Adakah intervensi komunikasi efektif untuk kanak-kanak dengan kemampuan pertuturan minimum yang mempunyai gangguan spektrum autisma?

Latar belakang

Gangguan spektrum autisma (ASD) adalah keadaan yang dicirikan dengan kesukaran dalam aspek komunikasi sosial, serta minat dan tingkah laku yang berulang-ulang dan terbatas (contohnya pergerakan badan yang berulang-ulang seperti menepuk tangan, kepekaan deria dan minat yang terbatas). Orang yang meghidap ASD kebanyakannya juga mempunyai kesukaran berbahasa, dan sekitar 25% ke 30% kanak-kanak tidak mampu menggunakan bahasa pertuturan untuk berkomunikasi atau kemampuan bertutur yang minimum (menggunakan kurang daripada 30 perkataan). Kemampuan untuk berkomunikasi adalah kemahiran hidup yang penting, dan kesukaran dalam berkomunikasi boleh mempunyai kesan-kesan negatif seperti pencapaian akademik yang lemah, kualiti hidup yang rendah dan kesukaran tingkah laku. Intervensi komunikasi secara umumnya bertujuan untuk meningkatkan kemampuan kanak-kanak untuk berkomunikasi sama ada melalui pertuturan atau menambah kaedah lain dalam pertuturan (contohnya bahasa isyarat atau gambar).

Apa yang telah penyelidik lakukan?

Penyelidik mencari 18 pangkalan data dan kajian yang didaftarkan pada November 2016 dan pencarian itu dikemaskini semula pada November 2017.

Apa yang kajian ini dapati?

Penyelidik telah mengenalpasti dua kajian yang melibatkan 154 kanak-kanak dengan kemampuan pertuturan minimum yang menghidap ASD (berusia 32 bulan hingga 11 tahun) Kajian-kajian ini secara rawak telah membahagikan para peserta kepada yang menerima intervensi komunikasi dan kumpulan kawalan yang tidak menerima intervensi melainkan rawatan yang biasa diberi dalam komuniti. Kedua-dua kajian memfokuskan kepada hasil komunikasi (lisan atau bukan lisan). Salah satu daripada kajian tersebut turut mendapat maklumat tentang komunikasi sosial. Tiada satupun kajian yang mengumpulkan maklumat tentang kesan buruk, kemahiran komunikasi yang lain, kualiti hidup atau hasil tingkahlaku.

Satu kajian melihat kepada intervensi komunikasi alternatif dan augmentatif (ACC) (sistem komunikasi pertukaran gambar; PECS), yang diajar oleh guru-guru di sekolah. Intervensi telah dijalankan selama lima bulan dan melibatkan latihan dan konsultasi guru. PECS adalah pendekatan secara berperingkat di mana kanak-kanak diajar untuk menukar satu gambar yang diingini atau perbuatan kepada orang lain yang akan menurut permintaannya. Sistem ini ditingkatkan dengan meletakkan gambar-gambar bersama-sama di dalam ayat dan menggunakan ayat-ayat ini dengan pelbagai cara seperti untuk mengulas dan menjawab soalan. Kajian ini melibatkan 84 peserta (73 lelaki) berusia dari 4 hingga 11 tahun dan dibiayai oleh Three Guineas Trust. Kajian lain melihat kepada intervensi yang berasaskan lisan (intervensi waktu main yang berfokus; FPI), yang mana merupakan program pendidikan ibubapa berasaskan rumah, bertujuan untuk menggalakkan permainan berkoordinasi antara ibubapa dan anak-anak mereka. Kajian ini melibatkan 70 peserta (64 lelaki) berusia dari 32 hingga 82 bulan dan dibiayai oleh geran Clinical and Patient Educators Association (HDH35470) daripada National Institute of Child Health and Human Development, the MIND Institute Research Program dan geran Professional Staff Congress-City Univeristy of New York.

Hasil utama

Terdapat bukti yang terhad bahawa internvensi berasaskan pertuturan dan ACC meningkatkan percakapan dan komunikasi bukan lisan dalam kalangan kanak-kanak dengan kemampuan pertuturan minimum yang menghidap ASD. Kedua-dua kajian yang dimasukkan di dalam ulasan ini melaporkan peningkatan dalam aspek komunikasi secara lisan atau bukan lisan (atau kedua-duanya sekali) untuk beberapa kanak-kanak sejurus selepas intervensi. Tiada satupun intervensi berjaya menunjukkan peningkatan dalam komunikasi secara lisan atau bukan lisan boleh kekal selepas suatu jangka masa untuk sebahagian besar kanak-kanak. Penyelidik meletakkan kadar kualiti bukti secara keseluruhan sebagai sangat rendah kerana mereka hanya menjumpai dua kajian yang bersesuaiandan hanya melibatkan bilangan peserta yang rendah. Selain daripada itu, kedua-dua kajian mempunyai beberapa limitasi metodologi yang meningkatkan risiko bias mereka.

Cadangan

Buat masa kini terdapat bukti yang terhad bahawa intervensi berasaskan lisan dan ACC meningkatkan kemahiran komunikasi ekspresif dalam kalangan kanak-kanak dengan kemampuan pertuturan minimum yang menghidap ASD berusia dari 32 bulan hingga 11 tahun. Kajian tambahan menggunakan intervensi komunikasi dan membandingkan kesan-kesan intervensi ini kepada kumpulan kawalan perlu dijalankan dengan segera untuk mendapatkan bukti yang kukuh.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nadiah Abdul Rahim (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Ahmad Filza (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi nadiah@ms.pmc.edu.my

Tools
Information
Share/Save