Gambaran keseluruhan intervensi Ulasan Cochrane yang digunakan semasa pembedahan untuk mencegah jangkitan tapak pembedahan

Apakah matlamat gambaran keseluruhan ulasan?

Untuk mengenal pasti dan merumuskan semua bukti daripada Ulasan Cochrane mengenai intervensi untuk mencegah jangkitan tapak pembedahan (SSI) yang disampaikan semasa pembedahan (semasa tempoh intraoperatif).

Mesej-mesej utama

Kami tidak pasti tentang keberkesanan mencegah SSI dalam majoriti intervensi intraoperatif, kerana kami menilai kepastian bukti pada umumnya rendah atau sangat rendah. Dalam beberapa keadaan (disenaraikan di bawah), antibiotik berkesan untuk pencegahan SSI. Tiada bukti kepastian yang tinggi atau sederhana untuk kesan relatif intervensi intraoperatif terhadap kematian, dan tiada data sama sekali untuk kualiti hidup atau kos. Atas alasan ini, kami tidak dapat memastikan sama ada antibiotik-antibiotik tersebut, yang berkesan untuk mencegah SSI, mempunyai sebarang kesan negatif terhadap kematian atau kualiti hidup. Kajian yang lebih besar dengan kaedah yang sesuai diperlukan untuk mengukur hasil yang penting untuk kedua-dua pesakit dan profesional kesihatan.

Apakah yang dikaji dalam gambaran keseluruhan ini?

Jika bakteria masuk ke dalam luka surgikal semasa pembedahan, ini boleh menyebabkan jangkitan luka yang biasanya dipanggil SSI. SSI adalah salah satu bentuk jangkitan lazim yang berkait dengan penjagaan kesihatan, dengan sekitar 1 dalam 20 pesakit pembedahan yang mendapat SSI di hospital. SSI juga boleh terjadi selepas meninggalkan hospital. SSI boleh mengakibatkan penyembuhan luka yang tertangguh, peningkatan tempoh tinggal di hospital, peningkatan penggunaan antibiotik, kesakitan yang tidak perlu dan, dalam kes-kes yang teruk, kematian. Oleh itu pencegahan mereka adalah matlamat utama untuk perkhidmatan kesihatan. Banyak intervensi digunakan untuk mengurangkan risiko SSI dalam kalangan orang yang menjalani pembedahan. Internvensi-intervensi tersbut boleh disampaikan pada tiga peringkat: sebelum, semasa dan selepas pembedahan. Oleh itu, adalah penting untuk mengenal pasti intervensi yang dapat mengurangkan insidens SSI. Gambaran keseluruhan ini hanya memfokus pada intervensi yang disampaikan semasa pembedahan.

Apakah keputusan utama gambaran keseluruhan ini?

Pada Julai 2017, kami mencari Ulasan Cochrane yang melibatkan intervensi untuk mencegah SSI semasa pembedahan. Kami mendapati sejumlah 32 Ulasan Cochrane yang boleh dimasukkan dalam gambaran keseluruhan ini. Dua ulasan tiada data yang relevan untuk diambil oleh itu kami mengekstrak data dari 30 ulasan yang memasukkan 349 kajian, dengan jumlah 73,053 peserta. Intervensi yang dinilai termasuk penggunaan topeng muka pakai buang dan sarung tangan surgikal, penggunaan oksigen semasa pembedahan, antiseptik untuk mencuci tangan, penyediaan kulit pesakit dan pembersihan vagina sebelum pembedahan caesarean, kaedah insisi surgikal dan penutupan kulit dan penggunaan antibiotik untuk mencegah jangkitan.

Bukti kepastian sekurang-kurangnya sederhana menunjukkan intervensi-intervensi berikut mengurangkan risiko SSI: (1) antibiotik yang diberi melalui titisan sebelum pembedahan caesarean mengurangkan risiko SSI berbanding pemberian antibiotik selepas penyepitan tali pusat (bukti kepastian tinggi); (2) memberi antibiotik sebelum pembedahan mengurangkan risiko SSI berbanding plasebo selepas pembedahan kanser payudara (bukti kepastian tinggi); (3) antibiotik yang diguna untuk mencegah jangkitan luka mungkin mengurangkan SSI bagi pembedahan caesarean berbanding tiada antibiotik (bukti kepastian sederhana); (4) antibiotik yang digunakan untuk mencegah jangkitan luka mungkin mengurangkan risiko SSI untuk pembaikan hernia berbanding plasebo atau tiada rawatan (bukti kepastian sederhana); (5) kerudung adhesif celupan iodin mungkin tidak memberi sebarang perbezaan risiko SSI berbanding tiada kerudung adhesif (bukti kepastian sederhana); (6) mungkin tiada perbezaan risiko SSI apabila antibiotik diberi dalam jangka masa pendek berbanding jangka panjang panjang semasa pembedahan kolorektal (bukti kepastian sederhana). Satu perbandingan menunjukkan kerudung adhesif meningkatkan risiko SSI berbanding tiada kerudung (bukti kepastian tinggi). Keseluruhannya, kami menilai kepastian bukti untuk hasil utama kami (SSI dan kematian) sebagai rendah atau sangat rendah.

Para doktor boleh menggunakan bukti yang diringkaskan dalam gambaran keseluruhan ini untuk memilih intervensi terbaik untuk orang yang menjalani pembedahan. Walau bagaimanapun, banyak perbandingan telah disokong oleh bukti kepastian yang rendah atau sangat rendah dan lantas memerlukan bukti lanjut untuk menyokong membuat keputusan di masa depan. Gambaran keseluruhan ini juga boleh digunakan oleh penggubal dasar dalam membangunkan protokol atau garis panduan tempatan dan serantau dan dapat mendedahkan jurang pengetahuan untuk penyelidikan masa depan.

Adakah gambaran keseluruhan ini terkini?

Kami mencari ulasan yang telah diterbitkan sehingga Julai 2017. Daripada 32 ulasan yang dimasukkan dalam gambaran keseluruhan ini, 13 ulasan belum dikemas kini dalam tiga tahun yang lalu.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information