Pengurusan pembedahan prolaps organ pelvik dalam kalangan wanita

Soalan ulasan

Intervensi pembedahan prolaps faraj apikal manakah mempunyai hasil-hasil terbaik?

Latar belakang

Prolaps faraj apikal adalah penurunan rahim atau (selepas pembedahan histerektomi) bahagian atas faraj (kubah). Terdapat pelbagai rawatan pembedahan, dan tiada garis panduan untuk mengesyorkan yang terbaik.

Ciri-ciri kajian

Tiga puluh kajian rawak terkawal menilai 3414 wanita yang telah menjalani pembedahan untuk prolaps faraj apikal. Perbandingan paling lazim adalah di antara pembedahan faraj dan kolpopeksi sakral (prosedur abdominal yang menggantungkan bahagian atas vagina kepada sakrum dengan graf) (enam RCT), pembedahan faraj dengan atau tanpa jaringan (enam RCT), histerektomi faraj berbanding alternatif lain (enam RCT), dan pelbagai jenis atau laluan kolpopeksi sakral (lapan RCT). Bukti adalah terkini sehingga Julai 2015.

Keputusan-keputusan utama

Berbanding pelbagai jenis pembaikan faraj, kolpopeksi sakral dikaitkan dengan kadar lebih rendah bagi kesedaran prolaps, pembedahan ulangan untuk prolaps, prolaps sewaktu pemeriksaan, inkontinensi stres urinari (SUI) dan kesakitan persetubuhan. Jika 7% wanita sedar tentang prolaps selepas kolpopeksi sakral, 14% (7% hingga 27%) mungkin mempunyai kesedaran tersebut selepas prosedur faraj. Jika 4% wanita memerlukan pembedahan prolaps ulangan selepas kolpopeksi sakral, antara 5% dan 18% akan memerlukannya selepas prosedur faraj.

Kami tidak menemui bukti konklusif prosedur faraj meningkatkan keperluan untuk pembedahan ulangan bagi SUI. Jika 3% wanita memerlukan pembedahan ulangan untuk SUI selepas kolpopeksi sakral, antara 2% dan 16% mungkin memerlukannya selepas prosedur faraj.

Bukti yang terhad tidak menyokong penggunaan jaringan transfaraj berbanding pembaikan tisu asli. Bukti tidak tepat mencadangkan jika 18% wanita sedar terhadap prolaps selepas pembedahan tanpa jaringan, antara 6% dan 59% akan mempunyai kesedaran selepas pembedahan dengan jaringan. Jika 4% wanita memerlukan pembedahan ulangan untuk prolaps selepas pembedahan tanpa jaringan, 1% hingga 7% akan berbuat demikian selepas pembedahan dengan mesh. Kami tidak menemui bukti jelas pembedahan dengan jaringan mengurangkan prolaps berulang. Kebanyakan jaringan transfaraj yang dinilai tidak lagi didapati dan jaringan baharu yang lebih ringan kurang bukti keselamatan.

Bukti adalah tidak konklusif bagi pembandingan di antara pembedahan yang memelihara rahim dengan histerektomi faraj, dan pelbagai akses laluan untuk kolpopeksi sakral.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah sangat rendah sehingga sederhana. Pembatasan termasuklah ketidaktepatan, laporan kaedah kajian yang lemah, dan ketidakkonsistenan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Denise Chai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi denisechai@ms.pmc.edu.my

Tools
Information
Share/Save