Rehabilitasi untuk penghidap sklerosis berbilang

Soalan ulasan

Adakah penghidap sklerosis berbilang (MS), yang mengambil bahagian dalam program rehabilitasi, mempunyai peningkatan fungsi aktiviti mereka, keupayaan fizikal dan kualiti hidup berbanding dengan mereka yang tidak menerima sebarang rawatan rehabilitasi, yang menerima plasebo atau intervensi yang berbeza?

Latar belakang

MS adalah satu keadaan yang kompleks, yang memerlukan pengurusan jangkamasa yang panjang dan komprehensif. Matlamat program rehabilitasi adalah untuk meningkatkan fungsi, kesejahteraan dan kualiti hidup bagi penghidap MS. Pada masa ini, pelbagai jenis terapi rehabilitasi yang digunakan untuk merawat MS. Penerbitan sastera, termasuk Ulasan Cochrane, yang membuat penilaian terhadap intervensi ini telah berkembang. Untuk panduan pengamal perubatan, ulasan ini menilai Ulasan Cochrane semasa dan memberi gambaran mengenai keberkesanan terapi rehabilitasi yang digunakan untuk merawat penghidap MS.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari semua penerbitan Ulasan Cochrane melibatkan kajian klinikal MS yang menilai keberkesanan intervensi rehabilitasi apabila dibandingkan dengan pelbagai kumpulan kawalan (tanpa intervensi atau jenis intervensi yang berbeza). Kita menilai semua ulasan yang berkaitan dan membuat kesimpulan hasil-hasil kajian tersebut.

Keputusan utama dan kualiti bukti

Kami memasukkan sejumlah 15 Ulasan Cochrane yang melibatkan 168 kajian klinikal dan seramai 10,396 penghidap MS. Ulasan yang berkualiti baik ini menilai rangkaian intervensi rehabilitasi, termasuk: terapi senaman dan aktiviti fizikal, terapi oksigen hiperbarik, terapi getaran seluruh badan (Whole Body Vibration), terapi carakerja, intervensi kognitif dan psikologi, nutrisi dan pemakanan tambahan, pemulihan vokasional, pemberian maklumat, telerehabilitasi dan intervensi bagi pengurusan spastik.

Hasil kajian menunjukkan beberapa faedah bagi penghidap MS yang mengambil bahagian dalam program senaman dan aktiviti fizikal atau program rehabilitasi pelbagai disiplin (di mana intervensi ini disediakan oleh sekumpulan ahli kesihatan profesional dari pelbagai profesion) . Mereka mendapati peningkatan dalam aktiviti-aktiviti harian, fungsi dan kualiti hidup yang berhubungkait dengan kesihatan berbanding dengan penghidap yang tidak diberi rehabilitasi. Bukti bagi kaedah rahabilitasi lain adalah terhad, kerana kekurangan kajian yang berkualiti baik. Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk menentukan sama ada pelbagai jenis kaedah rehabilitasi adalah berkesan dalam mengurangkan ketidakupayaan fizikal penghidap MS.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Erni Zurina Romli (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi zuromli@yahoo.com.

Tools
Information
Share/Save