Intervensi berhenti merokok bagi pesakit kanser paru-paru

Latar belakang

Kanser paru-paru adalah penyebab kematian akibat kanser paling lazim di seluruh dunia. Menghisap tembakau merupakan faktor risiko paling penting bagi kanser paru-paru. Kebanyakan pesakit kanser paru-paru adalah perokok yang masih aktif pada diagnosis atau kerap berulang (restart) selepas pemberhentian Merokok. Berhenti merokok adalah cara yang paling berkesan bagi perokok untuk mengurangkan risiko kematian awal dan hilang upaya. Intervensi berhenti merokok boleh dibahagikan kepada intervensi psikososial (kaedah yang tidak menggunakan ubat-ubatan, seperti nasihat dan kaunseling) dan intervensi farmakologi (ubat-ubatan, seperti tampalan nikotin). Rawatan tingkah laku (kaedah yang mengubah tingkah laku seseorang) dan farmakologi dipercayai mempunyai kaedah keberkesanan saling melengkapi, dan memperbaiki peluang mengekalkan pantang jangka panjang secara berasingan. Berhenti merokok selepas diagnosis kanser paru-paru mungkin dikaitkan dengan penurunan mortaliti (kematian), komplikasi selepas operasi, perulangan dan insidens kanser paru-paru utama kedua, dan keberkesanan rawatan dan kualiti hidup yang lebih baik. Intervensi berhenti menghisap tembakau memainkan peranan penting di dalam pengurusan orang dengan kanser. Perokok semasa dan bekas perokok, terutamanya orang-orang dengan kanser paru-paru, perlu digalakkan untuk berhenti merokok. Walau bagaimanapun, kesan sebarang jenis program berhenti merokok bagi orang dengan kanser paru-paru adalah tidak jelas.

Soalan ulasan

Kami bertujuan untuk menentukan keberkesanan sebarang jenis program berhenti merokok bagi orang dengan kanser paru-paru.

Keputusan-keputusan utama

Kami mencari pangkalan data perubatan sehingga 22 Disember 2018 dan laman web lain sehingga 30 Disember 2018. Kami tidak mendapati kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana orang diletakkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) untuk dimasukkan. Kami mendapati empat kajian yang sedang berlangsung untuk dimasukkan apabila data tersedia. Sehingga hari ini, kami tidak dapat menyimpulkan sama ada intervensi berhenti merokok berkesan untuk orang dengan kanser paru-paru dan sama ada satu kaedah lebih berkesan daripada yang lain. Orang dengan kanser paru-paru patut digalakkan untuk berhenti merokok dan ditawarkan bantuan berhenti merokok, tetapi kami tidak dapat mengesyorkan sebarang jenis intervensi berhenti merokok bagi orang dengan kanser paru-paru. Kajian rawak terkawal berkualiti tinggi diperlukan untuk menjawab soalan ini.

Kualiti bukti

Tiada kajian yang memenuhi kriteria kemasukan kami, oleh itu tiada bukti berkualiti baik.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com

Tools
Information
Share/Save