Menggalakkan batuk bagi orang dewasa dan kanak-kanak yang sakit tenat untuk pengeluaran tiub pernafasan dan bernafas tanpa mesin bantuan

Latar belakang dan kepentingan

Pesakit dewasa dan kanak-kanak yang tenat yang memerlukan bantuan alat pernafasan untuk membantu mereka bernafas mungkin mengalami kesukaran untuk batuk dan mengeluarkan lendir. Ini boleh mengurangkan peluang mereka untuk pengeluaran tiub pernafasan yang berjaya dan mampu bernafas tanpa bantuan mesin. Otot pernafasan mereka mungkin lemah; mereka mungkin mengalami gangguan saraf otot, kecederaan saraf tulang belakang, atau penyakit paru-paru terbatas, atau mengalami keracauan, kecacatan kognitif atau kesan sampingan sedatif. Teknik-teknik seperti meningkatkan isi padu udara dalam paru-paru bagi setiap nafas, batuk secara manual dan dibantu secara mekanikal dengan bantuan alat (MI-E) boleh digunakan untuk menggalakan orang untuk batuk. Potensi teknik-teknik ini untuk membantu pesakit dewasa dan kanak-kanak yang tenat agar tidak bergantung dengan alat bantuan pernafasan masih lagi tidak jelas.

Persoalan bagi ulasan

Adakah teknik-teknik penggalakkan batuk bagi pesakit yang bergantung kepada alat bantuan pernafasan, pesakit dewasa dan kanak-kanak yang tenat di unit rawatan rapi mampu meningkatkan kadar pembebasan pesakit daripada alat bantuan pernafasan dengan jayanya?

Tujuan ulasan

Untuk melihat kepada kajian-kajian terkawal tentang penggunaan teknik-teknik menggalakkan batuk bagi pesakit dewasa dan kanak-kanak yang tenat, untuk melihat sama ada teknik-teknik ini berguna dalam membantu mereka untuk tidak bergantung kepada alat bantuan pernafasan, dan untuk menentukan sekiranya terdapat kesan berkaitan yang berbahaya. Komplikasi yang dicari termasuk pengurangan dan peningkatan tekanan darah, rentak jantung yang tidak biasa, kebocoran udara daripada paru-paru ke ruang dada, batuk berdarah, dan mukus tersumbat yang memerlukan tiub pernafasan yang baru.

Keputusan kajian

Kami menjumpai dua kajian terkawal rawak (95 peserta dewasa) dan satu kajian terkawal tidak rawak (17 kanak-kanak berumur sekurang-kurangnya empat minggu) yang dijalankan di Portugal, Kanada dan Amerika Syarikat. Kami menilai dua kajian rawak tersebut sebagai kajian yang berkualiti tidak jelas dan kajian tidak rawak tersebut sebagai kajian yang rendah kualiti. Kajian rawak yang terbesar (75 peserta) menjumpai 83% tahap kejayaan untuk kombinasi teknik-teknik ekstubasi dengan bantuan mekanikal dan manual, berbanding dengan 53% dalam kumpulan terkawal (kejayaan ekstubasi adalah 1½ kali lebih cenderung)(bukti sangat rendah kualiti). Masa yang diluangkan menggunakan alat bantuan pernafasan dikurangkan sebanyak 6 hari bagi orang yang menggunakan teknik batuk dengan bantuan mekanikal dan manual (bukti sangat rendah kualiti). Tiada peserta yang meninggal dunia dalam kajian ini.

Komplikasi direkodkan daripada dua kajian rawak. Satu orang yang batuk dengan bantuan alatan mengalami pengurangan tekanan darah bagi jangka masa yang panjang, manakala seorang lagi yang mengamalkan teknik peningkatan isi padu udara dalam paru-paru bagi setiap nafas dan teknik sedutan disamping teknik batuk dengan bantuan manual mengalami peningkatan tekanan darah bagi jangka masa yang panjang. Dalam satu kajian, selepas tiub pernafasan dikeluarkan, lebih ramai peserta dalam kumpulan yang tidak menerima bantuan mekanikal untuk batuk mengalami pengumpulan cecair, penurunan tahap oksigen, dan memerlukan tiub pernafasan semula (sembilan peserta berbanding dua, bukti kajian yang sangat rendah).

Kajian tidak rawak melaporkan bahawa tiub pernafasan boleh dikeluarkan bagi kesemua enam kanak-kanak dalam kumpulan yang menerima intervensi bantuan untuk batuk. Dalam kajian tidak rawak ini, kematian hanya dilaporkan bagi kanak-kanak yang menerima teknik menggalakkan batuk. Seorang kanak-kanak meninggal dunia, tetapi ianya tidak dikaitkan dengan teknik batuk. Kajian ini tidak melaporkan kesan buruk yang berkaitan dengan batuk yang dibantu. Tiada kajian terlibat yang mengkaji satu teknik penggalakkan batuk secara berasingan. Dua kajian rawak melibatkan kombinasi batuk dengan bantuan manual dengan sama ada bantuan mekanikal (MI-E) atau teknik peningkatan isi padu udara dalam paru-paru bagi setiap nafas, dan kajian tidak rawak melibatkan ketiga-tiga kaedah.

Kesimpulan

Bukti yang sangat rendah kualiti daripada satu dapatan kajian mencadangkan teknik-teknik penggalakkan batuk mungkin akan meningkatkan kadar kejayaan dalam pengeluaran tiub pernafasan dan mengurangkan masa menggunakan alat bantuan pernafasan, sambil tidak menyebabkan bahaya. Bilangan peserta yang terhad telah menyebabkan ia sukar untuk menentukan kebarangkalian bahaya.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Siti Hajar Zuber (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information