Program berasaskan sekolah untuk memperbaiki penggunaan kawalan kehamilan dalam kalangan remaja

Latar belakang

Remaja mempunyai kadar tinggi kehamilan yang tidak dirancang. Mereka mungkin tidak mempunyai perkhidmatan perancangan keluarga yang berdekatan atau mengetahui cara untuk mendapatkan kawalan kehamilan moden. Kami ingin mencari program di sekolah-sekolah yang membantu remaja belajar tentang kawalan kehamilan.

Kaedah-kaedah

Kami melakukan carian komputer untuk kajian rawak sehingga 6 Jun 2016. Program yang termasuk dalam ulasan ini mesti berlaku di sekolah, seperti sekolah menengah. Program-program tersebut cuba memperbaiki penggunaan kawalan kehamilan dalam kalangan remaja. Program-program juga perlu menekankan satu atau lebih kaedah kawalan kehamilan yang diketahui berkesan.

Keputusan

Kami mendapati 11 kajian. Satu kajian kecil, dan 10 yang lain mempunyai 816 hingga 10,954 peserta. Enam kajian berasal dari AS, tiga dari UK, dan setiap satu dari Mexico dan Afrika Selatan. Kami memfokuskan tiga program yang mempunyai beberapa kesan dan berkualiti baik. Ketiga-tiganya melibatkan pelajar dalam pelbagai aktiviti berbanding pendidikan seks biasa. Selepas dua tahun program, kumpulan intervensi melaporkan lebih banyak penggunaan kawalan kehamilan serta kondom semasa seks yang lalu berbanding kumpulan dengan kelas piawai. Satu lagi kajian yang berlangsung selama dua tahun menyediakan dua program yang berlainan. Tujuannya adalah untuk mengelakkan risiko dengan tidak mengadakan hubungan seks sehingga berkahwin atau mengurangkan risiko dengan melambatkan seks sehingga lebih dewasa. Kumpulan kawalan menjalani pendidikan kesihatan biasa. Program-program untuk mengelakkan risiko dan mengurangkan risiko menunjukkan kurang laporan seks tanpa penggunaan kawalan kehamilan atau kondom. Kajian ketiga mempunyai rakan sebaya yang memimpin lapan sesi aktiviti pendidikan. Program ini menunjukkan kurang penggunaan kawalan kehamilan berbanding dengan pendidikan guru tetapi penyelidik tidak mengubahsuai reka bentuk kajian.

Daripada lapan kajian lain, satu kajian mempunyai kualiti keputusan yang baik. Kumpulan intervensi mengetahui had masa untuk menggunakan kontraseptif kecemasan. Enam daripada tujuh kajian dengan keputusan berkualiti rendah atau sangat rendah melaporkan beberapa kesan program, seperti penggunaan lebih kondom atau kontraseptif atau lebih banyak pengetahuan mengenai kondom.

Kesimpulan penulis

Oleh sebab kebanyakan kajian bertujuan untuk mencegah STI/HIV dan kehamilan, mereka memfokuskan penggunaan kondom. Walau bagaimanapun, beberapa kajian merangkumi pelbagai kaedah kawalan kehamilan. Kualiti keputusan secara keseluruhan adalah rendah. Sesetengah kajian tidak mempunyai maklumat mengenai cara program mereka berfungsi. Ramai yang menganalisis sub-sampel dan bukannya semua pelajar dalam kajian, dan kebanyakannya kajian mengalami kehilangan susulan yang tinggi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save