Penggunaan teknik mereda untuk mencegah keganasan dalam kalangan orang yang agresif

Soalan ulasan

Adakah teknik meredakan membantu menenangkan orang dewasa yang agresif di dalam persekitaran penjagaan? Teknik manakah paling berkesan?

Latar belakang

Terdapat banyak sebab kenapa orang menjadi agresif di dalam persekitaran penjagaan, termasuk penyakit mental atau fizikal. Seseorang boleh menggunakan pelbagai teknik untuk membantu orang yang berkelakuan agresif untuk bertenang, termasuk bercakap dengannya dan mentafsir isyarat bukan lisan dan bahasa badan. Pendekatan ini dikenali sebagai meredakan. Walaupun ia diajar dan diguna secara meluas, kami hanya mengetahui sangat sedikit tentang keberkesanan meredakan, atau teknik mana yang paling berkesan.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari semua bukti sedia ada tentang topik ini, dan mendapati hanya dua kajian. Satu kajian menyertakan 306 orang dengan demensia dan berumur purata 86 tahun, yang tinggal di 16 rumah penjagaan di Perancis. Kajian kedua sedang berlangsung dan tidak menyediakan keputusan untuk ulasan.

Keputusan utama

Kajian tersebut tidak mengakses bidang penting untuk kami, seperti bilangan kecederaan yang dialami staf atau residen. Tetapi ia mengukur impak latihan staf ke atas tahap agresi residen tiga bulan selepas tamat latihan tersebut. Sesetengah ukuran agresi fizikal dan lisan menunjukkan pengurangan, tetapi tidak semua.

Kualiti bukti

Kebolehpercayaan bukti sedia ada di dalam satu kajian yang dimasukkan sangat rendah dan tidak menjawab soalan-soalan penting seperti kecederaan. Oleh itu, kami tidak boleh nyatakan sama ada teknik meredakan adalah berkesan.

Bukti semasa

Bukti adalah terkini sehingga September 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com.

Tools
Information