Intervensi farmakologikal untuk mencegah dan merawat pendarahan bahagian atas gastrousus pada neonat

Soalan ulasan
Untuk menilai bagaimana ubat-ubatan yang berbeza untuk mengurangkan keasidan dalam perut (perencat pam proton, reseptor antagonis histamin 2, antasid) atau untuk melindungi lapisan perut (sucralfate atau garam bismut) yang diberikan kepada bayi lahir pramatang dan bayi cukup bulan bagi membantu mencegah atau merawat pendarahan bahagian atas gastrousus, mengurangkan penderitaan penyakit lain dan juga kadar kematian.

Latar belakang
Pendarahan bahagian atas gastrousus adalah perkara yang kerap terjadi pada neonat sakit yang dimasukkan ke rawatan rapi neonatal. Ia mungkin berkaitan dengan refluks susu (refluks gastroesofagus) atau alahan kepada protein susu. Antara gejala yang berlaku termasuk muntah yang ada darah atau menyerupai serbuk kopi; dan najis yang hitam seperti tar dan sangat busuk. Pendarahan bahagian atas gastrousus ini boleh berlaku pada neonat yang sihat tetapi gejala yang dialami selalunya ringan dan keadaan ini akan pulih dengan sendiri tanpa rawatan. Walau bagaimanapun, pendarahan bahagian atas gastrousus boleh menjadi teruk terutamanya apabila neonat itu mempunyai masalah kesihatan yang lain.

Ciri-ciri kajian
Kami memasukkan kajian rawak terkawal (RCTs). Carian adalah sehingga kini pada 12 Julai 2018.

Hasil-hasil utama
Kami mendapati 11 ujian dengan 818 bayi. Kami menganggap tiada kajian mempunyai risiko bias yang rendah.

Empat kajian dengan jumlah 329 bayi dalam unit rawatan rapi neonatal dan menggunakan reseptor antagonis histamin untuk pencegahan pendarahan bahagian atas gastrousus. Empat kajian ini menunjukkan pengurangan pada kejadian pendarahan bahagian atas gastrousus dengan reseptor antagonis histamin, tetapi tiada perbezaan pada kadar mortaliti. Hasil seperti masalah gastrousus yang serius (contohnya nekrosis enterokolitis) dan jangkitan usus tidak dilaporkan.

Tujuh kajian melibatkan 489 bayi yang didaftarkan sebagai neonat dengan pendarahan bahagian atas gastrousus dan rawatan yang digunakan sama ada reseptor antagonis histamin 2 atau perencat pam proton. Penggunaan reseptor antagonis histamin atau perencat pam proton dalam konteks rawatan telah dikaitkan dengan pengurangan tempoh pendarahan bahagian atas gastrousus dan juga tempoh pendarahan berterusan pada bahagian atas gastrousus; walau bagaimanapun ia tidak mengurangkan kadar kematian atau keperluan untuk pemindahan darah. Tiada susulan jangka panjang dilaporkan.

Walaupun terdapat bukti berkualiti sederhana yang menggunakan perencat asid gastrik bagi mengurangkan kejadian dan tempoh pendarahan bahagian atas gastrousus pada bayi yang baru lahir, namun data sama ada rawatan ini selamat pada populasi bayi baru lahir masih tidak mencukupi. Implikasi ini menunjukkan bahawa keputusan untuk menggunakan perencat asid gastrik pada bayi yang baru lahir harus dibuat dengan berhati-hati sehingga kajian tambahan dilakukan.

Kualiti bukti kajian
Kami telah mengredkan kualiti bukti pencegahan pendarahan bahagian atas gastrousus sebagai rendah dan sederhana. Kami telah mengredkan kualiti bukti untuk rawatan pendarahan bahagian atas gastrousus sebagai rendah dan sangat rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca-Siswazah Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save