Pembedahan laser yang menurunkan tekanan mata dengan memusnahkan sebahagian mata yang menghasilkan cecair di dalam mata bagi orang dengan glaukoma yang tidak terkawal

Apakah tujuan ulasan ini?
Tujuan ulasan Cochrane ini adalah untuk membandingkan prosedur laser dengan pendekatan lain untuk menurunkan tekanan dalam mata bagi orang dengan glaukoma yang tidak respon kepada jenis rawatan lain. Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian dengan prosedur siklodestruktif yang relevan untuk menjawab soalan ini dan mendapati lima kajian.

Mesej-mesej utama
Tiada cukup maklumat untuk membandingkan pilihan pembedahan yang berbeza antara satu sama lain. Kami tidak dapat membuat kesimpulan tentang jenis pembedahan yang terbaik dan paling selamat.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Sesetengah orang dengan glaukoma (kerosakan pada saraf optik di belakang mata) juga mempunyai tambahan tekanan di dalam mata. Tekanan ini mungkin kerana mata mengalami kesulitan dalam penyaliran cecair tersebut. Jika badan siliari termusnah, ia tidak lagi menghasilkan terlalu banyak cecair. Cara ini boleh mengurangkan tekanan di dalam mata dan memberikan kelegaan sakit kepada orang dengan glaukoma. Terdapat beberapa cara untuk menghancurkan badan siliari, yang dikenali sebagai siklodestruksi. Doktor boleh menggunakan laser untuk memusnahkan sel-sel dalam badan siliari, atau mereka boleh membekukan sel-sel tersebut. Kami ingin membandingkan jenis pembedahan dengan pembedahan-pembedahan yang lebih tradisional untuk glaukoma. Pembedahan laser boleh dilakukan dengan pelbagai cara kerana terdapat pelbagai jenis laser dan kaedah untuk menggunakannya. Kami juga berhasrat untuk membandingkan pelbagai pembedahan-pembedahan laser untuk melihat kaedah mana yang lebih baik daripada yang lain.

Apakah keputusan utama ulasan ini?
Kami mendapati lima kajian yang menilai prosedur-prosedur untuk memusnahkan badan siliari. Satu kajian membandingkan laser untuk memusnahkan sel dengan pembedahan jenis lain yang melibatkan implan tiub di dalam mata yang menyalir cecair tambahan. Empat kajian membandingkan pelbagai jenis laser atau kaedah berlainan yang mengaplikasi laser kepada mata. Kami ingin mengetahui sama ada pembedahan-pembedahan ini membantu mengurangkan sakit dalam kalangan orang dengan glaukoma, tetapi hanya dua dari lima kajian yang bertanya peserta tentang sakit.

Dua kajian membandingkan dua jenis laser yang sama; kami menggabungkan data tersebut untuk membantu memahami keputuan keseluruhan. Kedua-dua kajian tersebut melaporkan tahap tekanan di dalam mata selepas pembedahan. Kami mendapati kedua-dua jenis pembedahan laser mengakibatkan penurunan tekanan yang hampir sama. Kami hanya mempunyai keyakinan rendah terhadap keputusan ini kerana salah satu kajian mempunyai ramai peserta yang hilang dari susulan dan tidak melaporkan apa yang telah terjadi kepada mereka.

Kami berminat untuk mengetahui bagaimana peserta merasa selepas pembedahan, walau bagaimanapun tiada kajian yang bertanya peserta soalan ini. Kajian masa depan harus menanyakan soalan penting ini kepada peserta. Kami juga percaya kajian masa depan harus bertanya peserta sama ada sakit mereka berkurang selepas menjalani pembedahan.

Adakah ulasan ini terkini?
Kami mencari kajian yang diterbitkan sehingga 21 September 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Raymond Chieng Siang Ching (Klinik Kesihatan Nanga Wak). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi raymondchieng@gmail.com

Tools
Information
Share/Save