Biomarker endometrial untuk diagnosis bukan-invasif endometriosis

Soalan ulasan

Bolehkah pakar menggunakan biomarker (molekul, gen atau ciri-ciri tersendiri yang berada dalam sesetengah penyakit) untuk mengurang keperluan pembedahan bagi diagnosis endometriosis?

Latar belakang

Endometrium merupakan tisu yang melapisi rahim dan digugurkan semasa haid. Wanita dengan gejala endometriosis mempunyai tisu endometrial yang tumbuh di luar rahim, dalam kaviti pelvik. Tisu ini bertindak balas terhadap hormon-hormon reproduktif menyebabkan kesakitan haid, kesakitan bahagian bawah abdominal yang kronik serta kesusahan untuk hamil. Kini kaedah paling tepat untuk diagnosis endometriosis adalah melalui pembedahan lubang kecil dan untuk melihat deposit-deposit endometrial dalam abdomen. Oleh kerana pembedahan berisiko dan mahal, beberapa ujian dalam endometrium yang boleh dikumpul dari prosedur sampel rahim “in-office” telah dinilai untuk kemampuan mengesan endometriosis secara bukan-invasif atau secara minima-invasif. Ujian yang tepat mungkin mencapai diagnosis endometriosis tanpa keperluan pembedahan atau mengurang keperluan pembedahan diagnostik supaya hanya wanita yang paling mungkin mengalami endometriosis akan memerlukannya. Pasukan pengulas juga telah menilaikan cara-cara bukan-invasif lain untuk diagnosis endometriosis melalui ujian darah, kencing dan pengimejan serta gabungan beberapa kaedah ujian dalam ulasan Cochrane berasingan dalam siri ini.

Ciri-ciri Kajian

Bukti dalam ulasan ini adalah terkini dan sehingga April 2015. Kami memasukkan 54 kajian yang melibatkan 2729 peserta. Semua kajian menilai wanita berusia reproduktif yang sedang menjalani pembedahan diagnostik untuk menyiasat simtom-simtom endometriosis atau untuk sebab lain. Dua puluh enam kajian menilai peranan 22 biomarker berbeza untuk mencapai diagnosis endometriosis, dan 31 kajian mengenalpasti 77 lebih biomarker yang tidak bernilai dalam membezakan antara wanita dengan dan tanpa penyakit tersebut.

Keputusan utama dan kualiti bukti

Hanya dua daripada biomarker yang dinilai iaitu, penanda neural fibre PGP 9.5 dan penanda hormonal CYP19 telah dinilaikan dalam bilangan kajian yang mencukupi untuk mencapai hasil-hasil yang bernilai.. PGP 9.5 mengenalpastikan endometriosis dengan tepat dan boleh menggantikan diagnosis pembedahan. Beberapa biomarker yang lain (proteome endometrial, 17βHSD2, IL‐1R2, caldesmon dan penanda neural yang lain) menunjuk potensi dalam pengesanan endometriosis, tetapi terdapat terlalu sedikit kajian untuk memastikan nilai diagnostik mereka.

Kajian-kajian berbeza dengan cara mereka dijalankan, kumpulan wanita yang dikaji dan bagaimana pembedahan dijalankan. Kajian-kajian adalah berkualiti metodologikal rendah, oleh itu pembaca tidak boleh menentukan hasil-hasil ini adalah tepat kecuali disahkan dalam kajian yang besar dan berkualiti tinggi. Keseluruhannya, bukti tidak mencukupi untuk mengesyorkan apa-apa ujian endometrial untuk kegunaan dalam amalan klinikal bagi diagnosis endometriosis.

Penyelidikan masa depan

Penyelidikan berkualiti tinggi tambahan diperlukan untuk menilai dengan tepat potensi diagnostik biomarker endometrial untuk diagnosis endometriosis.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Denise Chai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi denisechai@ms.pmc.edu.my

Tools
Information
Share/Save