Soalan ulasan
Apakah manfaat dan kemudaratan TENS untuk orang yang mempunyai sakit leher kronik (> 12 minggu)?
Latar belakang
Sakit leher kronik ditakrifkan sebagai sakit berterusan pada bahagian tulang belakang serviks yang menjangkau dari bahagian pangkal kepala ke bahagian atas bahu, berlarutan sehingga 12 minggu atau lebih, biasanya dikaitan dengan pengurangan pergerakan leher. TENS adalah rawatan popular untuk sakit leher kronik. Ianya adalah berdasarkan kepada penggunaan peranti yang menghantar arus elektrik ke kulit, untuk menggalakkan kelegaan kesakitan. Walaupun TENS digunakan secara meluas dalam amalan klinikal, terdapat kekurangan bukti tentang manfaat dan kemudaratan untuk orang yang mengalami sakit leher kronik.
Tarikh carian
Kami telah menyertakan kajian yang diterbitkan sehingga 9 November 2018.
Ciri-ciri kajian
Kami telah menyertakan tujuh kajian yang telah mendaftarkan sejumlah 651 peserta (purata umur 31.7 sehingga 55.5 tahun) dengan sakit leher kronik. Setiap kajian mempunyai antara 30 hingga 218 peserta. Peserta menerima TENS atau intervensi kawalan (plasebo atau rawatan jenis lain). Kajian-kajian tersebut sangat berbeza dari segi tempoh sesi TENS (dari 20 hingga 60 minit), bilangan sesi (dari 1 hingga 12) dan jumlah tempoh rawatan program (dari 1 hingga 45 hari).
Keputusan utama
Disebabkan perbezaan antara setiap kajian yang telah disertakan, kami telah memutuskan bahawa ianya tidak sesuai untuk menggabungkan keputusan mereka. Daripada tujuh kajian yang telah disertakan, dua telah melaporkan bahawa TENS adalah tidak lebih baik daripada rawatan tidak aktif (plasebo) dalam mengurangkan sakit leher peserta. Tiada kajian yang telah disertakan yang telah menilai kecacatan atau peristiwa buruk.
Kepastian bukti
Terdapat kepastian bukti yang rendah tentang kesan TENS untuk merawat sakit leher kronik.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research).Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my).