Suntikan ketamin bagi mengurangkan kesakitan akut selepas pembedahan di kalangan pesakit dewasa

Perkara utama

Ketamin disuntik ke dalam pembuluh darah sewaktu pembedahan bagi mengurangkan kesakitan, loya dan muntah juga bagi mengurangkan penggunaan ubat penahan sakit opiod (seperti morfin) selepas pembedahan.

Latar belakang

Pengurusan kesakitan yang tidak mencukupi selepas pembedahan meningkatkan risiko komplikasi, penurunan kualiti hidup, dan meningkatkan risiko untuk mendapat sakit kronik. Ubat penahan sakit seperti paracetamol dan ubat anti-radang yang bukan steroid (ibuprofen, diclofenac), secara sendirian mungkin tidak mencukupi untuk mengawal kesakitan selepas pembedahan. Opioids (ubat penahan sakit yang kuat), sering menyebabkan kesan sampingan. Hasil kajian mencadangkan bahawa ketamin yang digunakan secara suntikan semasa pembedahan boleh membantu melegakan kesakitan selepas pembedahan.

Ciri-ciri kajian

Pada Julai 2018 kami mencari percubaan-percubaan klinikal secara rawak di mana ketamine disuntik sebelum, semasa atau selepas pembedahan kepada pesakit dewasa yang dibedah menggunakan bius (pesakit tidur). Hasil penting yang diukur ialah penggunaan opioid dan kesakitan pada 24 dan 48 jam selepas pembedahan, masa untuk permintaan pertama bagi ubat tahan sakit, dan kesan-kesan sampingan terhadap ketamin. Kami menemukan 130 kajian yang menepati kriteria dengan melibatkan 8341 peserta.

Penemuan utama

Berbanding dengan pesakit yang diberikan rawatan kawalan, mereka yang diberikan ketamin melalui pembuluh darah didapati menggunakan kurang ubat penahan sakit opiod (kira-kira 1 bahagian dalam 10), dan mempunyai kurang rasa sakit (kira-kira 2 bahagian dalam 10; bukti sederhana atau tinggi kualiti). Ketamin mungkin lebih berkesan bagi pembedahan yang berkemungkinan menyebabkan sakit yang kuat. Pesakit yang diberikan ketamin meminta ubat penahan sakit 54 minit kemudian daripada mereka yang tidak menerima ketamin (bukti kualiti sederhana). Ketamin mengurangkan sedikit risiko loya dan muntah selepas pembedahan (bukti berkualiti tinggi). Ketamin tidak meningkatkan risiko kesan sampingan sistem saraf pusat (halusinasi, mimpi buruk atau penglihatan berganda ) (bukti berkualiti tinggi).

Kajian pada masa hadapan harus menilai kesan ketamin selepas pembedahan yang disertai oleh sakit yang kuat seperti pembedahan torakotomi, pembedahan tulang belakang atau pemotongan anggota badan. Di samping itu, kesan ketamin di kalangan kumpulan pesakit yang tertentu, sebagai contoh, warga tua atau individu yang mempunyai sejarah penyalahgunaan dadah sangat menarik untuk dinilai.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti dari kajian-kajian menggunakan empat peringkat: sangat rendah, rendah, sederhana, atau tinggi. Bukti kualiti yang sangat rendah bermakna kami sangat tidak pasti tentang hasilnya. Bukti kualiti yang tinggi bermaksud kami sangat yakin tentang keputusannya.

Kami menilai bukti kualiti untuk kebanyakan hasil sebagai sederhana. Banyak kajian yang bersaiz kecil, adalah sebab utama penurunan kualiti bukti daripada tinggi kepada sederhana. Kami menguji keputusan mengikut jenis pembedahan, masa suntikan ketamin, dan dengan melihat kajian yang lebih besar, dan mereka yang mempunyai lebih banyak kesakitan adalah konsisten, dan ini memberi keyakinan kepada keputusan yang diperolehi. Terdapat bukti yang mencukupi bagi membolehkan kesimpulan tentang kesan ketamin terhadap kesakitan, penggunaan ubat penahan sakit dan kesan-kesan sampingan selepas pembedahan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mohd Faeiz Pauzi (Universiti Sultan Zainal Abidin). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi drfaeiz@gmail.com.

Tools
Information