Senaman untuk mencegah jatuh dalam kalangan orang tua yang tinggal di dalam komuniti.

Latar belakang

Sekurang-kurangnya satu pertiga daripada orang berusia lebih 65 tahun yang tinggal di dalam komuniti jatuh setiap tahun. Senaman yang mensasarkan keseimbangan, gaya jalan dan kekuatan otot didapati dapat mencegah kejatuhan dalam kalangan mereka.

Matlamat ulasan

Untuk menilai kesan (manfaat dan mudarat) intervensi senaman untuk mencegah jatuh dalam kalangan orang tua yang tinggal di dalam komuniti.

Tarikh carian

Kami mencari literatur penjagaan kesihatan untuk laporan kajian rawak terkawal yang relevan kepada ulasan ini sehingga 2 Mei 2018. Dalam kajian-kajian tersebut, orang-orang diagihkan secara rawak untuk menerima satu daripada dua atau lebih intervensi dalam kajian. Pengagihan kumpulan mengikut peluang membantu memastikan populasi peserta adalah hampir sama dalam kumpulan intervensi.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini memasukkan 108 kajian rawak terkawal dengan 23,407 peserta. Kajian-kajian dijalankan di 25 negara. Secara purata, peserta berusia 76 tahun dan 77% adalah wanita.

Kepastian bukti

Kebanyakan kajian berisiko bias tidak jelas atau tinggi, terutamanya mencerminkan kekurangan pembutaan peserta kajian dan kakitangan kepada intervensi. Ini boleh mempengaruhi bagaimana kajian dijalankan dan hasil penilaian. Kepastian bukti untuk kesan keseluruhan senaman terhadap jatuh adalah tinggi. Risiko fraktur, dimasukkan ke hospital, rawatan perubatan dan peristiwa-peristiwa buruk tidak dilaporkan dengana baik dan, di mana dilaporkan, kepastian bukti adalah rendah hingga sangat rendah. Ini membawa kepada ketidakpastian membuat kesimpulan daripada bukti hasil-hasil tersebut.

Keputusan-keputusan utama

Lapan puluh satu kajian membandingkan senaman (semua jenis) dengan intervensi kawalan yang tidak mengurangkan jatuh dalam kalangan orang-orang yang tinggal dalam komuniti (yang juga bukan baharu keluar dari hospital). Senaman mengurangkan bilangan jatuh dari semasa ke semasa sekitar satu perempat (23% pengurangan). Sebagai contoh, data ini menunjukkan bahawa jika terdapat 850 kejatuhan dalam 1000 orang disusul selepas satu tahun, senaman akan menghasilkan kurang dari 195 kejatuhan. Senaman juga mengurangkan bilangan orang yang mengalami satu atau lebih kejatuhan (bilangan orang yang jatuh) kira-kira satu perenam (15%) berbanding kumpulan kawalan. Sebagai contoh, jika terdapat 480 kejatuhan dalam 1000 orang yang disusul selepas satu tahun, senaman akan menghasilkan kurang dari 72 kejatuhan. Kesan ke atas kejatuhan adalah hampir sama tidak kira sama ada orang-orang tersebut lebih berisiko untuk jatuh atau tidak.

Kami mendapati senaman yang melibatkan keseimbangan dan latihan fungsi mengurangkan kejatuhan berbanding kumpulan kawalan yang tidak aktif. Program-program yang melibatkan pelbagai jenis senaman (terutama keseimbangan dan latihan fungsi dan latihan rintangan) mungkin mengurangkan kejatuhan, dan Tai Chi juga boleh mengurangkan kejatuhan. Kami tidak dapat bukti cukup untuk menentukan kesan program-program senaman yang diklasifikasikan sebagai senaman rintangan, menari, atau program berjalan. Kami mendapati tiada bukti untuk menentukan kesan program-program yang kebanyakannya fleksibiliti atau senaman ketahanan.

Agak kurang bukti hasil bukan akibat kejatuhan. Senaman boleh mengurangkan bilangan orang mengalami fraktur lebih satu perempat (27%) berbanding kumpulan kawalan. Walau bagaimanapun, lebih banyak kajian diperlukan untuk mengesahkan keputusan-keputusan ini. Senaman juga boleh mengurangkan risiko kejatuhan yang memerlukan perhatian perubatan. Kami tidak mendapat bukti cukup untuk menentukan kesan senaman ke atas risiko kejatuhan yang memerlukan kemasukan ke hospital. Senaman membuat perbezaan yang sangat sedikit untuk kualiti hidup berkaitan kesihatan. Bukti peristiwa-peristiwa buruk yang berkaitan dengan senaman juga adalah terhad. Di mana dilaporkan, peristiwa-peristiwa buruk biasanya berbentuk muskuloskeletal yang tidak serius; kecuali satu kajian melaporkan satu fraktur tekanan pelvis dan satu hernia.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information
Share/Save