N-acetylcysteine untuk kegagalan hati akut tidak disebabkan oleh dos parasetamol berlebihan

Latar belakang

Kegagalan hati akut adalah keadaan di mana sel-sel hati yang sebelumnya sihat mengalami kerosakan yang teruk. Kerosakan ini menyebabkan kehilangan fungsi hati yang penting, termasuk membersihkan badan dari bahan sisa dan toksin dan menghasilkan protein untuk membantu pembekuan darah. Orang yang mengalami kegagalan hati akut adalah berisiko tinggi untuk mati. Penyebab kegagalan hati akut yang paling lazim adalah mengambil terlalu banyak paracetamol (acetaminophen). Penyebab lain untuk kegagalan hati akut termasuk jangkitan virus (contohnya hepatitis), kecederaan hati berkaitan ubat, sistem imun badan menyerang hati, atau kekurangan aliran darah ke hati.

Bagi kegagalan hati akut yang disebabkan mengambil terlalu banyak paracetamol, N-acetylcysteine adalah rawatan yang nampaknya berkesan dengan baik dan merupakan rawatan standard untuk orang yang mengambil terlalu banyak paracetamol. Bagi semua penyebab kegagalan hati akut yang lain, pemindahan hati adalah biasanya rawatan yang diterima , tetapi ia mempunyai banyak batasan (contohnya ketersediaan organ) Sesetengah doktor telah memulakan pemberian N-acetylcysteine juga bagi pesakit dengan kegagalan hati akut yang tidak disebabkan oleh paracetamol.

Soalan ulasan sistematik

Kami menyiasat kesan dan keselamatan penggunaan N-acetylcysteine di kalangan orang yang mengalami kegagalan hati akut walaupun ia tidak berkaitan dengan pengambilan terlalu banyak paracetamol.

Tarikh carian

25 Jun 2020

Sumber pembiayaan kajian

Dua kajian rawak terkawal yang dimasukkan kedua-duanya dibiayai terutamanya oleh geran dari Institut Kesihatan Nasional, agensi kerajaan AS. Syarikat-syarikat farmaseutikal menyediakan ubat kajian, tetapi mereka tidak mengambil bahagian dalam keseluruhan kajian.

Keputusan utama

Para penulis ulasan mencari semua kajian N-acetylcysteine bagi orang dengan kegagalan hati akut yang tidak disebabkan paracetamol untuk menentukan sama ada rawatan ini mengurangkan kemungkinan mati atau memerlukan pemindahan hati. Dua kajian klinikal rawak layak untuk dimasukkan: satu di kalangan orang dewasa dan satu di kalangan kanak-kanak. Kedua-dua kajian membandingkan N-acetylcysteine dengan plasebo. Para penulis ulasan menemui satu kajian tambahan, tetapi menunggu lebih banyak maklumat maka kajian ini tidak dimasukkan. DIsebabkan kajian-kajian klinikal rawak itu sangat berbeza, adalah tidak sesuai untuk menggabungkan data. Apabila penulis ulasan menganalisis kajian klinikal rawak secara individu, mereka mendapati N-acetylcysteine tidak meningkatkan kelangsungan hidup dan tidak mengurangkan jumlah pemindahan hati. Kajian klinikal rawak semasa tidak menyokong penggunaan N-acetylcysteine di kalangan orang yang mengalami kegagalan hati akut yang tidak mengambil dos paracetamol berlebihan.

Kepastian tentang bukti

Para penulis ulasan mempunyai kepastian yang rendah tentang kesan N-acetylcysteine di kalangan orang dewasa yang mengalami kegagalan hati akut yang tidak disebabkan oleh paracetamol, untuk kesan pada kematian atau keperluan untuk pemindahan hati. Kajian orang dewasa tidak melaporkan maklumat untuk perisiwa buruk yang serius. Hampir sama juga, para penulis ulasan mempunyai kepastian yang rendah tentang kesan N-acetylcysteine di kalangan kanak-kanak dengan kegagalan hati akut yang tidak disebabkan oleh parasetamol, untuk kesan kematian, peristiwa buruk serius, atau keperluan untuk pemindahan hati. Disebabkan ketidakpastian ini, kesan sebenar di kalangan orang dewasa dan kanak-kanak mungkin sangat berbeza dari apa yang dianggarkan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Norsarwany Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information