Iridotomi untuk memperlambatkan perkembangan kehilangan medan visual pada glaukoma sudut tertutup

Apakah matlamat ulasan ini?
Tujuan Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada iridotomi dibandingkan dengan tiada iridotomi boleh memperlambatkan perkembangan kehilangan medan visual pada (1) orang dengan glaukoma sudut tertutup primer, (2) orang dengan sudut tertutup primer, dan (3) orang yang disyaki mengalami sudut tertutup primer. Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian klinikal yang berkaitan untuk menjawab soalan ini dan mendapati dua kajian menunggu penerbitan penuh keputusan.

Mesej utama
Pada waktu Ulasan, kami tidak pasti sama ada iridotomi boleh memperlahankan perkembangan kehilangan medan visual. Apabila ia tersedia, penerbitan penuh hasil daripada kedua-dua kajian boleh menjelaskan faedah iridotomi.

Apakah yang kami kaji dalam ulasan ini?
Glaukoma adalah sekumpulan penyakit mata yang menyebabkan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan terhadap saraf optik mata. Jika tidak dirawat, glaukoma boleh menyebabkan buta. Glaukoma sudut tertutup primer ialah sejenis glaukoma yang berlaku apabila saluran saliran ("sudut") di mata tersumbat, seperti singki dengan sesuatu yang menutupi longkang. Sekatan ini boleh menyebabkan peningkatan tekanan mata dan seterusnya mengurangkan jumlah kawasan di mana objek boleh dilihat dalam penglihatan sisi ('bidang visual').

Iridotomi melibatkan penggunaan laser untuk mencipta lubang pada iris mata, cakera berwarna-warni di sekeliling pupil. Pembukaan ini membolehkan cecair mengalir semula, yang membantu mengawal tekanan mata dan mungkin memperlahankan perkembangan kehilangan medan visual.

Apakah keputusan utama ulasan ini?
Pada masa menjalankan ulasan ini, kami mengenal pasti dua kajian dengan penerbitan keputusan kajian penuh masih dalam penyediaan. Kedua-dua kajian merekrut peserta dari Asia. Satu mata setiap peserta menerima iridotomi dan mata yang satu lagi tidak menerima iridotomi. Tiada data tersedia ada untuk menilai keberkesanan iridotomi terhadap perkembangan perlahan kehilangan medan visual. Bukti kualiti rendah hingga sederhana daripada satu kajianaan menunjukkan bahawa iridotomi meningkatkan lebar sudut saliran ('lebar sudut') pada 18 bulan selepas rawatan dan mungkin dikaitkan dengan kejadian buruk, seperti 'pancang' peningkatan tekanan mata pada satu jam selepas rawatan.

Adakah ulasan ini terkini?
Kami mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 18 Oktober 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Cheryl Chan Zhi Ying (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information