Steroid ditambah antibiotik berbanding antibiotik sahaja untuk rawatan endophthalmitis akut selepas pembedahan mata atau suntikan ke dalam mata

Apakah tujuan utama ulasan ini?

Matlamat ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada penggunaan steroid sebagai tambahan kepada antibiotik adalah lebih berkesan daripada menggunakan antibiotik sahaja untuk endophthalmitis akut (jangkitan di dalam bola mata yang boleh menyebabkan kehilangan penglihatan) selepas pembedahan mata atau suntikan ke dalam mata. Kami mencari semua kajian yang menjawab soalan ini dan menemui empat kajian.

Mesej utama

Ia adalah tidak pasti sama ada penggunaan steroid sebagai tambahan kepada antibiotik membantu atau berbahaya berbanding dengan menggunakan antibiotik sahaja untuk merawat endophthalmitis akut selepas pembedahan mata atau suntikan ke dalam mata.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Endophthalmitis jarang berlaku, tetapi penting bagi orang yang menjalani pembedahan atau suntikan pada mata untuk mengetahui risikonya dan untuk doktor mereka mengetahui cara terbaik untuk merawatnya kerana ia boleh menyebabkan kehilangan penglihatan. Ia biasanya disebabkan oleh kemasukan bakteria ke dalam mata semasa, atau beberapa hari selepas, pembedahan atau suntikan. Sebaik sahaja endophthalmitis disyaki, sampel cecair di dalam mata biasanya diperoleh (dan cecair dikeringkan dalam kes yang serius), dan antibiotik yang meliputi kebanyakan jenis bakteria disuntik ke dalam mata. Walaupun penggunaan antibiotik diterima secara meluas, tetapi penggunaan steroid tambahan untuk merawat endophthalmitis adalah subjek perdebatan. Steroid mungkin dapat membantu mengurangkan keradangan di dalam mata pada orang dengan endophthalmitis. Kami melihat sama ada pemberian steroid sebagai tambahan kepada antibiotik mempengaruhi hasil pesakit.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami menemui empat kajian dari Afrika Selatan, India, dan Belanda. Hampir semua peserta kajian mempunyai endophthalmitis selepas pembedahan katarak. Keempat-empat kajian membandingkan suntikan dexamethasone (steroid) ditambah kepada dua antibiotik ke dalam mata berbanding hanya menyuntik antibiotik ke dalam mata. Bukti berkepastian rendah menunjukkan bahawa lebih ramai peserta dalam kumpulan yang menerima dexamethasone mempunyai hasil visual yang baik 3 bulan selepas rawatan berbanding kumpulan antibiotik sahaja, tetapi bukti adalah tidak pasti pada 12 bulan. Kesan penggunaan steroid pada penyelesaian endophthalmitis dan bahayanya juga adalah tidak pasti. Memandangkan ketidakpastian bukti untuk kebanyakan hasil, ia adalah tidak jelas sama ada doktor harus menggunakan steroid dengan antibiotik untuk merawat endophthalmitis selepas prosedur mata.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Kami mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 17 Ogos 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information