Penggunaan antibiotik rutin untuk pembaikan episiotomi selepas kelahiran vagina normal

Apakah isunya?

Bukti penyelidikan semasa menyokong polisi hospital untuk penggunaan episiotomi yang ketat, bukan episiotomi rutin. Walau bagaimanapun, amalan melakukan episiotomi masih sangat lazim dalam kalangan wanita yang melahirkan secara vagina, di banyak tempat di dunia. Jangkitan bakteria yang berkaitan dengan melahirkan anak boleh menyebabkan kesihatan yang tidak baik bagi ibu dan bayinya, dan juga kematian. Langkah kawalan jangkitan am, seperti kebersihan tangan, teknik pembedahan aseptik, pembasmian kuman di tapak pembedahan, dan sterilisasi instrumen boleh membantu mengurangkan risiko jangkitan episiotomi. Antibiotik pencegahan, atau profilaksis, boleh mengurangkan jangkitan luka selepas episiotomi, terutamanya dalam keadaan yang berkaitan dengan risiko jangkitan yang lebih tinggi, seperti lanjutan insisi ketika bersalin, atau dalam persekitaran penjagaan kesihatan di mana risiko asas jangkitan berkaitan dengan melahirkan bayi adalah tinggi.

Mengapakah ini penting?

Wanita dengan episiotomi mungkin tidak memerlukan penggunaan antibiotik rutin untuk mencegah jangkitan, terutamanya jika langkah kawalan jangkitan am telah dipatuhi. Penggunaan antibiotik yang tidak mencukupi dikaitkan dengan hasil yang lebih buruk, sementara masih mendedahkan wanita dan bayi yang menyusu kepada risiko kesan sampingan yang berkaitan dengan antibiotik. Kos penjagaan kesihatan boleh ditingkatkan dengan penggunaan antibiotik, dan penggunaan antibiotik yang meluas boleh membawa kepada kemunculan rintangan antibiotik.

Apakah bukit yang kami perolehi?

Ulasan ini menilai sama ada penggunaan antibiotik rutin semasa episiotomi menghalang jangkitan bagi wanita dengan kelahiran vagina tidak rumit, berbanding plasebo, atau tiada antibiotik. Penyelidik mencari bukti (24 Julai 2017) daripada kajian rawak terkawal dalam kesusasteraan perubatan. Kami hanya mengenal pasti satu kajian kecil yang dijalankan di hospital awam di Brazil dan menyediakan data yang berkualiti sangat rendah daripada 73 wanita. Kajian menunjukkan tiada perbezaan jelas di antara kumpulan, dengan atau tanpa antibiotik, bilangan wanita yang mengalami jangkitan atau kerosakan luka episiotomi. Tiada wanita yang mendapat jangkitan pada lapisan uterus dalam kedua-dua kumpulan. Kajian tidak melaporkan sebarang hasil lain untuk ulasan ini.

Apakah maksudnya?

Bukti semasa mengenai impak antibiotik profilaktik untuk pencegahan jangkitan selepas episiotomi adalah dari satu kajian kecil dengan limitasi reka bentuk. Insiden jangkitan episiotomi yang agak rendah, apabila langkah-langkah kawalan jangkitan dipatuhi dengan baik, menimbulkan persoalan tentang potensi manfaat tambahan antibiotik profilaksis, terutamanya apabila seimbang dengan risiko kesan sampingan berkaitan dengan antibiotik untuk ibu, dan bayinya, dan dari segi kemunculan rintangan antibiotik. Terdapat keperluan untuk penilaian yang teliti dan ketat perbandingan manfaat dan mudarat antibiotik profilaktik terhadap morbiditi jangkitan selepas episiotomi, dalam kajian rawak terkawal yang direka dengan baik, menggunakan rejimen dan antibiotik lazim dalam amalan obstetrik semasa.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save