Suplemen iodin untuk wanita sebelum, semasa atau selepas kehamilan

Apakah isunya?

Ia dianggarkan lebih 1.8 bilion orang di seluruh dunia tidak mendapat iodin yang mencukupi dalam diet mereka, menyebabkan mereka berisiko kekurangan iodin. Iodin adalah nutrien penting yang diperlukan dalam jumlah yang kecil untuk badan membuat hormon tiroid. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan agar iodin ditambah pada garam untuk mengelakkan masalah yang disebabkan oleh kekurangan iodin. Wanita yang mengandung atau menyusukan bayi memerlukan iodin tambahan, yang meletakkan mereka pada risiko kekurangan iodin yang lebih tinggi. Susu ibu mengandungi iodin untuk bayi.

Mengapakah ini penting?

Fungsi tiroid meningkat semasa hamil kerana hormon tiroid yang dihasilkan oleh ibu (dan bayi semasa kehamilan berlangsung) adalah penting untuk pertumbuhan dan perkembangan bayi serta mengawal perkembangan otak dan sistem saraf. Tisu saraf mula berkembang seawal bulan kedua kehamilan. Jika wanita mempunyai iodin yang terlalu rendah semasa mengandung atau bayi mempunyai iodin yang terlalu sedikit semasa awal kanak-kanak, kerosakan mungkin tidak dapat dipulihkan. Penyelidikan telah menunjukkan bahawa kekurangan iodin yang teruk boleh membantutkan pertumbuhan fizikal normal kanak-kanak serta menjejaskan perkembangan mental normal, mengakibatkan kecerdasan yang lebih rendah. Kurang diketahui tentang akibat kekurangan ringan atau sederhana iodin. Terlalu banyak iodin juga boleh membahayakan dan memberi kesan negatif kepada ibu dan bayi, contohnya dengan menyebabkan tiroid menjadi terlalu aktif.

Walaupun garam biasanya merupakan sumber utama iodin, kumpulan perubatan pakar mengesyorkan agar wanita di kebanyakan negara mengambil suplemen iodin semasa dan selepas kehamilan untuk membantu memastikan keperluan iodin mereka dipenuhi.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami mencari untuk bukti pada November 2016 dan menjumpai 14 kajian rawak terkawal tentang suplemen iodin dalam bentuk tablet, kapsul, titisan atau suntikan sebelum, semasa atau selepas kehamilan. Sebelas kajian dengan lebih 2700 wanita menyumbangkan kepada penemuan ulasan. Lapan kajian membandingkan iodin dengan tanpa rawatan atau plasebo dan tiga kajian membandingkan iodin yang diberikan dengan vitamin serta mineral lain terhadap vitamin dan mineral sahaja.

Wanita yang menerima suplemen iodin kurang berkemungkinan mengalami kesan hipertiroidisme yang tidak diingini (kelenjar tiroid yang terlalu aktif) selepas bersalin (tiga kajian melibatkan 543 wanita) tetapi mereka lebih berkemungkinan mengalami loya atau muntah semasa hamil (satu kajian melibatkan 76 wanita) apabila dibandingkan dengan mereka yang tidak menerima iodin. Satu kajian (365 wanita) tidak menemui sebarang perbezaan pada bilangan wanita dengan kelenjar tiroid yang terlalu aktif semasa kehamilan. Bilangan wanita dengan kelenjar tiroid yang kurang aktif (hipotiroidisme) tidak jelas perbezaannya sama ada semasa kehamilan (satu kajian melibatkan 365 wanita) atau selepas bersalin (tiga kajian melibatkan 540 wanita) apabila suplemen iodin diberikan. Sebilangan wanita yang sama mempunyai peningkatan antibodi tiroid semasa kehamilan (satu kajian, 359 wanita) dan selepas bersalin (tiga kajian, 397 wanita). Kami mendapati tiada perbezaan yang jelas antara wanita yang diberi suplemen iodin dan mereka yang tidak, apabila melihat kepada kelahiran pramatang (dua kajian, 376 wanita) atau kematian sekitar masa bersalin (dua kajian, 457 wanita), bayi yang dilahirkan dengan berat lahir rendah (dua kajian, 377 bayi), bayi baru lahir dengan kelenjar tiroid yang tidak aktif (dua kajian, 260 bayi) atau dengan antibodi tiroid yang meningkat (satu kajian, 108 bayi).

Kualiti bukti adalah rendah hingga sangat rendah, kebanyakannya kerana beberapa kajian melihat kepada hasil sendiri sahaja atau kerana batasan dalam reka bentuk kajian. Kebanyakan penemuan adalah daripada satu atau dua kajian dan sejumlah kecil wanita yang dimasukkan. Ini bermakna kami tidak yakin dengan keputusan-keputusan tersebut.

Apakah maksudnya?

Potensi faedah dan kemudaratan daripada setiap intervensi perlu ditimbang sebagai sebahagian daripada memutuskan sama ada untuk menggunakannya. Ulasan Cochrane kami menyediakan ringkasan bukti tetapi tidak ada data yang mencukupi untuk sebarang kesimpulan yang bermakna tentang faedah dan kemudaratan suplemen iodin rutin pada wanita sebelum, semasa atau selepas kehamilan. Maklumat terhad yang kami temui menunjukkan terdapat faedah dan risiko suplemen iodin. Penyelidikan yang lebih banyak akan menjelaskan kesan dan keselamatan intervensi ini. Penyelidikan masa depan harus menggunakan reka bentuk kajian rawak terkawal yang praktikal dan beretika, serta memasukkan hasil daripada ulasan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information