Propofol pada waktu malam untuk memperbaiki tidur di unit rawatan intensif

Latar belakang

Kurang tidur mempengaruhi kesihatan fizikal dan mental seseorang dan, bagi orang yang sakit kritikal, tidur dianggap memperbaiki penyembuhan dan survival. Orang di unit rawatan intensif (ICU) mengalami tidur yang kurang baik. Banyak faktor menyumbang kepada tidur yang kurang baik termasuk tahap bunyi bising yang tinggi, pencahayaan 24 jam dan aktiviti penjagaan pesakit yang mengganggu. Propofol adalah agen anestetik yang diberi melalui infusi ke dalam vena yang kadang-kadang digunakan untuk menenangkan orang yang berada di ICU. Dalam ulasan ini, kami melihat kajian-kajian di mana propofol diberi kepada orang dewasa pada waktu malam untuk memperbaiki kualiti dan kuantiti tidur.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2017. Kami memasukkan empat kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana orang diagihkan secara rawak ke dalam satu dari dua atau lebih kumpulan rawatan ) dengan 149 peserta dalam ulasan ini. Dua kajian sedang menunggu klasifikasi (kerana kami tidak dapat menilai kelayakan mereka) dan satu kajian sedang berlangsung. Semua peserta adalah sakit kritikal dan berada di ICU.

Keputusan utama

Kami tidak menggabungkan keputusan daripada kajian-kajian kerana perbezaan dalam perbandingan (digelar sebagai kawalan) rawatan dan reka bentuk kajian. Satu kajian membandingkan propofol dengan tanpa agen. Kajian ini menggunakan 'polysomnography' (yang merekodkan gelombang otak, tahap oksigen dalam darah, denyutan jantung, pernafasan, dan pergerakan mata dan kaki) untuk mengukur kualiti dan kuantiti tidur. Ia melaporkan tiada pembaikan dalam tempoh tidur dengan propofol tetapi peserta terbangun kurang kerap dan untuk jangka masa yang lebih pendek dan menjelaskan kualiti tidur mereka sebagai diperbaiki dengan propofol. Satu kajian membandingkan dos propofol yang lebih tinggi pada waktu malam yang dijelaskan sebagai penenang malam tambahan, dengan dos yang tetap pada siang hari dan waktu malam. Kajian ini menggunakan Skala Sedasi Ramsay (yang biasanya diguna oleh pakar anestetik untuk menilai betapa mudahnya seseorang dibangkitkan) dan melaporkan peserta dilihat mempunyai ritma tidur yang lebih baik. Dua kajian membandingkan propofol dengan benzodiazepin (ubat penenang; flunitrazepam dalam satu kajian dan midazolam dalam satu kajian). Kajian-kajian tersebut menggunakan Buku Harian Tidur Pittsburgh dan Skala Kemurungan dan Keresahan Hospital untuk mengukur kuantiti dan kualiti tidur. Kajian dengan flunitrazepam melaporkan kurang kekerapan terjaga dengan tempoh yang berkurangan dengan propofol tetapi jumlah masa tidur adalah sama dalam setiap kumpulan dan kajian dengan midazolam melaporkan tiada perbezaan dalam kualiti tidur. Kajian dengan flunitrazepam juga mengukur tidur dengan Indeks Bispectral (diguna oleh pakar anestetik untuk menilai kedalaman anestesia) dan melaporkan masa yang lebih lama untuk tidur yang mendalam, dengan sedikit bilangan terjaga. Kajian dengan midazolam melaporkan tahap keresahan dan kemurungan yang lebih tinggi dalam kedua-dua kumpulan, dan tiada perbezaan apabila para peserta diberi propofol. Tiada kajian melaporkan kesan sampingan.

Kualiti bukti

Penyelidik telah menilai bukti sebagai kualiti yang sangat rendah. Penyelidik mendapati hanya empat kajian rawak terkawal yang kecil dan keputusan kajian-kajian adalah tidak konsisten. Penyelidik mendapati perbezaan dalam keterukan penyakit para peserta dan ubat-ubatan yang dibandingkan dengan propofol dalam kajian-kajian tersebut. Mengukur kualiti tidur menggunakan buku harian, soal selidik dan sistem skor adalah berdasarkan atau dipengaruhi oleh, perasaan atau pendapat peribadi, dan kami meragui kakitangan dan peserta mengetahui ubat yang diberi; kami percaya ini boleh mempengaruhi keputusan kajian. Hanya satu kajian yang menggunakan 'polysomnography', yang merupakan alat ukur tidak bias yang paling sesuai untuk tidur.

Kesimpulan

Kami tidak dapat mengumpulkan bukti yang cukup untuk menentukan sama ada propofol yang diberi pada waktu malam kepada orang dewasa di ICU memperbaiki kualiti dan kuantiti tidur mereka, sebagai cara untuk membantu pemulihan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save