Adakah meletakkan tiub kecil (sten mikro) di bawah permukaan mata melegakan tekanan tinggi yang berpanjangan di dalam mata (glaukoma)?

Apa itu glaukoma sudut terbuka?
Glaukoma adalah keadaan mata yang lazim disebabkan oleh penumpukan cecair di bahagian depan mata, yang meningkatkan tekanan di dalam mata. Tekanan yang meningkat merosakkan saraf yang menghubungkan mata ke otak (saraf optik), menyebabkan hilang penglihatan. Glaukoma boleh menyebabkan hilang penglihatan kekal (rabun) jika tidak didiagnosis dan dirawat lebih awal.

Glaukoma sudut terbuka adalah jenis glaukoma yang paling lazim dan ia berkembang dengan perlahan untuk beberapa tahun. Ini disebabkan oleh aliran saluran dalam mata beransur-ansur tersumbat dari masa ke masa.

Rawatan untuk glaukoma
Rawatan tidak dapat mengembalikan penglihatan yang berlaku sebelum glaukoma didiagnos tetapi dapat memperlambat atau menghentikan kehilangan penglihatan. Semua rawatan untuk glaukoma bertujuan untuk mengurangkan tekanan dalam mata. Ini termasuk:

- ubat-ubatan, diberikan sebagai titisan mata;
- rawatan laser untuk mengurangkan pengeluaran cecair dan membuka saluran aliran yang tersumbat; atau
- pembedahan untuk mengalirkan cecair dari mata.

Satu rawatan melibatkan perletakan tiub kecil (disebut sten mikro) di bawah permukaan mata untuk membuat saluran aliran untuk cecair yang berlebihan. Sten mikro sering diletak semasa pembedahan untuk merawat katarak: tompok-tompok keruh yang terbentuk pada lensa di dalam mata dan membuat penglihatan berkabut dan kabur.

Mengapa kami lakukan Ulasan Cochrane ini
Dengan meletakkan sten mikro dapat menurunkan tekanan di dalam mata dan mengurangi keperluan ubat titis mata atau untuk jenis operasi lain yang mungkin lebih berisiko besar. Kami ingin tahu sama ada meletakkan sten mikro semasa pembedahan katarak dapat menurunkan tekanan di dalam mata dalam kalangan orang dengan glaukoma sudut terbuka.

Kami juga berminat bagaimana sten mikro mempengaruhi:

- keperluan ubat untuk mengurangkan tekanan dalam mata; dan
- kesejahteraan orang.

Apa yang kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang menguji kesan meletakkan sten mikro semasa pembedahan katarak dalam kalangan orang dengan glaukoma sudut terbuka. Kami mencari kajian-kajian rawak terkawal, di mana orang yang menerima sten mikro dan mereka yang tidak, ditentukan secara kebetulan. Kajian jenis ini memberi bukti yang paling boleh percaya tentang kesan rawatan.

Tarikh carian: kami sertakan bukti yang diterbitkan sehingga Ogos 2020.

Apa yang kami temui
Kami temui satu kajian yang berlangsung di AS melibatkan 505 orang (berumur 45 tahun ke atas) dengan glaukoma sudut terbuka dan katarak.

Kajian ini membahagikan pesakit kepada dua kumpulan. Satu kumpulan diletak sten mikro semasa pembedahan untuk merawat katarak mereka; kumpulan satu lagi menjalani pembedahan untuk merawat katarak mereka sahaja. Para pesakit dalam kajian dinilai selama dua tahun.

Kajian ini dibiaya sebuah syarikat yang membuat sten mikro untuk merawat glaukoma.

Apakah keputusan utama ulasan kami?
Dua tahun selepas menjalani pembedahan katarak dalam kalangan orang yang diletak sten mikro:

- lebih ramai (85% dalam kumpulan ini berbanding 59% dalam kumpulan satu lagi) tidak perlukan ubat titis mata untuk merawat glaukoma (bukti daripada 448 orang);
- mereka alami pengurangan tekanan lebih besar di dalam mata yang terlibat, berbanding orang yang tidak diberi sten mikro (448 orang);
- secara purata mereka alami pengurangan lebih besar, dalam penggunaan ubat titis mata, berbanding orang yang tidak diberi sten mikro (448 orang); dan
- kurang orang yang perlukan pembedahan lanjutan untuk merawat glaukoma (505 orang).

Namun, meletakkan mikrostent menyebabkan lebih banyak kesan yang tidak diingini (komplikasi) yang dilaporkan dalam dua tahun selepas pembedahan, berbanding dengan pembedahan katarak sahaja (bukti dari 505 orang). Secara purata, bagi setiap 1000 orang, 390 orang yang diberi sten mikro akan mengalami komplikasi, berbanding 360 orang yang tidak diberi sten mikro. Terdapat kebimbangan keselamatan sten mikro yang diguna dalam kajian ini yang menyebabkan kerosakan jangka panjang lapisan jernih di bahagian depan mata (kornea).

Kajian ini tidak mengukur kesejahteraan orang (kualiti hidup) atau mengukur bagaimana penglihatan orang terjejas selama dua tahun selepas pembedahan.

Keyakinan kami dalam keputusan-keputusan ini
Kami yakin dengan pengurangan tekanan di dalam mata, dan komplikasi selepas pembedahan. Kami tidak menjangka bukti lebih lanjut akan mengubah keputusan ini.

Kami sederhana yakin tentang pengurangan keperluan ubat titis mata untuk menurunkan tekanan di dalam mata. Walaupun para pesakit dalam kajian ini tidak tahu kumpulan rawatan mereka, orang yang memberi rawatan tahu, dan mungkin mempengaruhi keputusannya. Keputusan-keputusan ini mungkin berubah jika terdapat bukti lanjut.

Kami kurang yakin tentang berapa ramai orang yang perlukan pembedahan lanjutan untuk merawat glaukoma; bukti lebih lanjut mungkin mengubah keputusan ini.

Mesej utama
Meletak sten mikro di dalam mata semasa pembedahan katarak mengurangkan tekanan dalam mata dalam kalangan orang dengan glaukoma sudut terbuka, dan mengurangkan keperluan mereka untuk ubat penurun tekanan, lebih daripada pembedahan katarak sahaja. Tetapi perletakan sten mikro dikaitkan dengan peningkatan komplikasi selepas pembedahan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal (PPM). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information