Pemberian maklumat untuk para pesakit di unit penjagaan rapi orang dewasa dan penjaga mereka

Latarbelakang

Semasa kemasukan ke unit penjagaan irapi (ICU), para-pesakit dan penjaga mereka mengalami stres fizikal dan psikologi yang boleh membawa kepada peningkatan rasa cemas, kemurungan, dan gangguan stres selepas trauma (PTSD). Menambahbaik cara komunikasi diantara pesakit, penjaga mereka, dengan para doktor, jururawat, dan kakitangan ICU yang lain mungkin boleh mengurangkan kesan trauma yang dihuraikan di atas. Komunikasi mungkin merangkumi intervensi pemberian maklumat ataupun pendidikan, dalam format yang berbeza, yang bertujuan untuk menigkatkan pengetahuan mengenai keadaan pesakit, pelan perawatan mereka, ataupun cabaran-cabaran yang mungkin dihadapi selepas keluar daripada ICU.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga 10 April 2017. Kami masukkan lapan kajian dengan 1157 pesakit ICU dan 943 penjaga pesakit ICU. Tujuh kajian sedang menunggu klasifikasi kerana kami tidak dapat menilai kelayakan mereka, dan tiga kajian sedang berjalan. Kami masukkan kajian-kajian yang menilai maklumat yang diberi kepada para pesakit atau penjaga mereka berbanding dengan tidak diberikan maklumat, dan kajian-kajian yang menilai maklumat sebagai sebahagian dari intervensi yang lebih kompleks berbanding kepada intervensi kompleks yang tidak memasukkan pemberian maklumat atau pendidikan. Kajian-kajian memasukkan maklumat yang pelbagai:sama ada diseragamkan atau disesuaikan kepada individu, diberi secara kerap ataupun sekali sahaja, termasuklah maklumat secara lisan atau bertulis, rakaman audio, maklumat multimedia, dan pek-pek maklumat interaktif.

Keputusan utama

Secara keseluruhannya, tidak dapat dipastikan sama ada pemberian maklumat atau pendidikan (diberi begitu sahaja ataupun sebahagian dari intervensi yang lebih kompleks) menambahbaik keadaan bagi para pesakit dan-penjaga mereka berikutan perawatan di ICU. Bagi pesakit, tidak pasti sama ada tidak diberikan maklumat ataupun pendidikan mengurangkan rasa cemas atau kemurungan, atau menambahbaik kualiti kehidupan yang berkaitan dengan kesihatan. Seorang pesakit menarik diri dari kajian kerana dia berpendapat bahawa kesihatan mentalnya bertambah buruk selepas menyempurnakan soal selidik untuk menilai rasa cemas dan kemurungan, tetapi tidak jelas sama ada peserta ini telah menerima intervensi maklumat ataupun tidak. Tiada kajian melaporkan PTSD di kalangan pesakit. Bagi penjaga, tidak pasti sama ada tidak diberikan maklumat ataupun pendidikan mengurangkan rasa cemas atau kemurungan atau menambahbaik pemerolehan ilmu pada penjaga atau kepuasan mereka dengan maklumat yang diberikan.

Kualiti bukti

Penyelidik tidak mungkin dapat menyembunyikan dari pesakit dan penjaga intervensi yang diterima oleh mereka, dan tidak jelas sama ada ini memberi kesan ke atas keputusan, yang bergantung kepada penilaian kendiri. Pengarang kajian tidak melaporkan secara konsisten kaedah kajian rawak yang dijalankan, dan kami dapati kehilangan maklumat beberapa pesakit dan penjaga sepanjang kajian. Kami menemui sebilangan kecil daripada kajian bagi ulasan ini, melaporkan data yang terhad bagi kebanyakan hasil yang dikaji. Tidak pasti sama ada pemberian maklumat atau pendidikan berkesan disebabkan kepastian bukti sangat rendah.

Kesimpulan

Kami tidak pasti mengenai kesan intervensi pemberian maklumat atau pendidikan yang diberikan kepada para-pesakti dewasa di ICU dan penjaga mereka. Bukti yang ada mempunya kepastian yang sangat rendah, dan keyakinan kami kepada bukti adalah terhad. Kami mengetahui tiga kajian yang sedang dijalankan dan tujuh kajian yang baru disempurnakan tetapi belum diterbitkan. Kajian-kajian baru ini mungkin boleh memberikan bukti tambahan ataupun menambahbaik kepastian penemuan-penemuan pada semakan ulasan yang akan datang.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information