Langkau ke kandungan utama

Adakah varnis perak diamine fluorida merupakan rawatan berkesan untuk mencegah dan menguruskan kerosakan gigi pada kanak-kanak dan dewasa?

Mesej utama

- Kami tidak dapat mengetahui sama ada perak diamine fluorida (SDF) adalah lebih baik daripada tiada rawatan untuk mencegah atau merawat kerosakan gigi.

- Kami tidak dapat mengetahui sama ada SDF adalah lebih baik atau lebih teruk daripada rawatan yang lain untuk mencegah atau merawat kerosakan gigi.

-Kajian baharu dapat membantu untuk mengetahui tentang kesan SDF yang tidak diingini, sama ada orang terganggu oleh pewarnaan pada gigi yang disebabkan oleh SDF, dan pendekatan rawatan terbaik.

Apakah itu kerosakan gigi?

Kerosakan gigi berlaku apabila bakteria dalam mulut anda mencernakan gula daripada makanan, menghasilkan asid yang merosakkan enamel gigi (permukaan keras). Ini boleh menyebabkan lubang, atau kaviti, pada gigi. Kerosakan gigi menjejaskan korona gigi (bahagian di atas gusi) gigi susu, dan korona serta akar gigi kekal. Jika ia tidak dicegah atau dirawat ia boleh menyebabkan sakit gigi, jangkitan dan kehilangan gigi.

Bagaimanakah kerosakan gigi dirawat?

Rawatan untuk kerosakan gigi termasuk cecair, gel (varnis) dan pengedap. Rawatan ini dicat pada gigi untuk melindungi daripada bakteria. Rawatan juga boleh termasuk tampalan dalam rongga yang lebih besar. Perak diamine fluorida (SDF) ialah cecair kos rendah yang boleh dicat pada gigi oleh doktor gigi atau orang terlatih lain. Ia sesuai untuk semua peringkat umur, termasuk orang dengan keperluan kesihatan khas. Walau bagaimanapun, SDF boleh mengotorkan permukaan gigi yang dirawat secara kekal dengan warna hitam atau coklat gelap.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui:

- sama ada SDF adalah lebih baik daripada tiada rawatan atau rawatan yang lain untuk mencegah kerosakan gigi baru, menghentikan kerosakan gigi sedia ada atau mencegah kerosakan gigi daripada berkembang;

- jika terdapat faedah untuk menggunakan SDF pada jumlah, kekuatan larutan atau tempoh yang berbeza ;

- jika SDF menyebabkan kesan yang tidak diingini, sakit gigi, atau jika orang terganggu oleh pewarnaan.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang membanding SDF dengan tanpa rawatan atau plasebo (rawatan tiruan), rawatan yang lain atau pendekatan aplikasi berbeza . Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian tersebut serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang telah kami temui?

Kami menemui 29 kajian dengan 12,020 kanak-kanak dan 1016 orang tua.

Keputusan utama

Berbanding tanpa rawatan atau plasebo, kami tidak dapat mengetahui sama ada SDF menghalang kerosakan gigi baharu pada gigi susu atau permukaan korona gigi kekal. SDF berkemungkinan menghalang kerosakan gigi baru pada permukaan akar gigi kekal. Ia juga boleh menghentikan sepenuhnya kerosakan gigi sedia ada pada gigi susu. Walau bagaimanapun, kami tidak pasti sama ada ia menghentikan sepenuhnya kerosakan gigi sedia ada pada korona dan permukaan akar gigi kekal, menghalang kerosakan gigi sedia ada daripada berkembang dalam sebarang jenis gigi, meningkatkan risiko kesan yang tidak diingini, atau jika orang terganggu dengan penampilan warna .

Kajian menggunakan kombinasi pendekatan rawatan berbeza (jumlah SDF digunakan dan kekerapan, kekuatan larutan, dan tempoh rawatan). Kami tidak dapat mengetahui sama ada satu pendekatan adalah lebih baik daripada yang lain untuk menghentikan atau mencegah kerosakan selanjutnya, kesan yang tidak diingini atau mengganggu penampilan pewarnaan.

Apabila SDF berbanding dengan varnis flourida, tiada rawatan adalah lebih baik daripada yang lain untuk mencegah kerosakan gigi baru pada gigi susu. Kami tidak pasti tentang kesan pada korona dan permukaan akar gigi kekal. Kami juga tidak dapat mengetahui sama ada rawatan adalah lebih baik daripada rawatan yang lain untuk menghentikan kerosakan gigi sedia ada atau mencegah kerosakan gigi susu lebih lanjut, atau jika terdapat sebarang perbezaan dalam kesan yang tidak diingini, sakit gigi, atau mengganggu penampilan pewarnaan.

Apabila SDF berbanding dengan pengedap, kami tidak dapat mengetahui sama ada terdapat sebarang perbezaan antara rawatan dalam mencegah kerosakan gigi baru pada permukaan korona gigi kekal, atau sama ada terdapat sebarang perbezaan antara rawatan ini dalam kesan yang tidak diingini.

Apabila SDF berbanding dengan tampalan (dengan kerosakan gigi pertama dikeluarkan menggunakan alatan tangan sahaja), kami tidak dapat mengetahui sama ada terdapat sebarang perbezaan antara rawatan dalam menghentikan kerosakan sedia ada pada gigi susu, kesan yang tidak diingini, sakit gigi atau mengganggu penampilan pewarnaan.

Apakah batasan bukti?

Selalunya kami sangat tidak pasti dengan bukti atas sebab-sebab berikut.

- SDF mengotorkan gigi. Setiap orang dalam kajian pasti tahu rawatan yang diberikan kepada mereka. Ini mungkin menjejaskan rutin memberus gigi mereka yang biasa. Dalam kebanyakan kajian, orang yang memeriksa gigi untuk kerosakan baru atau sedia ada juga akan mengetahui maklumat ini.

- Apabila kami membandingkan pendekatan berbeza dengan SDF, kajian adalah terlalu berbeza antara satu sama lain untuk membolehkan kami membandingkannya.

- Walaupun kami menemui 29 kajian, kebanyakan bukti adalah daripada kajian individu (atau sedikit), yang sangat kecil.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini hingga Jun 2023.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Kuala Lumpur). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).

Petikan
Worthington HV, Lewis SR, Glenny A-M, Huang SS, Innes NPT, O'Malley L, Riley P, Walsh T, Wong MC, Clarkson JE, Veitz-Keenan A. Topical silver diamine fluoride (SDF) for preventing and managing dental caries in children and adults. Cochrane Database of Systematic Reviews 2024, Issue 11. Art. No.: CD012718. DOI: 10.1002/14651858.CD012718.pub2.