Apakah pandangan dan pengalaman ibu bapa dan penjaga tidak formal tentang komunikasi pemvaksinan rutin awal kanak-kanak?

Ulasan Cochrane ini bertujuan untuk meninjau pengalaman ibu bapa tentang komunikasi vaksinasi untuk kanak-kanak di bawah umur enam tahun. Kami mencari dan menganalisis kajian kualitatif yang boleh menjawab soalan ini.

Penyelidikan kualitatif menerokai bagaimana masyarakat melihat dan mengalami dunia di sekeliling mereka. Ulasan penyelidikan kualitatif ini melengkapkan ulasan Cochrane lain yang menilai kesan daripada strategi komunikasi yang berbeza kepada pengetahuan, sikap dan tingkah-laku ibu bapa mengenai imunisasi kanak-kanak.

Mesej-mesej utama

Kami agak yakin bahawa dalam bukti ini kami mendapati bahawa ibu bapa mahu maklumat yang jelas, tepat pada masanya dan seimbang, tetapi mereka sering mendapati bahawa maklumat tersebut tidak mencukupi. Jumlah maklumat yang dikehendaki oleh ibu bapa dan sumber-sumber yang dipercayai oleh mereka adalah berkaitan dengan tahap penerimaan mereka terhadap vaksinasi; walau bagaimanapun, tahap keyakinan terhadap dapatan terakhir ini adalah hanya rendah hingga sederhana.

Apakah yang telah kami kaji dalam ulasan ini?

Imunisasi kanak-kanak merupakan satu cara yang berkesan untuk mencegah penyakit-penyakit serius zaman kanak-kanak. Walau bagaimanapun, ramai kanak-kanak yang tidak menerima semua imunisasi yang disyorkan. Terdapat beberapa sebab untuk ini. Sesetengah ibu bapa tidak mempunyai akses kepada vaksin, misalnya kerana perkhidmatan kesihatan yang berkualiti rendah, jarak dari rumah mereka kepada kemudahan kesihatan atau kekurangan dari segi kewangan. Sesetengah ibu bapa tidak mempercayai vaksin itu sendiri atau pekerja kesihatan yang menyediakan perkhidmatan tersebut, sementara ibu bapa yang lain langsung tidak nampak keperluan untuk memberi vaksin kepada anak-anak mereka. Ibu bapa mungkin tidak tahu bagaimana vaksin berfungsi atau tentang penyakit-penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin. Mereka juga mungkin menerima maklumat yang tidak betul atau mengelirukan.

Untuk menangani beberapa isu ini, kerajaan dan agensi-agensi kesihatan sering mencuba untuk berkomunikasi dengan ibu bapa tentang vaksin kanak-kanak. Komunikasi ini boleh diadakan di kemudahan kesihatan, di rumah atau dalam masyarakat. Komunikasi boleh merupakan perbincangan dua hala, misalnya perbincangan bersemuka antara ibu bapa dan pemberi perkhidmatan penjagaan kesihatan. Ia juga boleh melibatkan komunikasi satu hala, misalnya maklumat yang diberikan melalui mesej teks, poster, risalah, atau program radio atau televisyen. Sesetengah jenis komunikasi membolehkan ibu bapa untuk berbincang tentang vaksinasi secara aktif, termasuk manfaat dan kemudaratan, dan penyakit-penyakit yang dicegah oleh vaksin. Jenis komunikasi yang lain hanya memberi maklumat tentang isu-isu ini atau bila dan di mana vaksin boleh didapati. Pihak-pihak yang terlibat dalam program-program vaksinasi perlu memahami bagaimana ibu bapa mengalami pelbagai jenis komunikasi mengenai vaksinasi dan bagaimana ini mempengaruhi keputusan mereka untuk memvaksinkan anak-anak mereka.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami melibatkan 38 kajian dalam ulasan kami. Kebanyakan kajian adalah daripada negara-negara berpendapatan tinggi dan melihat kepada persepsi ibu-ibu terhadap komunikasi vaksin. Beberapa kajian juga melibatkan pandangan ayah, nenek, dan pengasuh-pengasuh lain.

Secara umumnya, ibu bapa ingin mendapatkan maklumat yang lebih lanjut daripada apa yang telah didapati (keyakinan tinggi). Bagi sesetengah ibu bapa, kekurangan maklumat yang menyebabkan kebimbangan dan kesesalan tentang keputusan vaksinasi mereka (keyakinan sederhana).

Ibu bapa menghendaki maklumat yang seimbang mengenai manfaat dan risiko vaksinasi (keyakinan tinggi), yang disampaikan dengan cara yang jelas dan mudah (keyakinan sederhana) dan disesuaikan dengan keadaan mereka (keyakinan rendah). Ibu bapa juga hendak maklumat vaksinasi disediakan di luar perkhidmatan kesihatan (keyakinan rendah). Mereka ingin mendapatkan maklumat ini dalam masa yang sesuai sebelum setiap janji temu vaksinasi dan bukan semasa anak-anak mereka divaksin. (keyakinan sederhana).

Ibu bapa berpendapat bahawa pekerja kesihatan adalah sumber informasi yang penting dan mereka mempunyai harapan yang tinggi daripada interaksi dengan pekerja kesihatan (keyakinan tinggi). Komunikasi yang lemah dan hubungan negatif dengan pekerja kesihatan kadang kala akan memberi kesan terhadap keputusan vaksinasi (keyakinan sederhana).

Ibu bapa secara umumnya mendapati bahawa ia adalah sukar untuk mengetahui sumber maklumat vaksinasi mana yang boleh dipercayai dan merasai bahawa ia susah untuk mendapatkan maklumat yang tidak berat sebelah dan seimbang (keyakinan tinggi).

Kuantiti informasi yang ibu bapa menghendaki dan sumber yang mereka rasa boleh dipercayai adalah berkaitan dengan tahap penerimaan mereka terhadap vaksinasi, Sesetengah ibu bapa yang lebih teragak-agak hendak mendapatkan lebih banyak informasi (keyakinan rendah hingga sederhana).

Adakah ulasan ini terkini?

Kami telah mencari kajian-kajian yang diterbitkan sebelum 30 Ogos 2016.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Teoh Ru Jian Jonathan (Penang Medical College). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi jonathanteoh_c2017@ms.pmc.edu.my.

Tools
Information