Pengurangan tekanan berdasarkan kesedaran untuk penjaga keluarga penghidap demensia

Soalan ulasan

Seberapa berkesankah pengurangan tekanan berdasarkan kesedaran (MBSR) dalam mengurangkan masalah berkaitan tekanan dalam penjaga keluarga penghidap demensia?

Latar belakang

Demensia telah menjadi beban kesihatan awam di seluruh dunia. Menjaga penghidap demensia adalah sangat menekan, oleh itu penjaga lebih cenderung untuk mengalami masalah psikologi seperti kemurungan dan kegelisahan, berbanding populasi umum. Pengurangan tekanan berdasarkan kesedaran adalah intervensi yang berpotensi baik untuk mensasarkan isu-isu ini. Lebih banyak maklumat adalah diperlukan mengenai sama ada MBSR dapat membantu penjaga keluarga penghidap demensia.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari bukti sehingga September 2017 dan menemui lima kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana peserta ditugaskan secara rawak kepada salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) membandingkan MBSR dengan pelbagai intervensi lain. Kami melaporkan kesan program MBSR berbanding dengan kawalan aktif (intervensi di mana para peserta mendapat perhatian yang serupa dengan kumpulan MBSR, seperti sokongan sosial atau pengenduran progresif otot) atau kawalan tidak aktif (intervensi di mana peserta kurang mendapat perhatian daripada mereka yang berada dalam kumpulan MBSR, seperti pendidikan bantuan kendiri).

Keputusan utama

Kami dapat menganalisis data kajian dari lima kajian rawak terkawal yang melibatkan sejumlah 201 penjaga. Penemuan dari tiga kajian (135 penjaga) menunjukkan bahawa penjaga yang menerima MBSR mungkin mempunyai tahap gejala kemurungan yang lebih rendah pada akhir rawatan berbanding mereka yang menerima rawatan kawalan aktif. Walau bagaimanapun, kami tidak menemui bukti yang jelas mengenai kesan terhadap kemurungan ketika MBSR dibandingkan dengan rawatan kawalan yang tidak aktif. Pengurangan tekanan berdasarkan kesedaran juga mungkin menyebabkan pengurangan gejala kegelisahan penjaga pada akhir rawatan. Pengurangan tekanan berdasarkan kesedaran mungkin meningkatkan sedikit perasaan terbeban yang dialami penjaga. Namun, hasil mengenai kegelisahan dan beban adalah sangat tidak pasti. Kami tidak dapat membuat kesimpulan mengenai strategi menghadapinya oleh penjaga dan risiko berhenti daripada rawatan kerana kualiti bukti yang sangat rendah.

Tidak ada kajian yang mengukur kualiti hidup penjaga atau penghidap demensia, atau kadar kemasukan penghidap demensia ke rumah atau hospital.

Hanya satu kajian yang dimasukkan yang melaporkan mengenai kejadian buruk, termasuk satu kejadian buruk yang kecil (ketegangan leher pada seorang peserta yang berlatih yoga di rumah)

Kualiti bukti

Kami menganggap kualiti bukti sebagai rendah atau sangat rendah, terutama kerana kajian yang kecil dan cara mereka dirancang atau dijalankan yang membuatkan mereka berisiko memberikan hasil yang berat sebelah. Oleh itu, kami mempunyai keyakinan yang terhad terhadap hasilnya.

Kesimpulan

Ringkasnya, ulasan ini memberikan bukti awal mengenai kesan MBSR dalam merawat beberapa masalah berkaitan tekanan dalam penjaga keluarga penghidap demensia. Lebih banyak kajian berkualiti adalah diperlukan sebelum kami dapat mengesahkan sama ada MBSR adalah bermanfaat atau tidak untuk penjaga keluarga penghidap demensia.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nadia Nur Ayunni Amir Hamzah. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information