Antikolinergik digabung dengan penyekat alfa untuk merawat simptom saluran kencing bawah yang berkait dengan obstruksi prostat benigna

Soalan ulasan

Adakah terapi gabungan dengan antikolinergik, sejenis ubat yang dapat melegakan kontraksi pundi kencing abnormal (yang mana lelaki tidak dapat mengawal akencing), dan penyekat alfa, sejenis ubat yang boleh merelaks otot uretra (tiub yang membawa air kencing dari pundi kencing melalui zakar semasa kencing), berkesan dan selamat untuk menguruskan kesukaran dan keterdesakan kencing yang berkait dengan pembesaran prostat?

Latar belakang

Kesukaran dan keterdesakan kencing akibat pembesaran prostat (organ lelaki berdekatan pundi kencing dan mengelilingi sebahagian uretra) adalah lazim dalam kalangan lelaki. Walaupun penyekat alfa telah diguna untuk melegakan simptom kencing, sehingga satu pertiga lelaki tidak mendapat manfaat. Terapi gabungan dengan penyekat alfa dan antikolinergik memberi opsyen rawatan untuk lelaki dengan simptom kencing.

Ciri-ciri kajian

Carian adalah terkini sehingga 7 Ogos 2020. Kami mengenalpasti 23 kajian melibatkan 6285 lelaki. Lima kajian membandingkan terapi gabungan dengan antikolinergik dan penyekat alfa berbanding plasebo (pil tanpa kesan terapeutik). Sejumlah 22 kajian membandingkan terapi gabungan dengan antikolinergik dan penyekat alfa berbanding penyekat alfa sahaja. Tiga kajian membandingkan terapi gabungan dengan antikolinergik dan penyekat alfa berbanding antikolinergik sahaja. Tempoh susulan dalam kajian-kajian tersebut adalah antara 12 minggu ke satu tahun.

Keputusan utama

Terapi gabungan berbanding plasebo: terapi gabungan dengan antikolinergik dan penyekat alfa dikaitkan dengan sedikit kesan kepada simptom kencing dan pembaikan kualiti hidup yang tidak pasti, tetapi terapi gabungan mungkin meningkatkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini.

Terapi gabungan berbanding penyekat alfa: terapi gabungan dengan antikolinergik dan penyekat alfa mungkin mempunyai kesan yang tidak pasti terhadap pembaikan simptom kencing dan kualiti hidup berbanding penyekat alfa sahaja. Terapi gabungan mungkin tidak meningkatkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini.

Terapi gabungan berbanding antikolinergik: terapi gabungan dengan antikolinergik dan penyekat alfa mungkin dikaitkan dengan kesan-kesan tidak pasti terhadap simptom kencing, tetapi pembaikan kualiti hidup berbanding antikolinergik sahaja. Terapi gabungan mungkin tidak meningkatkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini.

Kualiti bukti

Majoriti kajian yang disertakan tidak dilaksana atau dilaporkan dengan baik, menyebabkan kami menilai kepastian bukti (keyakinan untuk menyatakan kesimpulan itu betul) sebagai sederhana, rendah atau sangat rendah. Ini bermakna kesan sebenar mungkin sangat berbeza dari apa yang ditemui dalam ulasan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini, sila hhubungi coccrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information