial berbeza diuji dalam kajian-kajian tersebut; sesetengah intervensi memfokus kepada ibu bapa yang meminum alkohol dan menggunakan dadah, sementara yang lain kepada kemahiran keibubapaan dan hubungan ibu bapa-anak. Beberapa intervensi psikososial menggabungkan kedua-duanya. Majoriti kajian menilai intervensi yang diberi kepada ibu. Kebanyakan kajian dilakukan di AS dan dibiayai oleh majlis penyelidikan atau badan amal.

Kami mendapati intervensi psikososial mungkin membantu ibu bapa membuat pengurangan kecil dalam kekerapan mereka minum alkohol dan menggunakan dadah. Intervensi yang memfokus kepada penggunaan minuman keras dan dadah ibu bapa serta peranan mereka sebagai ibu bapa mungkin terbaik untuk mengurangkan minuman keras dan penggunaan dadah ibu bapa. Intervensi-intervensi ini mungkin lebih membantu untuk bapa berbanding ibu. Lebih penyelidikan diperlukan untuk memahami sama ada intervensi-intervensi ini boleh membantu kedua-dua ibu dan bapa. Bukti semasa mencadangkan intervensi yang tidak melibatkan anak-anak mungkin menyebabkan pengurangan lebih besar dalam kekerapan ibu bapa minum alkohol dan/atau mengguna dadah.

Kesimpulan

Intervensi untuk ibu bapa peminum tegar atau pengguna dadah yang memfokus kedua-dua kemahiran keibubapaan dan minum/penggunaan dadah mungkin paling membantu, juga intervensi yang tidak melibatkan anak-anak, namun terdapat beberapa kelemahan dalam kualiti bukti. Intervensi-intervensi ini mungkin lebih membantu untuk bapa berbanding ibu.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah sederhana hingga sangat rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Tools
Information
Share/Save