Perubahan gaya hidup untuk merawat psoriasis

Soalan ulasan

Kami mahu melihat sama ada perubahan gaya hidup (seperti menukar diet, bersenam, dan mengelakkan alkohol dan minum), bersendirian atau digabungkan, berguna dalam merawat psoriasis jika dibandingkan dengan tidak ada perubahan atau rawatan psoriasis yang lain.

Latar belakang

Psoriasis ialah penyakit radang kulit yang berpanjangan; ia mengakibatkan tompokan bersisik tebal yang merah dan gatal. Obesiti, meminum arak, merokok, dan gaya hidup yang tidak aktif boleh memburukkan lagi psoriasis. Kami berhasrat untuk mengetahui jika perubahan gaya hidup boleh mengurangkan keterukan psoriasis dan meningkatkan kualiti hidup, dan mengurangkan komorbiditi (masalah lain yang berlaku di samping masalah utama).

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan 10 ujian, dengan 1163 peserta, yang menilai kesan diet rendah kalori sahaja; pemakanan rendah kalori digabungkan dengan program senaman; gabungan aktiviti berjalan dan pendidikan kesihatan berterusan; dan arahan pendidikan untuk menggalakkan gaya hidup sihat (diet, merokok dan pantang alkohol). Kami telah memeriksa bukti penyelidikan sehingga Julai 2018.

Organisasi bukan berkeuntungan telah membiayai empat kajian, satu kajian menerima pembiayaan untuk program pendidikan daripada syarikat farmaseutikal, dan lima kajian yang lain tidak mempunyai pembiayaan atau tidak melaporkan sumber pembiayaan. Semua peserta berumur sekurang-kurangnya 18 tahun (min umur: 43 kepada 61 tahun). Menurut laporan, kajian itu melibatkan 656 lelaki dan 478 wanita; semuanya telah dijalankan di sebuah hospital. Dalam empat kajian, penyertaan dihadkan kepada peserta yang mempunyai psoriasis yang sederhana hingga teruk. Satu kajian melibatkan peserta yang pada mulanya telah dirawat dengan ubat-ubatan oral untuk psoriasis sederhana hingga teruk tetapi psoriasis tidak reda selepas empat minggu. Dalam empat kajian, semua peringkat keterukan psoriasis adalah layak, tetapi kajian ini sama ada tidak melaporkan keterukan psoriasis peserta atau hanya menyediakan purata skor keterukan. Satu kajian melibatkan peserta dengan psoriasis ringan. Kajian-kajian membandingkan antara intervensi dalam perubahan gaya hidup dengan penjagaan biasa (termasuk untuk terus makan secara sihat), maklumat sahaja, tiada rawatan, atau rawatan perubatan sahaja. Rawatan telah diberikan di antara 12 minggu hingga tiga tahun.

Keputusan utama

Keputusan berikut adalah berdasarkan peserta yang obes dan perbandingan antara intervensi perubahan gaya hidup (diet rendah kalori) dengan penjagaan biasa. Diet rendah kalori boleh mengurangkan keterukan psoriasis (apabila dinilai sebagai peratusan peserta yang mencapai sekurang-kurangnya 75% peningkatan dari permulaan rawatan dalam Indeks Keterukan dan Keluasan Psoriasis (PASI 75), iaitu alat yang digunakan secara meluas untuk mengukur keterukan psoriasis) (bukti berkualiti rendah) dan mungkin meningkatkan kualiti hidup (bukti kualiti sederhana). Peserta yang mengamalkan diet rendah kalori mungkin lebih cenderung untuk berpegang pada rawatan (pematuhan rawatan), tetapi kesan rawatan berbeza-beza jadi ia berkemungkinan untuk membuat sedikit atau tiada perbezaan (bukti berkualiti rendah). Diet rendah kalori mungkin menambahbaik BMI (indeks jisim badan: kalkulator berat badan yang sihat) (bukti kualiti sederhana). Kajian tidak menunjukkan berapa lama mereka merawat peserta sebelum mereka berhenti berdiet (masa sehingga relaps).

Keputusan berikut adalah berdasarkan peserta obes dan intervensi perubahan gaya hidup dibandingkan (diet rendah kalori serta program senaman) dengan maklumat kehilangan berat badan yang bertujuan untuk menambahbaik psoriasis. Diet rendah kalori serta program senaman mungkin menyebabkan pengurangan yang lebih besar dalam keterukan psoriasis (berdasarkan PASI 75), tetapi kesan rawatan ini berbeza-beza, jadi adalah berkemungkinan ia boleh membuat sedikit atau tiada perbezaan. Berkemungkinan tiada perbezaan dalam pematuhan rawatan antara dua kumpulan; walau bagaimanapun, diet rendah kalori termasuk program senaman mungkin meningkatkan pengurangan BMI (semua hasil berdasarkan bukti kualiti sederhana). Kajian tidak melaporkan kualiti hidup atau masa serangan berulang.

Hanya dua kajian dalam ulasan ini menilai kesan sampingan. Dalam satu kajian kesan sampingan telah disebabkan oleh terapi tambahan yang diberikan kepada kedua-dua kumpulan peserta (ia tidak disebabkan oleh rawatan pemakanan). Dalam kajian lain, yang membandingkan antara dua rawatan pemakanan dengan tiada rawatan, tidak menunjukkan apa-apa kesan sampingan. Secara amnya, peserta mematuhi perubahan gaya hidup yang ditaksir dengan jayanya.

Kami mendapati tiada kajian terhadap pantang alkohol atau pemberhentian merokok.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah sederhana hingga rendah bagi keterukan ' tahap psoriasis ' dan ' pematuhan kepada campur tangan ' dan sederhana untuk ' pengurangan komorbiditi: perubahan dalam indeks jisim badan (BMI) '. Kualiti hidup, diukur dalam satu daripada dua perbandingan utama, adalah berdasarkan bukti kualiti sederhana. Had kajian termasuk peserta yang mengetahui jenis rawatan yang mereka terima dan sebilangan besar peserta yang menarik diri daripada kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Fradella Sandy Telasai. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi ikanilusandy@gmail.com. Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information