Mengunakan susu hidrolisat protein berbanding susu formula standard untuk bayi pramatang

Soalan ulasan

Adakah memberi susu formula lembu yang mengandungi protein yang telah dicernakan terlebih dahulu (terhidrolisis), dan bukannya protein keseluruhan kepada bayi pramatang, meningkatkan penghadaman dan mengurangkan risiko masalah usus yang teruk?

Latar belakang

Bayi pramatang sering mendapati bahawa susu formula lembu adalah lebih sukar untuk dicernakan daripada susu manusia, dan susu formula lembu boleh meningkatkan risiko masalah usus yang serius untuk bayi pramatang (lahir sebelum usia kandungan genap 37 minggu). Jika bayi pramatang diberi minum susu formula lembu (apabila susu manusia tidak dapat diperolehi),dengan menggunakan susu formula di mana sebahagian protein sudah dicerna (dipanggil 'terhidrolisis ') dan bukannya susu formula standard (dengan protein utuh) mungkin mengurangkan risiko masalah ini. Walau bagaimanapun, formula terhidrolisis adalah lebih mahal daripada formula standard, dan mungkin mempunyai kesan sampingan tertentu yang tidak dilihat dengan formula standard. Memandangkan kebimbangan ini, kami telah mengkaji semua bukti yang ada dari ujian klinikal yang membandingkan jenis-jenis susu formula yang diberikan kepada bayi pramatang.

Ciri-ciri kajian

Dalam carian pangkalan data perubatan sehingga 28 Januari 2019, kami mendapati 11 ujian yang berkaitan; Kebanyakan adalah kecil (melibatkan 665 bayi kesemuanya) dan mempunyai kelemahan pada bahagian metodologikal.

Keputusan utama

Bukti yang ada pada masa ini menunjukkan bahawa pemberian formula terhidrolisis (bukan formula standard) pada bayi pramatang semasa kemasukan awal mereka ke hospital tidak memberi faedah yang penting ataupun kemudaratan. Walau bagaimanapun, penemuan ini belum konklusif lagi, dan kajian yang lebih baik kualitinya diperlukan bagi menyediakan bukti untuk membantu para doktor dan keluarga membuat pilihan yang berinformasi tentang isu ini.

Kualiti bukti

Data dari kajian ini tidak memberi bukti yang kuat atau konsisten bahawa memberi susu formula terhidrolisis kepada bayi pramatang berbanding susu formula standard akan menambah baik atau menambah buruk sistem pencernaan atau mengurangkan risiko masalah usus yang serius.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca-Siswazah Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information