Program latihan ibu bapa dalam pengurusan kolik bayi

Apakah kolik bayi?
Kolik bayi merupakan suatu keadaan seseorang bayi yang kelihatan sihat sehingga berumur empat bulan mengalami tempoh tangisan yang tidak dapat dipujuk dan dijelaskan. Tempoh tangisan boleh berlangsung selama tiga jam atau lebih setiap hari, dan berlaku tiga hari seminggu selama sekurang-kurangnya tiga minggu. Ini boleh mengakibatkan ibu bapa untuk menjadi lesu dan risau sewaktu berusaha untuk menenangkan anak mereka.

Apakah program latihan ibu bapa?
Program latihan ibu bapa merangkumi pemberian latihan, sokongan dan intervensi psikologi kepada ibu bapa, bagi membantu mengurangkan simptom bayi mereka dan tahap kegelisahan ibu bapa.

Apakah yang dikaji oleh para penyelidik?
Ulasan Cochrane ini bertujuan untuk menilai keberkesanan dan keselamatan program latihan ibu bapa untuk menguruskan kolik bayi, dan untuk mengenal pasti kandungan dan sifat pendidikan program tersebut.

Kajian yang dimasukkan
Tinjauan ini menemui tujuh kajian yang relevan, kecil, rawak terkawal (sejenis eksperimen dengan peserta diperuntukkan secara rawak kepada dua atau lebih kumpulan), melibatkan 1187 peserta. Semua kajian merangkumi bayi yang berumur kurang dari empat bulan. Tempoh intervensi adalah berbeza-beza, dengan yang terpendek adalah enam hari dan yang paling lama adalah selama tiga bulan. Empat kajian dijalankan di Amerika Syarikat, satu di Kanada, satu di Belanda dan satu di Iran. Empat kajian menyatakan sumber pembiayaan mereka, termasuk institusi penyelidikan nasional, yayasan dan syarikat pemakanan.

Lima kajian membandingkan satu program latihan ibu bapa dengan kawalan (dengan kata-kata penenangan, tidak intervensi atau mengayun bayi di katil mereka). Salah satu kajian ini juga membandingkan program latihan dengan kumpulan ketiga yang menerima satu tempat duduk bayi khusus. Satu kajian membandingkan satu program latihan ibu bapa dengan diet pengecualian-susu. Kajian terakhir membandingkan satu program latihan ibu bapa dengan program latihan ibu bapa yang sama ditambah dengan pembedungan. Perincian kandungan latihan adalah terhad, tetapi kebanyakan intervensi biasanya tertumpu pada satu atau gabungan yang berikut: teknik menenangkan bayi yang menangis (enam kajian); nasihat penjagaan umum termasuk tidur (empat kajian); nasihat penyuapan makanan (dua kajian); pengurangan tekanan dan kaunseling empati untuk ibu bapa (dua kajian); dan nasihat interaksi permainan positif (satu kajian).

Keputusan
Pengulas menemui bukti yang menunjukkan bahawa program latihan ibu bapa mungkin mengurangkan masa tangisan bayi berbanding kumpulan kawalan. Namun, bukti ini didapati daripada hanya tiga kajian kecil (157 bayi) yang mempunyai pelbagai kelemahan. Oleh itu, pengulas menganggap kepastian keseluruhan penemuan ini rendah. Pengulas menjumpai bukti daripada satu kajian kecil (20 bayi) bahawa tempoh tangisan semasa tamat kajian adalah lebih pendek bagi bayi yang mengambil pengecualian-susu / formula susu soya daripada latihan ibu bapa. Untuk perbandingan 'Latihan ibu bapa berbanding tempat duduk khusus bayi' dan 'Latihan ibu bapa ditambah dengan pembedungan' pengulas tidak menemui data yang dapat digunakan untuk membuat kesimpulan.

Tiada satu pun kajian yang disertakan secara jelas yang melaporkan kejadian kesan buruk daripada latihan ibu bapa.

Rumusan pengarang
Walaupun analisis menunjukkan bahawa tempoh tangisan mungkin dikurangkan dalam kalangan bayi yang ibu bapanya mengikuti program latihan ibu bapa, namun kepastian buktinya adalah rendah. Selanjutnya, ujian rawak terkawal yang direkabentuk dengan lebih baik diperlukan untuk menjawab soalan mengenai keberkesanan dan keselamatan program latihan ibu bapa untuk pengurusan kolik bayi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Faliq Adeeba Wan Ibrahim (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information