Terapi luka tekanan negatif untuk luka traumatik terbuka

Apakah matlamat ulasan ini?

Tujuan ulasan ini adalah untuk mengetahui sama ada terapi luka tekanan negatif (NPWT) (balutan luka kedap yang disambung kepada pam vakum yang menyedut cecair daripada luka) berkesan dalam merawat luka traumatik terbuka (kecederaan seperti gigitan haiwan, luka peluru atau patah tulang yang mengakibatkan tulang menembusi kulit menjadi luka terbuka). Penyelidik dari Cochrane mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan (kajian rawak terkawal) untuk menjawab soalan ini dan mendapati tujuh kajian yang relevan.

Mesej-mesej utama

Kami tidak pasti sama ada NPWT berkesan untuk merawat luka traumatik. Kami sederhana yakin bahawa tiada perbezaan ketara dalam kadar penyembuhan luka patah tulang terbuka yang dirawat dengan NPWT berbanding penjagaan standard. Kami sangat tidak pasti sama ada pesakit yang dirawat dengan NPWT mengalami kurang jangkitan luka berbanding mereka yang dirawat dengan penjagaan standard. Terdapat bukti kepastian sederhana bahawa NPWT adalah rawatan yang tidak kos efektif untuk luka patah tulang terbuka.

Apakah yang telah dikaji dalam ulasan ini?

Luka traumatik adalah luka terbuka, geseran atau luka tembuk, di mana kulit dan tisu di bawahnya tercedera. Luka tersebut boleh mempunyai pinggir bergerigi dan mengandungi benda seperti batu kerikil atau kaca. Kecederaan yang disebabkan oleh kemalangan jalan raya, luka tikaman atau tembakan, dan gigitan haiwan adalah jenis luka traumatik yang lazim.

NPWT merupakan rawatan yang digunakan dengan luas atas pelbagai jenis luka. Dalam NPWT, sebuah mesin yang sedutan vakum yang dikawal rapi (tekanan negatif) disambung kepada dresing yang menutup luka. Luka dan cecair tisu disedut dari tempat rawatan ke da satu bekas. Ini dipercayai boleh meningkatkan pengaliran darah dan memperbaiki penyembuhan luka.

Kami ingin tahu sama ada NPWT boleh membantu luka traumatik terbuka untuk sembuh dengan lebih cepat dan berkesan. Kami ingin mengetahui jika pesakit yang dirawat dengan NPWT mengalami sebarang kesan sampingan atau komplikasi lain, seperti jangkitan luka dan sakit. Kami juga berminat dengan impak NPWT terhadap kualiti hidup seseorang.

Apakah keputusan-keputusan utama ulasan ini?

Kami mendapati tujuh kajian yang relevan, bertarikh dari 2008-2017. yang membandingkan kesan NPWT pelbagai kekuatan dengan penjagaan luka standard. Kajian-kajian tersebut melibatkan sejumlah 1381 peserta berumur 12 tahun ke atas. Jantina peserta tidak direkodkan. TIdak semua kajian menyatakan punca pembiayaan. Satu telah dibiayaioleh pengilang NPWT.

Tiada perbezaan ketara dalam kadar penyembuhan dalam kalangan peserta dengan luka patah tulang terbuka yang dirawat dengan NPWT berbanding yang menerima penjagaan standard. Terdapat bukti kepastian sederhana bahawa NPWT adalah rawatan yang tidak kos efektif untuk luka patah tulang terbuka. Kami sangat tidak pasti sama ada NPWT mampu mengurangkan kecenderungan jangkitan luka berbanding penjagaan standard. Tiada bukti jelas NPWT memberi impak kepada pengalaman sakit, kejadian buruk atau pengalaman mereka menerima terapi.

Adakah ulasan ini terkini?

Kami mencari kajian-kajian yang telah diterbitkan sehingga Jun 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save