Antidepresan untuk penyakit radang usus

Apakah penyakit radang usus?

Penyakit radang usus (IBD) adalah penyakit radang kronik yang melibatkan salur gastrousus (kolon atau usus kecil atau kedua-duanya). IBD kebanyakannya merangkumi penyakit Crohn’s dan kolitis ulseratif. Simptom IBD termasuklah cirit-birit, tergesa-gesa membuang air besar (termasuk kehilangan kawalan membuang air besar), sakit perut, pendarahan rektum, kelesuan dan penurunan berat badan. Apabila seseorang itu mengalami simptom-simptom IBD, mereka dikategorikan mempunyai keaktifan penyakit yang tinggi. Apabila simptom-simptom IBD berhenti, penyakit tersebut berada dalam tempoh kesembuhan sementara. IBD dikaitkan dengan beban psikososial dan kadar kemurungan pada orang yang mempunyai IBD adalah dua kali ganda lebih tinggi berbanding dengan populasi umum. Keresahan dan kemurungan yang mengiringi IBD mungkin dikaitkan dengan kualiti hidup yang teruk, aktiviti IBD yang semakin buruk, kadar kemasukan hospital yang lebih tinggi dan kepatuhan rawatan yang lebih rendah. Seramai 30% orang yang menghidapi IBD mengambil antidepresan yang dipreskripsi sama ada untuk kesihatan mental atau simptom-simptom usus atau kedua-duanya.

Apakah itu antidepresan?

Antidepresan adalah ubat yang digunakan untuk merawat kemurungan dan kecelaruan mental yang lain seperti keresahan. Pada masa ini, tiada antidepresan yang telah diluluskan oleh agensi penguatkuasaan khususnya untuk merawat keresahan dan kemurungan, untuk menguruskan simptom-simptom fizikal atau untuk mengurangkan radang usus pada orang yang menghidapi IBD. Walau bagaimanapun, sesetengah antidepresan mempunyai indikasi untuk merawat kesakitan dalam keadaan kronik dan telah biasa digunakan untuk menguruskan simptom-simptom usus dalam keadaan seperti sindrom usus rengsa.

Apakah yang disiasat oleh penyelidik?

Kajian lepas tentang terapi antidepresan dalam IBD telah disemak. Data daripada beberapa kajian tersebut telah digabungkan menggunakan kaedah yang dipanggil analisis meta. Semasa analisis, orang yang mengambil antidepresan telah dibandingkan dengan mereka yang tidak mengambil antidepresan dari segi kadar keresahan dan kemurungan serta ukuran-ukuran lain seperti kualiti hidup, kesan sampingan dan aktiviti penyakit IBD.

Apakah yang ditemui oleh para penyelidik?

Para penyelidik telah mencari sastera perubatan sehingga 23 Ogos 2018. Empat kajian yang diterbitkan, yang merangkumi seramai 188 orang, telah menyelidik terapi antidepresan pada orang yang menghidapi IBD. Usia peserta adalah dari 27 sehingga 37.8. Dalam tiga kajian, peserta-peserta mempunyai IBD dalam tempoh kesembuhan sementara dan dalam satu kajian, peserta-peserta mempunyai sama ada IBD aktif atau IBD dalam tempoh kesembuhan sementara. Peserta-peserta dalam satu kajian mempunyai keresahan atau kemurungan yang wujud bersama. Satu kajian menggunakan duloxetine (60 mg sehari), satu kajian menggunakan fluoxetine (20 mg sehari), satu kajian menggunakan tianeptin (36 mg sehari), dan satu kajian menggunakan pelbagai antidepresan. Tiga kajian mempunyai kumpulan kawalan plasebo (contohnya pil gula) dan satu kajian mempunyai kumpulan kawalan tanpa rawatan.

Analisis menunjukkan bahawa simptom-simptom keresahan dan kemurungan bertambah baik dalam kalangan orang yang mengambil antidepresan berbanding dengan plasebo. Peserta yang menerima antidepresan mengalami lebih banyak kesan sampingan daripada mereka yang menerima plasebo. Kesan-kesan sampingan yang dilaporkan oleh mereka yang mengambil antidepresan termasuklah; rasa loya, sakit kepala, pening, mengantuk, masalah seksual, insomnia, kelesuan, muram/gelisah, mulut kering, tidur yang kurang lelap, kaki gelisah dan hangat memerah. Sebahagian daripada aspek kualiti hidup serta aktiviti IBD telah bertambah baik dalam kumpulan antidepresan. Kualiti keseluruhan kajian yang dimasukkan ke dalam ulasan ini adalah rendah kerana kajian-kajian melibatkan bilangan peserta yang kecil, dan juga melibatkan populasi IBD yang berbeza antara satu sama lain dalam ciri-ciri utama. Tambahan pula, pelbagai jenis antidepresan telah dinilai, maka bukti untuk mana-mana satu antidepresan adalah tidak jelas. Oleh itu, kajian lanjutan adalah diperlukan untuk mengesahkan pemerhatian-pemerhatian ini.

Kesimpulan

Keputusan untuk hasil yang dinilai dalam kajian ini adalah tidak jelas dan tiada kesimpulan yang kukuh boleh dibuat mengenai manfaat dan kemudaratan antidepresan dalam IBD. Lebih banyak kajian diperlukan untuk membuat kesimpulan kukuh mengenai manfaat dan kemudaratan penggunaan antidepresan pada orang yang menghidapi IBD.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Shing Cheng (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi sctan@ukm.edu.my.

Tools
Information
Share/Save