Graf untuk mencegah sindrom Frey selepas pembedahan kelenjar parotid (air liur)

Soalan ulasan

Adakah penggunaan graf semasa pembedahan kelenjar parotid dapat mencegah sindrom Frey?

Latar belakang

Gejala klinikal sindrom Frey termasuk berpeluh dan kemerahan di pipi semasa makan dan mengunyah. Ini adalah akibat daripada pertumbuhan semula secara tidak normal saraf autonomik yang telah rosak, sebagai contoh semasa pembedahan untuk tumor kelenjar parotid. Adalah tidak jelas sama ada meletakkan graf di antara kulit dan dasar kelenjar parotid semasa pembedahan boleh mencegah sindrom ini. Pelbagai jenis graf boleh digunakan, termasuklah biomaterial atau kulit, otot atau tisu lain daripada pesakit. Graf ini berkemungkinan boleh menghalang sambungan tidak normal oleh saraf yang mengawal kelenjar peluh dan kelenjar parotid apabila saraf yang dipotong kembali bersambung selepas pembedahan.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan tiga kajian dengan 124 peserta dalam ulasan ini, tetapi kualiti kajian ini adalah tidak sempurna. Semua peserta dalam kajian-kajian ini mempunyai tumor pada kelenjar parotid dan menjalani pembedahan untuk sebahagian daripada kelenjar. Kajian-kajian tersebut menilai dua jenis graf, tisu yang diperolehi daripada otot sternocleidomastoid dan biomaterial (kerangka kolagen tanpa sel).

Keputusan utama

Dua kajian membandingkan graf tisu yang diperoleh dari otot sternocleidomastoid dengan tanpa graf. Tidak diketahui adakah graf tisu jenis ini dapat mencegah sindrom Frey kerana bukti yang ada adalah sangat tidak pasti.

Satu kajian membandingkan graf biomaterial dengan tanpa graf. Jenis graf ini boleh menyebabkan sedikit atau tidak ada perbezaan dengan kadar kejadian sindrom Frey, tetapi buktinya adalah sangat tidak pasti. Ia mungkin menyebabkan luka pesakit lebih mudah untuk dijangkiti.

Kepastian bukti

Bukti dalam ulasan ini kebanyakannya mempunyai kepastian yang rendah atau sangat rendah, kerana kajian mengenai persoalan ini adalah sedikit dan terdapatnya risiko bias dalam kajian-kajian ini. Oleh itu, penemuan ini mesti ditangani dengan berhati-hati dan kajian yang lebih lanjut adalah diperlukan untuk membuat kesimpulan yang boleh dipercayai.

Bukti dalam ulasan ini adalah terkini sehingga 5 Februari 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Suzanne Husun Reginald Iggan (Klinik Pergigian Petaling Bahagia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsoucd.edu.my

Tools
Information