Perencat beta untuk pencegahan dan rawatan retinopati pramatang dalam kalangan bayi pramasa

Soalan ulasan: Kami mengulas bukti kesan perencat beta ke atas retinopati pramatang (ROP) dalam kalangan bayi pramasa.

Latar belakang: Bayi yang lahir lebih awal (pramasa) berisiko untuk membentuk pertumbuhan salur darah yang bercelaru di belakang mata mereka, penyakit yang dipanggil retinopati pramatang. Tahap-tahap yang teruk keadaan ini menyebabkan penglihatan yang buruk atau kebutaan. Rawatan retinopati awal dapat memperbaiki penglihatan dalam jangka panjang. Pada masa ini, terapi laser adalah rawatan pilihan untuk peringkat ROP teruk. Walau bagaimanapun, ia adalah prosedur invasif yang memerlukan kemahiran pakar dan anestesia, dan tidak terdapat di semua negara di seluruh dunia. Ubat-ubatan yang selamat dan berkesan untuk mencegah penyakit tersebut diperlukan. Perencat beta dipercayai dapat menghentikan pertumbuhan saluran darah yang bercelaru dipelbagai bahagian badan termasuk mata. Perencat beta digunakan dalam kalangan kanak-kanak untuk merawat pelbagai penyakit dan umumnya diterima dengan baik. Namun, ia juga berisiko kesan buruk seperti menurunkan kadar jantung dan tekanan darah. Tujuan utama ulasan ini adalah untuk mengetahui sama ada perencat beta berbanding dengan plasebo (ubat tidak aktif) atau tiada ubat yang menawarkan kelebihan penting kepada bayi pramasa sama ada dengan mencegah tahap ROP yang teruk atau dengan merawat penyakit tersebut (apabila tahap kritikal ROP sudah ada).

Ciri-ciri kajian: Kami mengkaji penyelidikan yang diterbitkan hingga 7 Ogos 2017. Kami mendapati tiga kajian klinikal yang merekrut 366 bayi pramasa. Ketiga-tiga kajian melaporkan mengenai pencegahan tahap keterukan retinopati.

Keputusan utama: Kami mendapati bahawa pemberian perencat beta secara oral mungkin menawarkan manfaat jangka pendek seperti risiko progresi yang lebih rendah untuk ke peringkat retinopati yang lebih teruk dan kurang memerlukan rawatan tambahan. Walau bagaimanapun, tiada data mengenai penglihatan jangka panjang; dan kajian-kajian tidak menunjukkan kesan perencat beta pada peringkat retinopati yang paling teruk. Sebaliknya, kesan buruk perencat beta dilaporkan dalam salah satu daripada tiga kajian.

Kualiti bukti: Kualiti keseluruhan bukti untuk hasil dalam ulasan ini berbeza dari rendah hingga sederhana. Maka keyakinan kami terhadap hasil ulasan ini adalah sangat terhad. Kami tidak dapat mengesyorkan penggunaan rutin perencat beta untuk pencegahan atau rawatan ROP dalam kalangan bayi pramasa. Kajian berkualiti tinggi pada masa hadapan perlu untuk menentukan sama ada manfaat perencat beta melebihi risikonya dalam mencegah atau merawat ROP dalam kalangan bayi pramasa.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save