Seberapa tepatkah dermoskopi berbanding dengan pemeriksaan visual kulit untuk mendiagnosis kanser kulit (melanoma) dalam orang dewasa?

Apakah tujuan ulasan ini?

Tujuan Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui ketepatan dermoskopi untuk diagnosis melanoma berbanding pemeriksaan visual kulit dengan mata kasar. Ulasan ini juga menyiasat sama ada ketepatan diagnosis menggunakan dermoskopi terhadap pesakit berbeza dengan ketepatan diagnosis menggunakan gambar dermoskopi kulit. Para penyelidik Cochrane menyertakan 104 kajian untuk menjawab soalan ini.

Mengapakah memperbaiki diagnosis melanoma adalah penting?

Melanoma adalah salah satu bentuk kanser kulit yang paling berbahaya. Tidak mengenali melanoma apabila ia hadir (keputusan ujian negatif palsu), akan menunda pembedahan untuk membuangnya, meningkatkan risiko kanser merebak ke organ lain dalam badan, dan kemungkinan kematian. Mendiagnosis lesi kulit (tahi lalat atau bahagian kulit dengan penampilan yang luar biasa berbanding dengan kulit sekitarnya) sebagai melanoma apabila ia bukan (keputusan positif palsu), boleh menyebabkan pembedahan yang tidak perlu, kajian lebih lanjut dan kebimbangan pesakit. Pemeriksaan visual lesi kulit yang mencurigakan oleh seorang doktor menggunakan mata kasar biasanya merupakan yang pertama dari siri ‘ujian’ untuk mendiagnosis melanoma. Teknik pembesaran boleh digunakan oleh pakar kanser kulit untuk membolehkan pemeriksaan lebih terperinci untuk lesi kulit yang mencurigakan daripada apa yang boleh dicapai menggunakan mata kasar sahaja.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Dermatoskop ialah alat pegangan menggunakan cahaya nampak (seperti lampu pijar atau LED), yang boleh digunakan sebagai sebahagian dari pemeriksaan klinikal lesi kulit yang mencurigakan. Dermoskopi telah menjadi alat yang penting untuk membantu diagnosis oleh doktor pakar dan juga semakin banyak digunakan dalam persekitaran rawatan primer. Mengetahui ketepatan diagnostik dermoskopi ditambahkan kepada pemeriksaan visual sahaja adalah penting untuk memahami siapa yang patut menggunakannya dan dalam persekitaran penjagaan kesihatan yang mana.

Para penyelidik ingin mengetahui ketepatan diagnostik dermoskopi lesi kulit yang mencurigakan pada pesakit secara langsung dan menggunakan gambar dermoskopi berbanding dengan pemeriksaan visual sahaja. Para penyelidik juga ingin mengetahui sama ada ketepatan diagnostik ditingkatkan dengan menggunakan senarai semak dermoskopi atau dengan meningkatkan tahap kepakaran doktor.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Ulasan ini menyertakan 104 kajian yang melaporkan data untuk orang dengan lesi yang disyaki melanoma. Keputusan utama untuk diagnosis melanoma (termasuk melanoma peringkat sangat awal), adalah berdasarkan 86 kajian, 26 yang menyediakan maklumat mengenai ketepatan dermoskopi ditambahkan kepada pemeriksaan visual lesi kulit secara langsung dan 60 menyediakan maklumat berdasarkan pemeriksaan gambar dermoskopi tanpa pesakit perlu hadir.

26 kajian secara langsung menyediakan data yang paling relevan untuk penggunaan dermoskopi dalam praktis dan keputusan mereka diringkaskan di sini. Sebanyak 23,169 lesi kulit yang mencurigakan disertakan dalam 26 kajian dan 13 daripadanya juga menyediakan maklumat mengenai ketepatan pemeriksaan visual lesi tanpa menggunakan dermoskopi. Keputusan menunjukkan dermoskopi lebih tepat daripada pemeriksaan visual bersendirian, untuk mengenal pasti melanoma dengan betul dan menidakkan perkara yang bukan melanoma.

Kajian-kajian itu menggunakan kaedah yang berbeza untuk menentukan sama ada lesi kulit adalah melanoma atau bukan, yang bermakna kami tidak dapat memastikan seberapa baik dermoskopi berbanding pemeriksaan visual sahaja. Sebaliknya kami boleh memberikan contoh ilustrasi kesan yang dijangkakan dari peningkatan ketepatan menggunakan kumpulan 1000 lesi, yang mana 120 (12%), adalah melanoma. Bagi mengetahui seberapa lebih baik dermoskopi dalam mengenal pasti melanoma dengan betul apabila dibandingkan dengan hanya melihat kulit, kami perlu menganggap kedua-duanya membawa kepada jumlah yang sama lesi didiagnosis sebagai melanoma dengan salah (kami menganggap 176 daripada 880 lesi tanpa melanoma akan didiagnosis sebagai melanoma dengan salah). Dalam keadaan tetap ini, menambahkan dermoskopi kepada pemeriksaan visual akan mengenal pasti dengan betul tambahan 19 melanoma (110 berbanding dengan 91), yang mungkin terlepas dengan hanya melihat kulit sahaja. Dengan kata lain, lebih banyak melanoma akan dikenal pasti dengan betul.

Bagi mengetahui seberapa lebih baik dermoskopi dalam menentukan jika lesi kulit adalah bukan melanoma apabila dibandingkan dengan hanya melihat kulit, kami perlu menganggap kedua-duanya membawa kepada jumlah yang sama melanoma didiagnosis dengan betul (dalam kes ini kami menganggap 96 daripada 120 melanoma akan didiagnosis dengan betul). Dalam situasi ini, menambahkan dermoskopi kepada pemeriksaan visual akan mengurangkan jumlah lesi didiagnosis sebagai melanoma dengan salah sebanyak 176 (pengurangan dari 220 dalam kumpulan pemeriksaan visual ke 44 lesi dalam kumpulan dermoskopi). Dengan kata lain, lebih banyak lesi yang bukan melanoma akan dikenal pasti dengan betul dan kurang pesakit akan dihantar untuk pembedahan.

Nilai senarai semak pemeriksaan visual dan kesan kepakaran pemerhati

Terdapat tiada bukti bahawa penggunaan senarai semak untuk membantu penafsiran dermoskopi mengubah ketepatan diagnosis. Ketepatan adalah lebih baik (dengan kurang melanoma terlepas dan kurang pesakit menjalani pembedahan yang tidak perlu), apabila diagnosis dibuat oleh orang dengan lebih banyak kepakaran klinikal dan latihan.

Bolehkah keputusan kajian dalam ulasan ini dipercayai?

Dalam kebanyakan kajian yang disertakan, diagnosis melanoma dibuat dengan biopsi lesi dan ketiadaan melanoma disahkan dengan biopsi atau susulan masa ke masa bagi memastikan lesi kulit kekal negatif untuk melanoma, kedua-duanya berkemungkinan kaedah yang boleh dipercayai untuk menentukan sama ada pesakit benar-benar mempunyai melanoma*. Dalam beberapa kajian, ketiadaan melanoma dibuat oleh pakar diagnosis, yang tidak berkemungkinan merupakan kaedah yang boleh dipercayai untuk menentukan sama ada pesakit benar-benar mempunyai melanoma. Pelaporan tentang perlaksanaan kajian yang buruk membuatkan penilaian kebolehpercayaan kajian sukar. Pengambilan peserta secara selektif dan kekurangan perincian mengenai ambang untuk menentukan keputusan ujian positif adalah sangat bermasalah.

Untuk siapakah keputusan ulasan ini dapat digunakan?

Enam puluh enam kajian dijalankan di Eropah (77%), selebihnya dijalankan di Amerika Utara (6 kajian), Asia (4), Oceania (4), atau pelbagai pusat (7). Purata usia adalah antara 30 hingga 58 tahun (dilaporkan dalam 26 kajian). Peratusan individu dengan melanoma antara 1% dan 41% untuk kajian dermoskopi secara langsung (median 12%), dan antara 3% dan 61% dalam kajian menggunakan gambar dermoskopi (median 24%). Hampir semua kajian dijalankan di persekitaran rujukan dan bukannya penjagaan primer. Dalam kebanyakan kajian lesi tidak berkemungkinan mewakili lesi yang dilihat dalam amalan, contohnya hanya menyertakan lesi kulit bersaiz tertentu atau dengan penampilan yang khusus. Tambahan pula variasi kepakaran doktor yang menjalankan pemeriksaan visual dan maksud yang digunakan untuk keputusan ujian dermoskopi positif di seluruh kajian menjadikannya tidak jelas bagaimana dermoskopi perlu dijalankan dan oleh orang dengan tahap kepakaran klinikal yang berbeza bagi mencapai ketepatan yang didapati dalam kajian.

Apakah implikasi ulasan ini?

Apabila digunakan pakar, dermoskopi adalah lebih baik untuk mendiagnosis melanoma berbanding pemeriksaan lesi kulit yang mencurigakan menggunakan mata kasar sahaja. Dermoskopi adalah lebih tepat apabila ditafsirkan dengan kehadiran pesakit berbanding menggunakan gambar dermoskopi. Dermoskopi mungkin membantu pengamal perubatan umum untuk mengenal pasti dengan betul orang dengan lesi yang mencurigakan yang perlu dilihat oleh seorang pakar. Senarai semak untuk membantu menafsir dermoskopi mungkin meningkatkan ketepatan bagi orang dengan kurang kepakaran dan latihan. Selanjutnya, kajian yang dilaporkan dengan baik yang menilai ketepatan diagnostik dermoskopi apabila digunakan dalam penjagaan primer dan untuk mengenal pasti cara terbaik untuk menyampaikan latihan dermoskopi adalah diperlukan.

Adakah ulasan ini terkini?

Penulis ulasan mencari dan menggunakan kajian yang diterbitkan sehingga Ogos 2016.

*Dalam kajian-kajian biopsi ini, susulan klinikal atau diagnosis doktor pakar adalah rujukan piawai (cara mendapatkan diagnosis terakhir).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi --

Tools
Information