Aspirin dan ubat serupa untuk rawatan trombosis urat dalam (DVT)

Mesej utama

- Apabila digunakan selepas rawatan awal standard dengan antikoagulasan, aspirin dan ubat serupa (agen antiplatelet) sebagai tambahan kepada amalan perubatan terbaik (BMP), boleh mengurangkan tromboembolisma vena berulang (VTE), iaitu trombosis urat dalam (DVT) atau embolisma pulmonari (PE) , jika dibandingkan dengan BMP ditambah plasebo dalam tetapan DVT kronik. Tiada perbezaan yang jelas dalam kesan sampingan, pendarahan besar atau PE dengan penggunaan agen antiplatelet.

- Kajian berkualiti metodologi tinggi yang besar dan cukup panjang untuk mengesan hasil klinikal yang ketara adalah diperlukan untuk menilai kesan jangka panjang agen antiplatelet. Kajian harus memasukkan orang yang mengalami DVT akut dan kronik dan memasukkan maklumat tentang hasil penting seperti DVT, PE dan pendarahan besar, penggunaan penapis vena cava inferior (IVC), dan umur peserta.

Apa itu DVT?

DVT adalah bekuan darah yang terbentuk di dalam sistem vena badan, menghalang aliran darah.

Bagaimanakah DVT dirawat?

Selepas rawatan awal dengan antikoagulan, orang menerima rawatan susulan (dikenali sebagai BMP) yang memasukkan ubat untuk mencegah pembekuan baru, stokin mampatan dan penjagaan klinikal (seperti senaman fizikal dan pelembapan kulit). Antiplatelet seperti aspirin, adalah ubat yang menghalang sel dalam darah (platelet) daripada melekat bersama dan membentuk bekuan. Oleh itu, mereka boleh dilihat sebagai intervensi tambahan yang berpotensi kepada BMP semasa untuk merawat DVT. Antiplatelet boleh digunakan untuk meminimumkan komplikasi seperti gejala pasca trombotik (PTS, keadaan di mana bekuan darah dalam vena menyebabkan fungsi terjejas dalam saluran yang terjejas), dan PE (apabila bekuan darah bergerak melalui aliran darah ke paru-paru dan menyekat alirannya). Antiplatelet juga boleh mengurangkan pengulangan DVT atau PE. Satu kelemahan penggunaan antiplatelet adalah potensi peningkatan pendarahan.

Apa yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada memberi antiplatelet kepada orang untuk merawat DVT, selepas rawatan awal, mengurangkan bilangan VTE berulang, pendarahan atau PE berbanding orang yang hanya menerima BMP atau BMP ditambah plasebo (rawatan yang kelihatan serupa tetapi tanpa kesan perubatan) . Kami juga ingin menentukan sama ada antiplatelet mengurangkan kematian, sama ada orang mengalami PTS, sama ada mereka mengalami kesan sampingan, sama ada kualiti hidup mereka bertambah baik dan sama ada terdapat perubahan dalam tempoh masa yang dihabiskan di hospital.

Apa yang kami buat?

Kami mencari kajian yang menilai antiplatelet yang diberikan kepada orang untuk merawat DVT. Kajian harus mempunyai reka bentuk rawak (apabila peserta diperuntukkan secara rawak kepada kumpulan rawatan) selagi mereka membandingkan antiplatelet ditambah BMP dengan BMP sahaja atau BMP dengan plasebo. Rawatan ini dimulakan selepas antikoagulan standard awal untuk DVT. Kami mengumpulkan keputusan apabila sesuai.

Apa yang kami dapati?

Keputusan adalah berdasarkan enam kajian dengan 1625 peserta dari AS, Kanada, Eropah, India, Argentina, Australia dan New Zealand. Dua kumpulan besar peserta telah dikaji: peserta dengan DVT akut (rawatan bermula sehingga 21 hari selepas gejala), dan peserta dengan DVT kronik (rawatan bermula selepas 21 hari gejala). Semua kajian menggunakan BMP sebagai perbandingan, atau BMP ditambah plasebo. Setiap perbandingan menyiasat kesan antiplatelet pada pengulangan DVT, PE, kematian dan kesan sampingan.

Kami mempunyai keyakinan terhad bahawa antiplatelet sebagai tambahan kepada BMP mungkin mempunyai kesan pada mengurangkan risiko episod baru VTE apabila dibandingkan dengan BMP dengan plasebo dalam tetapan DVT kronik. Ia adalah perlu untuk merawat 14 pesakit untuk mengelakkan satu kejadian VTE. Walau bagaimanapun, apabila hanya PE dikaji, antiplatelet tidak mencapai perbezaan antara kumpulan. Penggunaan antiplatelet sebagai rawatan tambahan nampaknya tidak menambah sebarang bahaya atau risiko, seperti kematian, pendarahan, atau kesan sampingan yang lain.

Walaupun keyakinan kami terhadap bukti adalah sangat terhad, orang yang menerima antiplatelet mungkin mempunyai kadar VTE berulang yang lebih rendah berbanding mereka yang tidak menerima antiplatelet dalam tetapan DVT kronik. Begitu juga, walaupun keyakinan kami terhadap bukti adalah sangat terhad, orang yang menerima antiplatelet mungkin mempunyai kadar PTS yang lebih rendah dan peningkatan kesan sampingan dalam tetapan DVT akut.

Kami tidak boleh membuat kesimpulan daripada bukti yang sangat terhad untuk menggunakan antiplatelet sebagai rawatan tambahan kepada BMP berbanding dengan BMP sahaja dalam tetapan DVT akut dan kronik.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami terhadap bukti adalah terhad atau sangat terhad kerana hanya sedikit orang yang mengalami hasilnya, dan beberapa batasan kajian boleh menimbulkan ralat, contohnya masalah perawakan dan pelaporan terpilih, hasil yang tidak jelas dan penerbitan pendua.

Kajian berkualiti tinggi pada masa hadapan mungkin menghasilkan data penting, terutamanya untuk keputusan seperti kematian dan kesan sampingan, serta rawatan DVT akut.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Bukti ini adalah terkini sehingga 7 Disember 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wan Anisa Hanim Binti Mohd Nasir@Azman (Klinik Pergigian Kok Lanas). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information