Memperbaik pengambilan vaksinasi dalam kalangan remaja

Ulasan Cochrane ini bertujuan menilai kesan pendekatan untuk meningkatkan bilangan remaja yang mendapatkan vaksin. Penyelidik Cochrane mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan mendapati 16 kajian.

Mesej-mesej utama

Ulasan ini menunjukkan pelbagai pendekatan berbeza yang mungkin meningkatkan bilangan remaja mendapat vaksin yang disyorkan. Ini termasuklah memberi pendidikan kesihatan, menawarkan hadiah, dan meluluskan undang-undang. Walau bagaimanapun, lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk memahami pendekatan terbaik, terutama di negara berpendapatan rendah dan pertengahan.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengesyorkan beberapa vaksin untuk kanak-kanak berumur antara 10 dan 19 tahun (remaja). Sesetengah vaksin ditawarkan kepada kumpulan umur ini, seperti vaksin papilomavirus manusia (HPV; jangkitan virus yang ditransmisi melalui sentuhan kulit ke kulit dan boleh menyebabkan kutil genital dan kanser). Yang lain adalah vaksin penggalak yang juga diberi kepada kanak-kanak, seperti vaksin Hepatitis B, difteria, tetanus, dan pertusis (batuk kokol).

Ramai remaja tidak mendapatkan vaksin yang disyorkan. Pihak kerajaan dan organisasi telah mencuba pelbagai pendekatan untuk mengubahnya. Salah satu pendekatan adalah mensasarkan remaja dan ibu bapa dan komuniti mereka. Ini boleh dilakukan, contohnya, dengan memberi maklumat tentang vaksin; mengingatkan mereka bila vaksin patut diambil; atau memberi hadiah. Satu lagi pendekatan adalah mensasarkan pembekal penjagaan kesihatan, misalnya melalui maklumat, peringatan, atau maklum balas tentang amalan mereka. Pendekatan ketiga ialah menjadikan vaksin lebih mudah didapatkan untuk orang ramai. Ini boleh dilakukan, misalnya, membuat vaksin bebas atau murah, atau menawarkan vaksin lebih dekat ke rumah, termasuk di sekolah. Pendekatan keempat adalah untuk meluluskan undang-undang tentang vaksinasi. Misalnya, di sesetengah negara, pelajar perlu membuktikan vaksinasi sebelum mereka boleh menghadiri sekolah.

Apakah keputusan-keputusan utama ulasan ini?

Penulis kajian mendapati 16 kajian yang relevan. Dua belas daripada kajian ini adalah dari AS. Kajian lain adalah masing-masing satu dari Australia, Sweden, Tanzania, dan UK. Kajian ini menunjukkan perkara berikut.

Apabila remaja (perempuan atau lelaki, atau kedua-duanya) dan ibu bapa mereka diberi maklumat vaksinasi dan pendidikan, lebih ramai remaja mendapat vaksin HPV (bukti kepastian tinggi).

Apabila remaja diberi baucer hadiah, lebih ramai remaja mungkin mendapatkan vaksin HPV (bukti kualiti rendah). Walau bagaimanapun, kami tidak pasti sama ada memberi remaja dan ibu bapa mereka pendidikan kesihatan, tunai, dan pakej hadiah membuat lebih ramai remaja mendapatkan vaksin Hepatitis B (bukti kepastian sangat rendah).

Apabila undang-undang yang diluluskan menyatakan remaja mesti divaksinasi untuk hadir ke sekolah, mungkin lebih ramai remaja mendapatkan vaksin Hepatitis B (bukti kepastian sederhana).

Apabila pembekal penjagaan kesihatan diingatkan untuk vaksinasi remaja apabila mereka membuka carta perubatan elektronik, ini mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas bilangan remaja yang mendapat vaksin tetanus–difteria–pertusis, meningokokus, HPV, atau Influenza (bukti kepastian sederhana).

Apabila pembekal penjagaan kesihatan diberi pendidikan dengan maklum balas prestasi, lebih ramai remaja mungkin mendapatkan vaksin HPV (bukti kepastian rendah).

Apabila pembekal penjagaan kesihatan diberi pendidikan, maklum balas individu, lawatan yang kerap, dan insentif, lebih ramai remaja mungkin mendapatkan vaksin HPV (bukti kepastian sederhana).

Apabila pembekal penjagaan kesihatan dan ibu bapa disasarkan dalam beberapa cara, termasuk melalui pendidikan, panggilan telefon, dan mesej radio, lebih banyak remaja mungkin mendapat vaksin HPV (bukti kepastian rendah).

Kajian-kajian ini membandingkan penggunaan pendekatan ini (pendidikan kesihatan, hadiah dan ganjaran, undang- undang, atau peringatan) dengan tanpa penggunaan pendekatan.

Di samping itu, satu kajian dari Tanzania memberi maklumat vaksinasi kepada semua gadis yang berada di kelas enam sekolah tetapi tidak semestinya sama umur. Mereka dibandingkan dengan gadis yang diberi maklumat vaksinasi kerana mereka semua dilahirkan pada tahun sama, tetapi tidak semestinya dalam kelas yang sama. Kajian-kajian ini menunjukkan pendekatan berasaskan kelas mungkin membawa kepada lebih ramai perempuan mendapat vaksin HPV (bukti kepastian sederhana).

Adakah ulasan ini mutakhir?

Para penulis kajian mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 31 Oktober 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information