Corak diet untuk orang dewasa dengan penyakit buah pinggang kronik

Apakah isunya?

Orang yang mempunyai penyakit buah pinggang boleh mengalami jangka hayat yang lebih rendah, komplikasi termasuk penyakit jantung, dan mungkin memerlukan rawatan untuk kegagalan buah pinggang yang teruk, seperti dialisis. Pesakit dan doktor ingin mengenal pasti rawatan yang melindungi orang daripada kegagalan buah pinggang atau penyakit jantung. Untuk kedua-dua doktor dan orang yang mempunyai penyakit buah pinggang, perubahan gaya hidup seperti diet sangat penting sebagai cara yang mungkin untuk meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan, dan memberi orang peluang untuk 'mengurus sendiri' perawatan mereka terhadap penyakit buah pinggang.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami menggabungkan semua kajian yang melihat perubahan diet bagi orang dengan penyakit ginjal termasuk orang yang menjalani dialisis atau yang menjalani pemindahan buah pinggang.

Apa yang telah kami temui?

Kami menemui 17 kajian yang melibatkan 1639 orang dengan penyakit buah pinggang kronik yang melihat sama ada perubahan diet atau nasihat meningkatkan kesihatan mereka. Kajian merangkumi lelaki dan wanita dengan penyakit buah pinggang yang sederhana atau teruk. Diet yang melibatkan peningkatan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran, meningkatkan unggas dan ikan, penggunaan kacang dan minyak zaitun yang lebih tinggi, dan beberapa peningkatan bijirin dan kekacang (seperti kacang), dan kurang daging merah, gula, dan garam. Kami mengaji tiga hasil utama: risiko kematian, risiko penyakit ginjal lanjut yang memerlukan dialisis, dan kualiti hidup. Terdapat empat kajian yang melibatkan orang yang menjalani pemindahan buah pinggang dan tiga kajian yang melibatkan orang yang menjalani dialisis.

Setelah menggabungkan kajian yang ada, tidak dapat dipastikan sama ada membuat perubahan diet sihat mencegah komplikasi jantung kerana kebanyakan kajian tidak mengukurnya. Perubahan diet boleh meningkatkan kualiti hidup. Kami melihat bahawa beberapa faktor risiko penyakit pada masa depan, seperti tekanan darah dan kolesterol, lebih rendah berikutan kaunseling diet atau makan dengan lebih sihat.

Kualiti kajian yang dimasukkan adalah rendah, bermaksud pengulas tidak dapat memastikan kajian pada masa hadapan akan membawa kepada keputusan yang sama.

Kesimpulan

Kami sangat tidak pasti sama ada perubahan diet meningkatkan kesejahteraan bagi penghidap penyakit buah pinggang kerana kajian penyelidikan yang ada tidak dirancang untuk mengetahui perkara ini. Perubahan diet boleh menurunkan tekanan darah dan kolesterol, tetapi kesan jangka panjang ini terhadap kesejahteraan tidak terbukti. Ini bermakna kita masih memerlukan kajian penyelidikan yang besar dan berkualiti untuk membantu memahami kesan diet terhadap kesihatan orang dengan penyakit buah pinggang.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information