Mirtazapine sebagai rawatan tambahan untuk skizofrenia

Soalan ulasan

Adakah menambah mirtazapine, ubat antidepresan, untuk penjagaan standard rawatan yang berkesan dan selamat untuk orang yang mengalami skizofrenia?

Latar belakang

Skizofrenia adalah penyakit mental yang teruk. Mereka yang terlibat biasanya menunjukkan tingkah laku sosial yang tidak normal dan ketidakupayaan untuk menilai apa yang sebenarnya. Terdapat tiga jenis gejala utama. Gejala positif adalah di mana pesakit mendengar suara atau melihat perkara yang tidak ada dan juga boleh menimbulkan kepercayaan palsu (delusi). Contoh gejala negatif adalah kurangnya motivasi dan pengasingan diri dari aktiviti sosial. Gejala kognitif termasuk keupayaan berkurang untuk menumpukan perhatian atau kesukaran menggunakan maklumat untuk membuat keputusan. Skizofrenia boleh menjadi sangat melemahkan, sangat mempengaruhi fungsi sosial seseorang dan kemampuan mereka untuk hidup secara bebas.

Ubat antipsikotik adalah rawatan utama untuk skizofrenia dan berkesan dalam merawat gejala positif skizofrenia tetapi sering tidak merawat gejala negatif sepenuhnya. Rawatan tambahan sering digunakan bersama-sama dengan antipsikotik untuk membantu mengubati gejala negatif. Ubat antidepresan, seperti mirtazapine, boleh digunakan sebagai rawatan tambahan. Mirtazapine mungkin mempunyai potensi untuk meningkatkan gejala negatif skizofrenia, tetapi juga mempunyai potensi untuk menyebabkan kesan sampingan yang tidak menyenangkan. Bukti yang meringkaskan faedah dan bahaya mirtazapine untuk orang yang mempunyai skizofrenia adalah diperlukan.

Pencarian

Pakar Maklumat Cochrane Skizofrenia mencari senarai khusus mereka untuk kajian klinikal yang secara rawak diperuntukkan orang dengan skizofrenia untuk menerima sama ada mirtazapine atau rawatan lain selain penjagaan piawaian mereka. Carian terkini adalah pada bulan Mei 2018 dan kami mendapati sejumlah 35 rujukan untuk kajian yang berpotensi. Kami memeriksa dengan teliti artikel teks lengkap mengenai rujukan ini untuk dimasukkan atau dikecualikan daripada ulasan ini.

Keputusan

Sembilan ujian rawak terkawal memenuhi keperluan ulasan dan menyediakan data yang boleh digunakan. Peserta dalam kajian menerima sama ada mirtazapine ditambah penjagaan standard mereka atau penjagaan standard mereka dengan plasebo.

Hasilnya menunjukkan penambahan mirtazapine kepada rawatan standard mungkin sedikit memperbaiki keadaan mental keseluruhan tetapi tidak secara khusus mempunyai kesan klinikal penting pada gejala negatif. Menambah mirtazapine untuk penjagaan standard mungkin memperbaiki sedikit gejala akathisia, kesan sampingan antipsikotik di mana seseorang itu sangat gelisah dan tidak dapat menahan diri. Tiada kesan ditemui untuk keadaan global atau meninggalkan kajian awal dan data tidak tersedia untuk kualiti hidup atau kemasukan ke hospital. Selain itu, beberapa keputusan menunjukkan mirtazapine dikaitkan dengan risiko berat badan yang lebih tinggi dan sedasi. Bagaimanapun, keputusan ini adalah berdasarkan kualiti bukti yang sangat rendah.

Kesimpulan

Mirtazapine mungkin mempunyai kesan positif untuk orang yang mengalami skizofrenia. Walau bagaimanapun, keputusan ini adalah berdasarkan kualiti bukti yang sangat rendah dan kami tidak pasti mengenai kesan ini. Kesimpulan kukuh mengenai keberkesanan dan keselamatan mirtazapine sebagai ubat tambahan kepada rawatan untuk orang dengan skizofrenia tidak boleh dibuat tanpa penyelidikan yang lebih berkualiti tinggi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save