Penggunaan transfusi platelet sebelum tebukan lumbar atau pembiusan epidural di kalangan pesakit dengan kiraan platelet yang rendah

Soalan ulasan

Kami menilai bukti sama ada pesakit dengan bilangan platelet yang rendah (terdapat peningkatan risiko pendarahan) memerlukan transfusi platelet sebelum memasukan jarum tebukan lumbar atau kateter epidural, dan jika ya, apakah tahap kiraan platelet yang memerlukan transfusi.

Latar belakang

Platelet terdapat di dalam darah dan merupakan komponen yang penting dalam pembekuan darah. Kiraan platelet yang rendah akan meningkatkan risiko pendarahan. Pesakit dengan kiraan platelet yang rendah sering memerlukan tebukan lumbar atau pembiusan epidural untuk pemberian rawatan atau membantu dalam diagnosis.

Tebukan lumbar biasanya dilakukan dengan memasukkan sebatang jarum di antara tulang belakang (vertebra)bahagian bawah ke dalam cecair di sekeliling saraf tunjang (gumpalan saraf yang lalu menuruti tulang belakang dan menghubungkan otak dengan badan). Tusukan lumbar dilakukan sama ada untuk mendapatkan sampel cecair ini atau untuk memasukkan ubat rawatan ke dalam cecair (chemoterapi atau anestetik). Jarum tebukan lumbar dikeluarkan sejurus selepas sebarang sampel cecair diambil atau rawatan telah diberikan.

Epidural melibatkan kemasukan jarum diameter yang lebih besar daripada jarum tebukan lumbar. Jarum epidural melepasi tisu yang sama seperti jarum lumbar tebukan tetapi tidak menembusi kantung cecair yang mengelilingi saraf tunjang. Sebaliknya sebarang ubat rawatan disuntik ke dalam ruang di luar kantung cecair (dipanggil ruang epidural). Satu tiub kecil (kateter epidural) sering disalurkan melalui jarum epidural dan dibiarkan berada dalam kedudukan itu supaya ubat anestetik tempatan tambahan boleh diberikan.

Amalan di kebanyakan negara adalah untuk meningkatkan kiraan platelet di atas tahap kiraan yang telah ditetapkan dengan transfusi platelet (platelet diberikan melalui suntikan ke dalam vena) untuk mengelakkan pendarahan serius akibat tebukan lumbar atau pembiusan epidural. Walaupun risiko pendarahan sangat rendah, jika pendarahan berlaku, ia boleh menjadi sangat serius. Disebabkan kekurangan bukti, tahap kiraan platelet yang disyorkan sebelum tebukan lumbar atau pembiusan epidural berbeza ketara di antara satu negara dengan negara yang lain. Ini bermakna bahawa doktor-doktor pun tidak pasti tentang tahap kiraan platelet yang betul, atau sama ada transfusi platelet diperlukan. Sejurus itu, pesakit boleh terdedah kepada risiko-risiko transfusi platelet (seperti reaksi alahan, jangkitan) tanpa sebarang manfaat klinikal yang jelas.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari pangkalan data saintifik untuk kajian klinikal pesakit sebarang umur yang mempunyai kiraan platelet rendah yang memerlukan tebukan lumbar atau pembiusan epidural. Bukti adalah terkini sehingga 13 Februari 2018. Dalam kajian ini, kami hanya mendapati tiga kajian cohort. Hanya dua daripada kajian-kajian ini melaporkan hasil yang berkaitan dengan ulasan ini. Kedua-dua kajian tersebut menyertakan pesakit dengan kiraan platelet yang rendah dan kanser darah; salah satu menyertakan 21 pesakit dewasa dan satu lagi menyertakan 129 pesakit kanak-kanak. Kedua-dua kajian membandingkan pesakit yang telah dan belum menerima transfusi platelet sebelum kemasukan jarum tebukan lumbar. Tiada kajian yang menilai transfusi platelet sebelum kemasukan kateter epidural atau nilai ambang kiraan platelet yang berbeza bagi pemberian transfusi platelet sebelum prosedur.

Keputusan utama

Terdapat tiada komplikasi pendarahan utama yang berkaitan dengan prosedur dalam kedua-dua kajian tersebut. Terdapat tiada peristiwa buruk serius yang berlaku dalam satu kajian (21 peserta) yang melaporkan hasil ini.

Terdapat sedikit ataupun tiada perbezaan dalam bilangan kes komplikasi pendarahan ringan sama ada dalam kalangan pesakit dewasa atau kanak-kanak yang menerima atau tidak menerima pemindahan platelet

Tiada satu pun kajian yang melaporkan kematian, nombor transfusi platelet yang diberikan selepas prosedur, tempoh penginapan hospital atau kualiti hidup.

Kualiti bukti

Kualiti bukti daripada kajian yang disertakan adalah sangat rendah.

Kami tidak mendapat sebarang bukti daripada ujian terkawal rawak untuk menjawab soalan kajian kita.

Satu kajian perlu direka dengan sekurang-kurangnya 47,030 orang peserta untuk mengesan peningkatan dalam bilangan pesakit yang mengalami pendarahan selepas tebukan lumbar atau pembiusan epidural dari 1 dalam 1000 ke 2 dalam 1000. Satu kajian yang menggunakan rekod perubatan elektronik yang dikumpul secara rutin (data besar) berkemungkinan besar akan menjadi satu-satunya rekaan kajian yang dapat menjawab soalan ulasan kami.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Zcho Huey (Penang Medical College). Disunting oleh Chan Mei Wai (Penang Medical College) untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi zchohuey_c2017@ms.pmc.edu.my

Tools
Information
Share/Save