Pemantauan automatik untuk pengesanan awal sepsis dikalangan pesakit yang dirawat di unit jagaan intensif

Soalan ulasan

Bolehkah sistem automatik bagi pengesanan awal sepsis mengurangkan masa untuk menerima rawatan dan menambahbaik kesihatan pesakit di unit jagaan intensif (ICU), berbanding dengan jagaan standard?

Latar belakang

Sepsis terjadi bila seseorang mendapat jangkitan kuman dan sistem imunisasi mereka bertindak keterlaluan terhadap jangkitan itu. Jika sepsis tidak dirawat dengan betul, ia boleh dengan cepatnya meyebabkan kejutan septik, dimana organ utama badan seperti hati dan jantung berhenti berfungsi dengan betul. Pesakit boleh mendapat sepsis pada bila-bila masa tetapi pesakit di dalam jagaan intensif lebih cenderung mengalaminya. Kejutan septik boleh membawa maut kepada 20% hingga 70% pesakit yang dimasukkan ke jagaan intensif di Eropah. Tidak ada satu ujian diagnostik yang boleh memberitahu jika seseorang mengalami sepsis atau tidak. Sebaliknya, keputusan beberapa ujian (seperti ujian darah) perlu dinilai bersama maklumat lain mengenai pesakit (seperti sejarah perubatan pesakit), dan pemerhatian klinikal (seperti kadar jantung, suhu badan, dan tekanan darah). Proses ini boleh memakan masa dan rumit untuk dilakukan. Pesakit yang dimasukkan ke jagaan intensif kemungkinannya sangat uzur dan ia boleh menjadi sukar untuk menentukan sama ada keputusan-keputusan abnormal yang diperolehi adalah kerana masalah yang menyebabkan mereka dimasukkan ke jagaan intensif, atau disebabkan oleh sepsis.

Sistem pemantauan automatik adalah sistem elektronik yang boleh mengumpul dan menganalisis maklumat dari punca-punca yang berbeza, dan boleh digunakan untuk memberi amaran kepada kakitangan jika anda dan simptom sepsis dikenal pasti. Ini bermakna sepsis boleh didiagnos seawal mungkin, yang membolehkan rawatan bermula sebelum kerosakan organ terjadi. Bagaimanapun, terdapat kemungkinan yang sistem pemantauan automatik tidak membantu, atau menyebabkan bahaya. Ini mungkin terjadi jika sistem tidak dapat mengesan sepsis dengan betul (bermakna rawatan tidak dimulakan bila diperlukan, atau dimulakan bila ia tidak sepatutnya), atau kakitangan jagaan kesihatan mungkinnya tidak respon kepada amaran dengan cukup cepat, terutamanya jika sistem mengeluarkan terlalu banyak amaran palsu.

Ciri-ciri kajian

Kami menjalankan carian untuk mengenalpasti bukti yang mempunyai penerbitan sebelum September 2017. Kajian layak untuk dimasukkan jika mereka membandingkan pemantauan sepsis automatik kepada jagaan standard (seperti sistem berlandaskan kertas) pada pesakit yang dimasukkan ke unit intensif atau jagaan kritikal untuk penyakit kritikal. Kami tidak masukkan kajian-kajian yang tidak rawak (kajian di mana peserta tidak dibahagikan kepada kumpulan rawatan secara peluang), kajian rawak-’quasi’ (kajian di mana peserta dibahagikan kepada kumpulan rawatan melalui kaedah yang tidak sepenuhnya melalui peluang, seperti tarikh lahir atau nombor perubatan), dan kajian-kajian silang (di mana peserta-peserta pada mulanya menerima satu rawatan dan kemudian disilangkan untuk menerima rawatan yang lain). Kajian-kajian yang melibatkan pesakit yang telahpun didiagnos dengan sepsis juga tidak dimasukkan.

Keputusan utama

Kami masukkan tiga kajian rawak yang terkawal (kajian-kajian di mana peserta dibahagikan kepada kumpulan rawatan melalui peluang), yang melibatkan 1199 peserta dalam ulasan ini. Pada keseluruhannya tiada perbezaan ketara pada masa memulakan terapi antimikrob (seperti rawatan antimikrob dan antikulat, bukti berkualiti sangat rendah), jangka masa tinggal di unit jagaan intensif (bukti berkualiti sangat rendah), ataupun pada kadar kematian dalam tempoh 14 hari, 28 hari ataupun selepas discaj (bukti berkualiti sangat rendah) bila sistem pemantauan automatik dibandingkan dengan jagaan standard. Terdapat bukti berkualiti sangat rendah ke atas pengesanan sepsis yang gagal tetapi laporan data terlalu tidak jelas untuk membolehkan kami menganalisisnya secara bermakna. Hasil-hasil lain yang kami ingin nilai seperti masa untuk memulakan resusitasi cecair (proses penambahan amaun cecair dalam tubuh), kematian dalam tempoh 30 hari, dan kualiti kehidupan tidak dilaporkan dalam mana-mana kajian.

Kualiti bukti

Keputusan ulasan ini menunjukkan bukti yang terhad, berkualiti sangat rendah, yang telah menghalang kami dari membuat kesimpulan yang bermakna. Tidak jelas sama ada kesan sistem automatik untuk pemantauan sepsis ke atas apa-apa hasil yang dimasukkan dalam ulasan ini, dan dari itu kami tidak pasti samada pemantauan sepsis automatik adalah berfaedah ataupun tidak. Tambahan bukti berkualiti tinggi diperlukan untuk membantu menjawab soalan ulasan kami.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information
Share/Save