Dos diclofenac intravena tunggal untuk sakit jangka pendek selepas pembedahan dalam kalangan orang dewasa

Kesimpulannya

Terdapat bukti bahawa diclofenac intravena berkesan untuk mengurangkan sakit selepas pembedahan dalam kalangan orang dewasa, tetapi adalah kurang jelas bagaimana ia selamat dalam persekitaran ini.

Latar belakang

Sakit adalah biasa dalam jangka masa pendek selepas pembedahan. Ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs, ubat seperti aspirin) sering diberi bersama-sama dengan opioid (seperti morfin) untuk merawat sakit. Walau bagaimanapun, NSAID boleh menyebabkan perdarahan (seperti di tapak insisi atau luka) dan kecederaan buah pinggang dan usus. Diclofenac adalah NSAID yang boleh diberi melalui suntikan ke dalam vena (intravena), yang mungkin berguna apabila pesakit tidak dapat mengambil ubat-ubatan melalui mulut.

Ciri-ciri kajian

Pada Mei 2018, kami mencari kajian klinikal di mana diclofenac intravena diguna untuk merawat sakit selepas pembedahan dalam kalangan orang dewasa. Kami mendapati lapan kajian yang mendaftarkan sejumlah 1756 orang yang memenuhi keperluan kami. Kajian-kajian ini adalah sama dalam reka bentuk, walaupun dijalankan dalam surgeri yang berbeza (pergigian, pembedahan kecil campuran, abdomen, dan ortopedik). Dos diclofenac intravena yang digunakan juga berbeza. Kebanyakan diclofenac intravena dibandingkan dengan plasebo (rawatan palsu, seperti beg salin yang diberi ke dalam vena) atau NSAID lain.

Penemuan-penemuan utama

Kami paling berminat untuk menentukan bilangan peserta dengan sekurang-kurangnya separuh daripada maksimum yang mungkin mendapat kelegaan sakit selama empat atau enam jam selepas rawatan. Hampir dua kali lebih ramai pesakit mempunyai sekurang-kurangnya separuh daripada kelegaan sakit maksimum apabila mereka menerima diclofenac berbanding mereka yang menerima plasebo. Apabila diclofenac dibandingkan dengan NSAID yang lain, bilangan peserta yang sama mempunyai sekurang-kurangnya separuh daripada kelegaan sakit maksimum. Penilaian lain, seperti berapa cepat dan berapa ramai peserta yang memerlukan ubat penyelamat (ubat sakit tambahan yang tersedia untuk peserta kajian jika ubat kajian tidak merawat sakit dengan cukup baik), dan berapa ramai peserta yang menarik diri dari kajian, juga biasanya menunjukkan diclofenac intravena adalah lebih baik daripada plasebo dan serupa dengan NSAID lain.

Terdapat maklumat yang tidak cukup dalam kajian-kajian untuk membuat penilaian yang baik tentang kesan sampingan dan kesan sampingan yang serius, tetapi kadar di mana ia berlaku kelihatan sama dalam semua rawatan. Sebilangan kecil peserta keluar daripada kajian kerana kesan-kesan sampingan. Ini sering berlaku dalam kajian-kajian di mana pesakit berada dalam kajian hanya untuk tempoh masa yang singkat.

Kualiti bukti

Kami secara umumnya menilai kualiti bukti untuk setiap penilaian sebagai rendah kerana isu-isu dengan reka bentuk banyak kajian-kajian, dan bilangan keseluruhan orang yang didaftar adalah rendah. Bukti berkualiti rendah bermakna penyelidikan lanjut mungkin memberi impak penting kepada penemuan kami.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information