Kanta penapisan cahaya biru tiruan dalam mata untuk melindungi makula (belakang mata) selepas pembedahan katarak

Apakah matlamat ulasan?
Matlamat ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada kanta tiruan penapisan cahaya biru, juga dikenali sebagai kanta intraokular (IOL) melindungi bahagian belakang mata. Penulis ulasan Cochrane telah mengumpul dan menganalisa semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini dan telah menjumpai 51 kajian.

Mesej utama
Terdapat sedikit bukti tentang sebarang perbezaan penting antara penapisan cahaya biru dan kanta penapisan bukan cahaya biru. Walau bagaimanapun, kajian terlalu kecil dan terlalu pendek untuk memberikan jawapan yang boleh dipercayai kepada soalan ini.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?
Kadangkala kanta di mata menjadi keruh, selalunya apabila orang semakin tua. Pembedahan katarak melibatkan pengeluaran kanta keruh dan menggantikannya dengan kanta tiruan. Kanta tiruan ini dikenali sebagai 'intraocular lens' atau IOL. IOL ini mengandungi penapis untuk menyekat cahaya ultra-ungu (UV) yang berbahaya. Sesetengah kanta juga mempunyai penapis untuk menyekat cahaya biru yang boleh dilihat. Secara teori, tahap cahaya biru yang tinggi boleh merosakkan bahagian belakang mata yang mengawal penglihatan pusat (makula). Telah dicadangkan bahawa IOL penapisan cahaya biru boleh membantu melindungi makula dan mencegah punca biasa kehilangan penglihatan pada orang yang lebih tua, degenerasi makula yang berkaitan dengan usia.

Apakah keputusan utama ulasan ini?
Pengarang ulasan Cochrane menyertakan 51 kajian dari 17 negara berbeza dalam ulasan ini. Ulasan menunjukkan bahawa:

• mungkin tiada perbezaan penting dalam penglihatan jarak antara kanta tiruan penapisan cahaya biru dan kanta penapisan bukan cahaya biru 12 bulan selepas pembedahan (kami agak pasti secara sederhana tentang bukti ini);
• tiada data yang berkaitan tentang sensitiviti kontras (keupayaan seseorang untuk membezakan objek daripada latar belakangnya) dan diskriminasi warna, yang merupakan dua ukuran kesihatan makula;
• tiada seorang pun daripada mereka yang mengambil bahagian dalam kajian ini mengalami degenerasi makula berkaitan usia dalam tempoh susulan (kami sangat tidak pasti tentang bukti ini);
• tiada bukti tentang hasil buruk yang mungkin berkaitan dengan IOL penapisan cahaya biru (contohnya, gangguan tidur).

Adakah ulasan ini terkini?
Para penulis Ulasan Cochrane mencari kajian-kajian yang telah diterbitkan sehingga 25 Oktober 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information