Salina hidung untuk rinitis alahan

Latar belakang

Rinitis alahan adalah keradangan (bengkak dan/atau iritasi) di dalam hidung yang disebabkan oleh alahan. Ia lazim dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa. Rinitis alahan boleh berlaku secara berselang-seli (kurang daripada empat hari seminggu, atau empat minggu setahun) atau secara berterusan (lebih daripada empat hari seminggu, atau empat minggu setahun). Alahan boleh disebabkan oleh pelbagai perkara tetapi alergen (perkara yang menyebabkan alahan) yang lazim adalah: debunga rumput atau pokok, kulat, tungau habuk atau dander haiwan (serpihan kecil kulit). Orang dengan rinitis alahan mengalami simptom (hidung tersumbat, hidung berair, gatal hidung dan bersin) yang mungkin mempengaruhi kualiti hidup mereka.

Pengairan salina hidung (juga dikenali sebagai semburan, cucian atau lavaj hidung) adalah prosedur yang mencuci rongga hidung dengan larutan salina (air garam). Bagaimana saline berfungsi masih tidak difahami sepenuhnya tetapi barangkali adalah malalui penipisan lendir (hingus), menjadikan ia senang dikeluarkan dan juga menyingkirkan sesetengah alergen daripada hidung yang mengakibatkan kerengsaan. Pengairan salina hidung boleh dilakukan dengan semburan, pam atau botol pancutan. Larutan salina boleh jadi isotonik (kepekatan garam yang sama seperti yang terdapat di dalam badan - 0.9% NaCl) atau hipertonik (lebih masin daripada yang terdapat di dalam badan - lebih daripada 0.9% NaCl). Walaupun pengairan salina dianggap selamat, terdapat laporan epistaksis (pendarahan hidung) dan iritasi atau ketidakselesaan di dalam hidung dan telinga. Terapi ini boleh didapati tanpa preskripsi dan boleh digunakan begitu sahaja atau sebagai tambahan kepada rawatan farmakologi lain untuk rinitis alahan, seperti steroid intranasal (di dalam hidung) dan antihistamin oral.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga November 2017.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati 14 kajian dengan sejumlah 747 peserta (260 dewasa; 487 kanak-kanak). Isipadu salina yang diguna dalam kajian-kajian tersebut adalah pelbagai: lima kajian menggunakan isipadu yang ‘sangat rendah’ (semburan hidung kurang dari 5 mL salina per lubang hidung per aplikasi), dua kajian menggunakan isipadu rendah (antara 5 dan 59 mL salina per lubang hidung per aplikasi dengan picagari) dan empat kajian menggunakan larutan isipadu tinggi (lebih 60 mL per lubang hidung per aplikasi). Lapan kajian menggunakan salina hipertonik, lima menggunakan salina isotonik dan tiga kajian tidak memberi maklumat ini. Dua kajian menggunakan dua larutan salina yang berbeza.

Sumber pembiayaan kajian

Tujuh kajian tidak menyatakan cara pembiayaan mereka. Tujuh kajian yang lain dibiaya melalui jabatan penyelidik atau geran penyelidikan daripada kerajaan serantau atau nasional. Tiada kajian yang dibiaya oleh syarikat farmaseutikal.

Keputusan utama

Pengairan salina hidung berbanding tiada pengairan salina

Pengairan salina hidung mungkin bermanfaat dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak untuk melegakan simptom rinitis alahan berbanding tiada pengairan salina dan adalah tidak mungkin dikaitkan dengan kesan buruk. Adalah tidak mungkin untuk menyatakan daripada ulasan ini sama ada terdapat perbezaan pelbagai isipadu dan kepekatan larutan salina.

Menambah pengairan salina hidung kepada rawatan rinitis alahan ‘farmakologi’

Adalah tidak pasti sama ada menambah pengairan salina hidung kepada rawatan farmakologi (steroid intranasal atau antihistamin oral) membantu memperbaiki simptom rinitis alahan berbanding penggunaan rawatan farmakologi sahaja. Penggunaan salina hidung tidak mungkin dikaitkan dengan kesan buruk.

Pengairan salina hidung berbanding rawatan rinitis alahan ‘farmakologi’

Tiada cukup bukti untuk mengetahui sama ada pengairan salina hidung adalah lebih baik, lebih teruk atau sama dengan penggunaan steroid intranasal. Tiada kajian melaporkan hasil yang kami minati, yang membandingkan pengairan salina hidung dengan antihistamin oral.

Kualiti bukti

Kualiti keseluruhan bukti untuk pengairan salina hidung berbanding tiada rawatan salina adalah sama ada berkualiti rendah (keyakinan kami dalam anggaran kesan adalah terbatas: kesan sebenar mungkin jauh berbeza daripada anggaran kesan) atau berkualiti sangat rendah (kami berkeyakinan sangat rendah dalam anggaran kesan: kesan sebenar mungkin jauh berbeza daripada anggaran kesan). Ini adalah kerana kebanyakan kajian-kajian adalah kecil dan menggunakan kaedah yang berbeza untuk mengukur hasil yang sama. Memandangkan pengairan salina boleh memberi alternatif murah, selamat dan boleh diterima kepada steroid intranasal dan antihistamin, kajian lanjutan berkualiti tingg diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com.

Tools
Information