Soalan ulasan
Apakah kesan intervensi yang berbeza sama ada untuk mengelakkan atau merawat osteonekrosis berkaitan dengan ubat pada rahang berbanding dengan satu sama lain atau dibandingkan dengan tanpa rawatan atau intervensi yang tidak aktif ('plasebo')?
Latar belakang
Osteonekrosis yang berkaitan dengan ubat (MRONJ) adalah kerosakan tulang yang teruk pada tulang rahang yang berlaku pada sesetengah orang sebagai kesan sampingan kepada ubat tertentu yang biasa digunakan dalam rawatan kanser dan osteoporosis (penyakit yang membuat tulang rapuh). Ia adalah keadaan yang menyakitkan yang sukar untuk dirawat. MRONJ jarang berlaku pada orang yang mengambil beberapa ubat untuk osteoporosis. Namun demikian, dalam orang yang menerima ubat ini pada dos yang lebih tinggi untuk keadaan yang berkaitan dengan kanser, risiko MRONJ mungkin lebih tinggi dan dilaporkan berlaku sehingga 5 dalam 100 individu. Adalah penting untuk mendapatkan rawatan yang lebih baik bagi mereka yang mempunyai MRONJ. Ia juga penting untuk mengenal pasti langkah pencegahan yang berkesan untuk mengurangkan risiko MRONJ.
Ciri-ciri kajian
Bekerja dengan Kesihatan Oral Cochrane, penyelidik mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga November 2016. Penyelidik mendapati terdapat tiga kajian yang menumpukan pada pencegahan MRONJ dan dua kajian yang menguji rawatan untuk MRONJ. Kajian melibatkan 1218 orang dewasa, dengan kajian terkecil yang mempunyai 40 peserta dan kajian terbesar yang mempunyai 700 peserta. Kebanyakan peserta kajian adalah wanita, tetapi satu kajian adalah lelaki dengan kanser prostat yang menerima infusi bisphosphonate (diberikan oleh titisan ke dalam vena). Semua kajian hanya melibatkan peserta yang dirawat dengan bisphosphonate (digunakan untuk menyokong rawatan dan mengurangkan risiko fraktur dan sakit tulang), walaupun beberapa ubat lain juga dikenali untuk mendorong MRONJ.
Keputusan utama
Satu kajian memberikan bukti yang berkualiti rendah bahawa pemeriksaan gigi pada selang tiga bulan dan rawatan pencegahan (antibiotik sebelum pengekstrakan gigi dan penggunaan teknik untuk penutupan luka yang mengelakkan pendedahan dan pencemaran tulang) adalah lebih berkesan daripada penjagaan standad untuk mengurangkan bilangan kes-kes dengan MRONJ dalam sekumpulan orang yang menerima bisphosphonate intravena untuk keadaan yang berkaitan dengan kanser. Dalam kumpulan eksperimen (yang menerima rawatan pencegahan yang terdiri daripada antibiotik dan penutupan luka tertentu), kurang individu yang membangun MRONJ (2 peserta dalam setiap 100 yang menjalani pemantauan yang rapat) berbanding dengan kumpulan kawalan (23 peserta setiap 100 yang mempunyai penjagaan piawaian).
Tidak terdapat bukti yang mencukupi untuk membuat kesimpulan bahawa penggunaan intervensi lain yang disiasat akan mengurangkan risiko MRONJ atau menambahbaik penyembuhan MRONJ.
Kualiti bukti
Kualiti bukti adalah rendah atau sangat rendah. Ini disebabkan oleh batasan tentang cara kajian telah dirancang dan dilaksanakan. Sebagai contoh, sesetengah peserta yang menukar kumpulan semasa kajian, sesetengah peserta tidak menyelesaikan kajian, dan hasilnya diukur pada susulan yang berbeza.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.