Cecair intravena tambahan yang diberikan semasa pembedahan untuk mencegah loya dan muntah

Soalan Ulasan

Ulasan ini melihat sama ada pemberian cecair intravena tambahan kepada individu semasa anestesia umum dapat mencegah loya dan muntah selepas pembedahan mereka dijalankan.

Latar belakang

Loya dan muntah adalah komplikasi yang biasa dialami selepas diberikan anestetik umum untuk pembedahan. Lebihkurang 30% orang mengalami loya dan muntah selepas pembedahan, walaupun selepas menerima ubat yang bertujuan untuk mencegahnya.

Semasa pembedahan, pesakit menerima cecair yang mengandungi garam melalui titisan intravena dan jumlah cecair yang diberikan boleh mempengaruhi perasaan mereka selepas itu. Sesetengah komplikasi, seperti loya dan muntah, boleh dikurangkan selepas mendapat cecair intravena tambahan semasa pembedahan. Sesetengah komplikasi, seperti sesak nafas, mungkin menjadi lebih teruk dengan cecair tambahan.

Tarikh carian

Carian adalah terkini sehingga Ogos 2018.

Ciri-ciri kajian

Pengulas melihat pada kajian yang melibatkan orang diberikan anestesia umum untuk pembedahan, dan menerima sejumlah cecair intravena yang lebih banyak atau lebih sedikit, dan kemudiannya diperiksa untuk mengetahui sama ada mereka mengalami loya dan muntah selepas pembedahan dijalankan. Pengulas menjumpai 41 kajian, yang melibatkan 4224 peserta untuk dianalisis dalam ulasan mereka.

Keputusan-keputusan utama

Ulasan ini mencadangkan bahawa pemberian cecair intravena tambahan semasa pembedahan di bawah anestesia umum mungkin dapat mengurangkan risiko loya atau muntah selepas pembedahan, dan mungkin dapat mengurangkan keperluan penggunaan ubat untuk merawat loya.

Tidak jelas bagaimana pemberian cecair intravena tambahan memberi kesan kepada risiko keperluan kemasukan ke hospital yang tidak dijangka selepas pembedahan kecil. Tiada kajian yang menilai sama ada cecair intravena tambahan boleh membuatkan komplikasi lain lebih teruk.

Kepastian bukti

Terdapat dua sebab mengapa kesimpulan kajian ini mungkin tidak tepat. Pertama, kebanyakan kajian tidak direka bentuk dengan sempurna. Kedua, kajian-kajian tersebut tidak bersepakat tentang sejauh mana bergunanya cecair intravena tambahan dalam mencegah loya dan muntah. Kebanyakan kajian mendapati ianya sedikit sebanyak dapat membantu.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Shing Cheng (Universiti Kebangsaan Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi sctan@ukm.edu.my. Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my).

Tools
Information
Share/Save